Faiz Aizif bakal muncul dengan single sulung berjudul Khilaf, pukul 5 petang, 12 Oktober ini di saluran YouTube TWT Entertainment.

SEKARANG ini nak menjadi penyanyi senang saja, tak perlu susah-susah sertai mana-mana pertandingan untuk membuktikan kebolehan diri.

Asal ada keyakinan diri untuk menonjolkan bakat nyanyian di platform media sosial, pasti ada yang menyokong dan dari situ anda sudah berjaya mengumpul pengikut atau peminat sendiri.

Ramai saja individu yang merasakan diri ‘berseni’ dan mampu menjadi ‘crowd-puller’ menerusi nyanyian masing-masing, biarpun sebenarnya bakat adalah anugerah.

Tidak dinafikan, sekali ‘insan berseni’ memuat naik video di saluran YouTube banyak yang menonton video muzik mereka. Tak kiralah komen negatif atau positif mengenai nyanyian mereka, bagi golongan tersebut ‘bad marketing is still a form of marketing’ untuk menjual produk masing-masing.

Penggambaran video muzik Khilaf dilakukan di sebuah banglo di Ampang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Terkini yang merasakan dirinya berbakat dalam bidang nyanyian adalah pempengaruh digital menerusi platform TikTok yang menggunakan akaun faiz.aizif.

Faiz Aizif atau nama sebenarnya Muhammad Faiz Basirun, 20, tular kerana sering memberi anjing jalanan makan di tepi pantai Pulau Langkawi, hinggakan dia digelar CEO Anjing.

Pemuda itu tidak kisah dengan gelaran tersebut dan video dia memberi anjing makan, peluangnya untuk melangkah ke bidang seni suara terbuka.

Mengakui dirinya berbeza dengan pempengaruh lain yang menjadi populariti sebagai batu loncatan untuk merakam lagu dan seterusnya bergelar penyanyi rakaman. Kata Faiz, dia sudah menyanyi sejak di sekolah rendah lagi.

Lagu Khilaf berkisar tentang seorang lelaki kasanova yang rasa bersalah dengan teman wanitanya.

“Dari orang belum kenal Faiz sebagai CEO Anjing, TikTok ke, memang Faiz dah menyanyi dari zaman sekolah lagi. Pernah jadi penyanyi latar untuk Bintang Kecil RTM, mungkin sebelum ini orang tak tahu yang Faiz menyanyi.

“Bila dah terlibat dalam dunia media sosial ini, kadang-kadang tu teringin nak ada lagu. Nak ada single sendiri, macam first baby. Faiz terdetik nak buat lagu solo dan alhamdulillah, dapat peluang. Tapi sebelum masuk studio, Faiz fikir kenapa tak buat lagu duet saja,” katanya.

Faiz yang ditemui sewaktu penggambaran video muzik single pertamanya, Khilaf, di sebuah banglo di Ampang Jaya, baru-baru ini berkata, tercetus idea untuknya berkolaborasi selepas melihat reaksi netizen.

“Bila terdetik nak buat duet, Faiz pun fikir siapalah yang sesuai untuk jadi pasangan. Akhirnya Faiz ajak kenalan media sosial yang sebelum ini pernah berduet dengan Faiz.

Khilaf merupakan lagu duet Faiz Aizif dengan seorang teman.

“Faiz ajak dia sebab waktu muat naik video kami nyanyi sama, tak sangka boleh dapat lebih 500,000 tontonan dalam tempoh tak sampai 24 jam, Ogos lalu. Melihat reaksi itu, Faiz yakin inilah pasangan yang sesuai untuk berduet.

“Sebenarnya, kami dah kenal lama di media sosial cuma tidak bersemuka. Kami mula bersemuka masa jumpa di event dan lepas tu lebih akrab. Harap kerjasama antara kami ini mendapat sokongan dariapada orang ramai,” katanya penuh harapan.

Bagaimanapun buat masa ini, Faiz mahu merahsiakan dulu siapa pasangan duetnya untuk lagu Khilaf, ciptaan dan lirik oleh Sam Daud dari TWT Entertainment itu yang juga penerbit untuk single tersebut.

Faiz yang menetap di Pulau Legenda itu berharap Khilaf, lagu duet dendangannya yang bergenre pop itu mendapat sokongan daripada orang ramai.

Faiz Aizif mula menyanyi sejak di sekolah rendah dan impian untuk menjadi seorang penyanyi terlaksana menerusi lagu Khilaf.

“Lagu Khilaf ini easy listening, mudah difahami dan dihafal serta catchy. Mungkin ini adalah lagu terbaik untuk pengenalan bagi Faiz yang baru menapak dalam bidang rakaman suara ini.

“Boleh dikatakan dari dari A sampai Z, menggunakan kos sendiri iaitu sekitar RM35,000. Kami minat menyanyi tapi peluang tu tak ada, jadi kenalah keluarkan kos sendiri. Apa pun Allah permudahkan semua urusan kami,” katanya.

Menurutnya, dengan izin Allah, semua urusan pembikinan lagu tersebut berjalan lancar. Lagu disiapkan dalam tempoh tiga hari dan empat hari kemudian mereka terus memulakan rakaman di PRO Studio di Cheras, dalam tempoh empat jam.

“Rakaman lagu ambil masa empat jam, lepas tujuh hari kita shoot video muzik (MV). Rakaman dibuat seorang demi seorang. Sam Daud, ni komposer lama, cuma sebelum ini dia bekerja untuk orang. Kali ini dia kerja untuk produk syarikat sendiri, TWT Entertainment.

“Khilaf menjadi pertaruhan Faiz sebab kalau kita tengok kat media sosial, banyak cerita pasangan bercinta yang curang. Disebabkan itulah kami pilih jalan cerita begitu untuk lagu Khilaf.

“MV dan lagu Khilaf dapat ditonton secara rasmi menerusi saluran YouTube TWT Entertainment pada pukul 5 petang, 12 Oktober ini. Faiz harap lagu Khilaf ini mendapat sokongan semua pihak,” katanya penuh debaran. — BebasNews

Leave a Reply