KUALA Lumpur City FC (jersi merah) mengejutkan JDT FC 2-0 untuk menjuarai Piala Malaysia 2021. - Foto MFL

SAINGAN Piala Malaysia 2022 akan dijalankan dalam format kalah singkir timbal balik daripada pusingan pertama sehingga separuh akhir dengan dua pilihan tarikh sepak mulanya, bulan ini.

Berbeza dengan musim lalu, saingan tanpa format liga berkumpulan awal ini diputuskan penganjur, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada mesyuarat Lembaga Pengarahnya.

“(Format ini) atas alasan kepadatan kalendar semasa dan impak kepada Piala Malaysia 2022 dengan ramalan cuaca yang membimbangkan menjelang akhir tahun yang tidak akan memberikan MFL sebarang ruang untuk penangguhan jadual sekiranya diperlukan.

“Piala Malaysia 2022 akan dimainkan dengan pusingan pertama membabitkan 16 pasukan secara timbal balik.

“Sekiranya Kuala Lumpur City layak ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 (22 Oktober ini), Piala Malaysia yang memasuki 101 tahun penganjuran, bakal membuka tirai 25 Oktober ini.  

“Jika (juara bertahan itu) tidak layak, Piala Malaysia akan bermula 21 Oktober,” lapor MFL dalam Facebook rasminya, hari ini.

KUALA Lumpur City FC yang juga juara bertahan Piala Malaysia, cuba membuat kejutan apabila menghadapi Sogdiana Jizzakh dari Uzbekistan dalam pemburuan tiket final Piala AFC 2022, esok. – Foto KLC

Final Piala Malaysia akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali pada 26 November ini, tambah MFL.

“Pada 29 September lalu, MFL mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia yang memaklumkan, hujan lebat dijangka berlaku pada bulan ini sehingga Disember ini.

“Kerajaan juga mengeluarkan peringatan, fenomena air pasang besar akan menyebabkan banjir di hampir seluruh negara pada bulan-bulan akan datang.

“Jadual Liga Malaysia 2022 amat padat akibat penundaan beberapa perlawanan yang tidak dapat dielakkan pada awal musim ekoran penularan Covid-19 dalam beberapa pasukan dan kejohanan-kejohanan penting yang disertai pasukan kebangsaan,” jelas MFL.

Ketiadaan perlawanan liga berkumpulan awal dalam jadual baru Piala Malaysia 2022 akan memberikan:

* Ruang dalam jadual sekiranya perlawanan tidak boleh dimainkan atau ditunda akibat cuaca dan boleh dimainkan pada keesokan hari atau pada mana-mana tarikh yang dirasakan sesuai oleh MFL;

* Peluang mendapat rehat secukupnya bagi mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi pemain bagi menjamin perlawanan yang berdaya saing dan mengutamakan pencegahan kecederaan;

* Lebih banyak masa untuk pasukan mengendalikan logistik dan perlawanan yang baik, teratur dan selamat;

* Kerja-kerja perbaikan dan penyelenggaraan padang perlawanan dijalankan pasukan dengan lebih efisien dan di tahap terbaik.

Kecuali Melaka United FC, 11 pasukan Liga Super yang layak ke Piala Malaysia 2022 ialah Johor Darul Ta’zim FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kuala Lumpur City FC, Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, PJ City FC, Sarawak United FC dan Penang FC.

Lima pasukan daripada Liga Perdana yang turut layak termasuk Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, PDRM FC dan UiTM FC. — BebasNews

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) FC disahkan juara Liga Super 2022 biarpun masih berbaki empat perlawanan – gelaran ketiganya selepas Piala Sumbangsih dan Piala FA malah Harimau Selatan perlu menebus kempunan Piala Malaysia musim lalu. – Foto MFL

 

Leave a Reply