Iklan palsu berhubung lesen kenderaan bermotor menggunakan gambar Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR — Orang ramai diingatkan untuk tidak mempercayai sindiket ‘lesen terbang’ yang begitu berani menggunakan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam iklan mereka.

Menerusi kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihaknya menerima laporan berkaitan iklan palsu berkenaan selepas ia tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut pihak JPJ, iklan bertajuk ‘Bantuan Lesen Memandu Percuma Buat Semua Golongan’ itu dikatakan menyalahgunakan gambar Ismail Sabri.

“Bagi meyakinkan orang ramai, sindiket turut meletakkan pautan pendaftaran https://www.motif.my/bantuan-lesen/ dan turut dipelawa menyertai ‘group whatsapp’ di pautan https://www.portalmalaysia.com/whatsappgroupbantuan, untuk memperdaya lebih ramai mangsa,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya memandang serius sindiket lesen terbang ini dan siasatan lanjut akan dilakukan segera bagi mengesan dalangnya.

“Kami juga akan membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya siasatan lanjut boleh dilakukan.

“Kami ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpengaruh, serta menghubungi pejabat JPJ berdekatan bagi mendapatkan maklumat lebih tepat dan sahih,” ujarnya. — BebasNews

Leave a Reply