ANTONIO Inoki (kiri) menyepak Muhammad Ali yang sempat membalas dengan tumbukan kanan dalam pertarungan bersejarah ‘Gusti Lawan Tinju’ di Dewan Budokan, Tokyo pada 1976. – Foto 9Gagger

ANTONIO Inoki juara dan pengasas New Japan Pro Wrestling (NJPW) pada 1972. – Foto NJPW

WORLD Wrestling Entertainment (WWE) berdukacita dengan berita pemergian selama-lamanya Ahli Dewan Terbilangnya, Antonio Inoki yang juga legenda gusti Jepun.

Jagoan gusti dan seni bela diri itu cukup masyhur dengan pertarungan ‘Gusti Lawan Tinju’ menentang legenda tinju heavyweight dunia, Muhammad Ali (Allahyarham) tanggal 26 Jun 1976 di Tokyo, Jepun.

Perbadanan Penyiaran Jepun (NHK) melaporkan, Inoki yang berasal dari Yokohama dengan nama asalnya, Kanji Inoki, meninggal dunia di Tokyo akibat kegagalan jantung pada usia 79 tahun, hari ini.

Beliau yang juga pengasas New Japan Pro Wrestling (NJPW) turut terkenal kerana hubungan peribadi rapatnya dengan Korea Utara – musuh Jepun malah terbabit dalam usaha pembebasan tebusan rakyat senegaranya ketika Perang Teluk di Iraq dan Kuwait pada 1991.

Kematian bekas Ahli Parlimen Jepun 1989-1995 dan 2013-2019 ini turut mendapat ciapan bekas juara WWE, Triple H, lapor laman sesawang rasmi penganjur gusti profesional Amerika Syarikat itu.

WWE.COM menyiarkan berita kematian Antonio Inoki yang pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Terbilang WWE pada 2010 namun tidak pernah diiktiraf sebagai juara WWF. – Foto WWE

Paul Michael Levesque (nama sebenarnya) menyifatkan Inoki, “seorang daripada tokoh terpenting dalam sejarah bisnes kami dan seorang lelaki yang mendukung istilah ‘semangat juang’.”

“Legasi Ahli Dewan Terbilang WWE, Antonio Inoki akan hidup selamanya,” tambah Ketua Pegawai Operasi WWE itu dalam laman Twitternya.

Inoki pernah menewaskan Bob Backlund untuk merampas kejuaraan World Wrestling Federation – WWF (nama lama WWE) pada 30 November 1979 di Tokushima, Jepun dengan tindanan tiga kiraan selepas humbanan ke belakang namun kejayaannya yang bertahan sehingga 6 Disember 1979 itu tidak diiktiraf WWF.

Inoki dan Ali diisytiharkan seri dalam pertarungan gusti lawan tinju 15 pusingan di Dewan Budokan yang digelar “War Of The Worlds” (Perang Dunia-dunia) itu dengan syaratnya, penggusti Jepun itu hanya boleh menendang jika sebelah kakinya di atas gelanggang.

Sejak pusingan pertama lagi, Inoki terpaksa merangkak sekitar gelanggang seperti seekor ketam untuk menyerang kaki Ali, bekas juara heavyweight dunia tiga kali yang sempat melepaskan enam tumbukan sahaja.

Pertarungan unik ini dikatakan menjadi inspirasi filem “Rocky III” pada 1982 yang dibintangi Sylvester Stallone sebagai Rocky Balboa menentang seorang lagi bekas juara WWF/WWE, Hulk Hogan – pendukung watak Thunderlips. — BebasNews  

Leave a Reply