Gambar hiasan - Foto via Blogspot

SHAH ALAM — Akibat menggunakan logo halal palsu pada daging sejuk beku yang diimport, seorang pengimport didenda RM43,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Khairi Jamaludin, tertuduh mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali, lapor FMT.

Menurutnya, Hakim memerintahkan tertuduh dihukum penjara 15 bulan, sekiranya gagal membayar denda atas kesalahan di bawah Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 tersebut.

“Pendakwaan menyusul operasi bersepadu oleh KPDNHEP bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), polis Selangor serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan di sebuah premis di Pulau Indah pada 25 Januari 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati daging sejuk beku yang ditemui dalam serbuan itu telah diimport dari luar negara.

Jelasnya lagi, pengimport daging menggunakan penandaan logo halal dari luar negara dengan bahasa dan tulisan halal yang diragui.

“Berdasarkan siasatan awal dan semakan JAIS logo halal yang digunakan itu tidak diiktiraf dan penandaan halal yang digunakan pada kotak pembungkusan diragui.

“Sejumlah 1,672 barang kes yang bernilai lebih RM500,000 dilupuskan kerana merupakan barang mudah rosak,” katanya.

Beliau menambah, KPDNHEP Selangor akan bertindak tegas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang, khususnya membabitkan perakuan dan penandaan halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. — BebasNews

Leave a Reply