POSTER PSSI dalam Facebook rasminya berhubung status Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun AFC 2023 di Bogor. – Foto PSSI

SKUAD Bawah 16 Tahun Malaysia (jersi kuning) bakal beraksi dalam tiga lagi perlawanan Kelayakan Piala Asia B17 tanpa penonton di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia. – Foto FAM

SKUAD Bawah 16 Tahun Malaysia boleh menarik nafas lega dengan pengumuman Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), hari ini.

Juga tiada lagi kekhuatiran ibu bapa terhadap keselamatan para pemain remaja kita apabila PSSI mengumumkan Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun 2023 akan diteruskan baki saingannya tanpa penonton di Stadium Pakansari, Bogor, Jakarta, Indonesia.

Kelayakan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ini dengan saingan Kumpulan B bermula kelmarin hingga Ahad ini, membabitkan tuan rumah, Malaysia, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Palestin dan Guam.

Lapor PSSI dalam laman Facebook, pertandingan secara tertutup itu demi keselamatan dan ketenteraman bersama serta menghargai dan menghormati para penonton yang sedang berduka akibat rusuhan dan rempuhan pada perlawanan Liga 1 PSSI antara Arema FC dan Persebaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, kelmarin.

Tragedi itu meragut 182 nyawa termasuk dua anggota polis setelah para penyokong Arema FC mencerobohi padang kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan tuan rumah 3-2 kepada Persebaya dan cuba dileraikan dengan gas pemedih mata pasukan keselamatan itu.

KENYATAAN PSSI yang menutup aksi Kelayakan Piala Asia B17 daripada kehadiran penonton. – Foto PSSI

Skuad Bawah 16 Tahun Malaysia kendalian Osmera Omaro turut mengorak langkah kanan dengan membenam Palestin 4-0 di Stadium Pakansari hasil jaringan Anjasmirza Saharudin, Faris Danish Mohd. Asrul, Arami Wafiy Mohamad Zakimi dan Zainurhakimi Zain Azraii.

“Dengan ini, Kelayakan Piala Asia B17 AFC 2023 secara rasminya dijalankan tanpa penonton,” lapor PSSI dalam laman sosial berkenaan.

Sistem pemulangan wang akan dilakukan bagi para penonton yang sudah membeli tiket-tiket perlawanan kelayakan itu.

PSSI menambah, kelayakan ini akan tetap boleh diikuti menerusi siaran langsung TV.

KETUA jurulatih skuad B16 Malaysia, Osmero Omaro (kiri) dalam sidang media praperlawanan menentang Palestin, Jumaat lalu. – Foto FAM

Skuad remaja negara seterusnya akan berdepan Guam pada Rabu ini diikuti Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jumaat ini dan paling getir tuan rumah, Ahad ini.

UAE mendahului Kumpulan B dengan kelebihan jaringan biarpun seperti Malaysia turut mengumpul tiga mata selepas membelasah Guam 9-0, kelmarin.

Juara 10 kumpulan kelayakan dan enam naib juara terbaik antaranya, akan layak ke pusingan akhir tahun depan.

AKSI pemain remaja Malaysia, Afiq Danish Zulkifli (8) ketika berdepan Palestin, Sabtu lalu. – Foto FAM
SKUAD remaja Malaysia perlu mencapai kemenangan besar terhadap Guam yang dianggap paling lemah dalam Kumpulan B kelayakan ini. – Foto FAM

Leave a Reply