Gambar hiasan - Foto FC Bayern Munich

BOLA SEPAK adalah sukan paling popular di dunia.

Nama seperti Pele, Maradona, Ronaldo, Marco Van Basten sering bermain di bibir peminat pemain bolasepak tidak kira semasa mereka bermain di peringkat kelab mahu pun peringkat negara.

Namun semalam bolasepak diberi perhatian bukan kerana ada jaringan ‘Tangan Tuhan’ atau sepakan lambung cantik ala Van Basten tetapi atas sebab yang amat mendukacitakan.

Media perdana hari ini melaporkan, jumlah kematian mangsa rusuhan ketika perlawanan bola sepak antara dua pasukan Jawa Timur di Stadium Kanjuruhan di Malang meningkat kepada 182 orang.

Angka terkini itu dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Malang selepas kesemua mangsa dibawa ke Hospital Saiful Anwar di Bandar Malang, hari ini.

Peristiwa tersebut bukan yang pertama tetapi 33 tahun lalu pada tanggal 15 April 1989 detik hitam tercatat dalam bola sepak Inggeris terutama sekali kepada penyokong Liverpool serta bandar Liverpool.

96 orang daripada penyokong yang hadir ke perlawanan bola sepak di Stadium Hilsborough tidak kembali ke rumah untuk selamanya.

Beratus-ratus lagi hidup dalam trauma setelah berlaku insiden rempuhan yang  menyebabkan ramai penonton bolasepak sesak nafas akibat dihimpit dan tersepit.

Peristiwa tersebut semasa itu, menjadi nahas stadium terbesar di dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Ia berlaku dalam perlawanan separuh akhir Piala FA di antara pasukan Nottingham Forest dan Liverpool.

Namun tragedi tersebut adalah yang kedua melibatkan penyokong Liverpool yang mana empat tahun sebelum itu, berlaku tragedi di Stadium Heysel, Belgium.

Berdasarkan rekod, Tragedi Heysel terjadi pada tanggal 29 Mei 1985 di mana pada saat itu perlawanan antara Liverpool dan Juventus di Piala Champions belum bermula.

Peristiwa tercetus, apabila peminat kedua kelab saling mengejek dan memperlecehkan antara satu sama lain.

Apabila kedua penyokong bertempur di kawasan penonton, dinding pembahagi di sektor tersebut roboh kerana tidak mampu menahan beban berlebihan akibat pertambahan jumlah penyokong yang memenuhi ruang tersebut.

Ratusan orang dilaporkan telah ditimpa dinding yang berjatuhan.

Akibat peristiwa tersebut seramai 39 orang meninggal dunia dan 600 lebih penyokong bolasepak mengalami kecederaan.

Kesemua tragedi terbabit tidak kira apa peringkat sekalipun, boleh dielakkan jika kesemua pihak menerapkan nilai kesukanan lebih daripada nilai kemenangan.

Provokasi luar padang seperti ejek mengejek pasukan lawan bukan sahaja menyebabkan penyokong datang untuk menonton tetapi ada yang ingin bersaing dengan kekerasan menggunakan penumbuk.

Cukuplah setakat troll di media sosial, janganlah sentimen pasukan kita sahaja wajib menang terus dimomokkan kerana bola itu bulat.

Trend troll atau sindir menyindir antara satu sama lain harus dihentikan dalam kancah liga bolasepak kita tidak kira melibatkan pemain, peminat mahupun pengurusan pasukan.

Apa gunanya pasukan bolasepak kita menang, tetapi rasa benci terus menjadi dendam hingga pergaduhan tercetus apabila pihak yang kalah menukarkan gelanggang bolasepak menjadi gelanggang tinju mahupun seni bela diri campuran (MMA).

Hentikan provokasi, hentikan troll atau mengejek melampau-lampau kerana yang kalah akan menjadi abu yang menang menjadi arang. ‘Fair Play’ please! — BebasNews

Leave a Reply