Coolio - Foto via Blogspot

SHAH ALAM — Penyanyi terkenal, Coolio yang popular dengan lagu, Gangsta’s Paradise pada era 90an disahkan meninggal dunia semalam.

Laporan media barat dipetik berkata, Coolio atau nama sebenarnya, Artis Leon Ivey Jr, 59, ditemukan tidak sedarkan diri di bilik air ketika berada di rumah seorang rakannya.

Menurut pengurusnya, Jarez Posey, Coolio berada di kediaman kawannya pada petang semalam sebelum meminta kebenaran untuk menggunakan tandas.

“Coolio tidak keluar dari bilik air sehingga dipanggil rakannya, tetapi tiada jawapan.

“Rakannya bertindak untuk masuk ke bilik air kerana bimbang dengan keadaan Coolio yang tidak membalas panggilannya. Apabila dia masuk ke tandas, rakannya terkejut Coolio terbaring di atas lantai tidak sedarkan diri.

“Pihak paramedik yang tiba di lokasi mengesahkan Coolio sudah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung,” katanya.

Jelas laporan itu lagi, siasatan awal pihak polis tidak menjumpai barang terlarang, manakala bedah siasat akan dilakukan bagi mencari punca kematian Coolio.

Coolio pernah mendedahkan dirinya pernah terbabit dengan isu penyalahgunaan dadah sebelum berjaya keluar daripada ketagihannya selepas bekerja sebagai anggota bomba.

Coolio mula aktif dalam dunia muzik sejak 80-an. Pada 1995, namanya mula popular selepas mengeluarkan single Gangsta’s Paradise.

Mendiang turut popular dengan lagu Fantastic Voyage, It’s All The way Live (Now) dan C U When U Get There. — BebasNews

Leave a Reply