Daqmie bersama anggota Rabbani, salah sebuah kumpulan nasyid yang terlibat dalam album Sahabat Selamanya.

SEJAK dimuat naik di saluran YouTube, 4 Jun lalu, lagu Casablanca dendangan Nuha Bahrin dan Naufal Azrin berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Lagu ciptaan bersama Daqmie dan Abdul Karim Al Ali itu menjadi karya Malaysia pertama mengungguli carta teratas Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia.

Malah lagu dwi bahasa itu juga berada di tangga teratas di Spotify Viral 50 Malaysia, Joox Malay Hit, Carta Top 10 RIM dan 100 Top Apple Music.

Lagu Casablanca juga pernah menjadi bualan apabila seorang guru bahasa menegur penggunaan perkataan denyut. Jelas cikgu Zack Kirana, untuk jantung perkataan yang seharusnya digunakan adalah degup bukannya denyut.

Denyut jantungku berdebar
Terasa indahnya
Dunia ini kita yang punya
Akulah mataharimu
Kaulah kekasihku
Kitakan bersama selamanya

Daqmie menjelaskan maksud di sebalik lagu Casablanca.

Jelas Daqmie, dia tak kisah bila ada pihak atau orang perseorangan mempersoal penggunaan ayat atau perkataan dalam lagu ciptaannya.

“Terpulang kepada orang nak kata apa. Saya percaya orang yang buat lagu ada hala tuju masing-masing atau panah yang tersembunyi untuk sampai kepada orang lain.

“Saya dah bagi tahu kepada Amir Beegood Music yang lagu ini (Casablanca) akan meletup gila, percayalah tapi syaratnya saya kata, kena buat marketing betul-betul. Alhamdulillah, lagu itu mendapat sambutan,” katanya tersenyum.

Sambung Daqmie, jujurnya dia tidak mengenali Nuha dan Naufal secara dekat dan hanya mendapat gambaran yang diberikan oleh Amir saja sebelum mencipta lagu Casablanca.

Lagu Casablanca menjulang nama Nuha Bahrin dan Naufal Azrin hingga ke negara jiran.

“Bila Amir minta saya buat lagu untuk Nuha dan Naufal, saya tanya dia, adakah saya mengenali mereka? Saya tanya lagi, budak tu comel ke, gemuk ke kurus? Amir kata kedua-duanya kurus kecil, umur 22 tahun. Okey, bila saya dah dapat gambaran saya boleh jadikan itu sebagai batu loncatan, modal saya untuk sampaikan, kalau kata saya doktrin (prinsip), katalah saya tak ada masalah.

“Saya memang ada lagu yang dah siap tapi kalau projek macam ni saya cipta khas. Saya akan dengar suara dan tengok karakter untuk kesesuaian sebab nak tahu lagu saya tu relevan pada mereka atau tak.

“Kalau kita buat lagu berdasarkan rasa sendiri, kita rasa sedap tapi untuk generasi orang muda tak sama sebab lagu mereka terus masuk, bukan macam lagu orang dewasa perlu ada intro, verse, bridge dan solo part. Bagi saya, Nuhal dan Naufal memang serasi,” katanya.

Pada pertemuan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS, 28 September) sempena pelancaran album Sahabat Selamanya, Daqmie yang bertindak sebagai penerbit untuk album yang menghimpunkan kumpulan Rabbani, Hijjaz, InTeam dan Mestica itu membuka cerita di sebalik pembikinan lagu Casablanca.

Daqmie yakin dalam tempoh dua tahun lagi, Nuha boleh menjadi penyanyi serba boleh.

“Dalam lagu Casablanca, ada empat kisah sebenarnya. Kisah pertama, kisah cinta antara lelaki dan perempuan, di mana semua orang boleh faham.

“Kisah kedua berkenaan suami isteri dan menjadi tanggungjawab si suami menyediakan sebuah rumah untuk isteri. Casablanca itu bermaksud Rumah Putih, casa bermaksud rumah dan blanca itu putih. Rumah Putih ini dipunyai oleh seorang suami, kalau Rumah Putih itu cantik, isteri masuk dia akan jadi baik. Sebaliknya akan berlaku, jika Rumah Putih itu tak cantik. tu kisah kedua yang saya bayangkan.

“Kisah ketiga ialah mengenai dengan tubuh badan. Allah bagi tahu dalam tubuh kita ini ada segumpal darah. Darah itu kalau bagus, ia akan jadi bagus satu badan. Kalau tak bagus ia akan rosakkan satu badan.

“Benda yang ultimate (muktamad), benda paling besar casablanca ini adalah Istana Ahmad sebenarnya. Istana Ahmad adalah Madinah yang Dajal bagi tahu hujung di sana adalah Istana Putih iaitu Madinah.

“Cerita sebenarnya begini, sebab di situ ada kata denyut jantung ku berdebar terasa indahnya. Denyut itu satu rasa benda lain, jantungku rasa pun benda lain.

“Pernah pergi umrah? Masa mula sampai jantung tu berdenyut, denyut jantung ku berdebar itu adalah perasaan dan terasa indahnya dunia ini kita punya, itulah Raudhah.

“Akulah matahari mu, kaulah kekasih. Akulah mataharimu merujuk kepada Baginda Rasul yang menyinar dan kaulah kekasih ku iaitu Rasulullah. Kita akan bersama selamanya, maksudnya kita akan mendapat syafaat Rasulullah sampai akhir. Itulah kisahnya,” jelas Daqmie secara terperinci maksud di sebalik lagu Casablanca yang menjadi siulan ramai itu.

Meskipun ramai yang mempertikai Nuha tidak konsisten ketika menyanyi live, Daqmie berharap bagilah ruang pada penyanyi itu untuk membina keyakinan diri.

“Bagi saya setakat ini Nuha dan Naufal itu bagus tapi perlu diberi perhatian lagi. Nuha ni akan okey selepas dua tahun. Masalahnya, dia terlalu memikir waktu menyanyi berbanding, Naufal, budak lurus, ikut saja.

“Nuha banyak akal, perempuan biasalah sebab itulah waktu menyanyi banyak memikir. Dia budak yang bagus tapi dalam masa sama banyak memikir sewaktu menyanyi. Bagi saya siapa-siapa yang berada di atas pentas sudah hebat,” merancang untuk keluarkan Casablanca kedua.

Daqmie mengaku, dia tidak rasa tertekan untuk menerbitkan kesinambungan lagu Casablanca kerana sudah pernah berada dalam situasi serupa sebelum ini.

“Casablanca ini akan ada kesinambungannya. Saya tak ada pressure masa buat, pressure datang bila orang tak terima. Sebelum ini lagu Yang Terindah, runut bunyi untuk drama Adamaya. Lagu tu nombor satu untuk zaman tu, 16 juta untuk ringtone,” imbasnya tentang kejayaan lagu Yang Terindah. — BebasNews

Leave a Reply