PARA penyokong kedua-dua pasukan Arema FC dan Persebaya mencerobohi padang dan membuatkan keadaan semakin sukar dikawal pihak berkuasa. – Foto Antara/Detik.com
TRAGEDI rusuhan para penyokong pasukan Arema FC dan Persebaya di Stadium Kanjuruhan Kabupaten Malang, Jawa Timur, Indonesia, semalam, mendorong seluruh saingan Liga 1 Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dihentikan sehingga siasatan menyeluruh selesai.
Arahan itu diumumkan Presiden republik itu, Joko Widodo dalam siaran berita Kompas TV manakala PSSI mengesahkan penggantungan pertandingan liga utama tersebut ekoran tragedi yang meragut 129 nyawa (dua daripadanya anggota polis) selepas Arema FC, tuan rumah tewas 3-2.
Media Indonesia melaporkan, Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan bahawa pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat insiden berkenaan.
Insiden tercetus apabila beberapa penyokong Arema yang kecewa turun ke padang untuk mencari pemain dan pegawai pasukan malah diburukkan dengan balingan objek ke padang.
Pihak berkuasa yang berkawal di situ, menembak gas pemedih mata bagi meredakan kemarahan para penyokong yang cuba melarikan diri namun mereka terperangkap dan ada yang terjatuh dan dipijak mahupun mengalami sesak nafas.
Lapan kenderaan polis juga dirosakkan dengan satu daripadanya dibakar oleh penyokong pasukan malah terdapat kemudahan lain di stadium, dibakar.
Arema FC juga dilarang daripada menganjurkan sebarang perlawanan sepanjang musim Liga 1 2022/2023.
Stadium berkenaan difahamkan mampu memuatkan sehingga 40,000 orang dalam sesuatu masa.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam laman Facebooknya, turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi itu. — BebasNews


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.