KUALA LUMPUR — Hak menentukan tarikh pembubaran Parlimen adalah di bawah budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan untuk membubarkan Parlimen atau sebaliknya, terletak di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Perlembagaan mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh menerima atau menangguhkan permohonan daripada Perdana Menteri.

“Cuma sejak negara merdeka pada 1957, Perdana Menteri tak pernah berbincang dengan Kabinet (soal pembubaran), tetapi bagaimanapun dua minggu lalu, Kabinet sudah berbincang kalau keperluan untuk Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran dewan.

Walaupun tidak ada persetujuan, Perdana Menteri boleh menggunakan budi bicaranya, tanpa mengatakan bilakah tarikhnya, sekurang-kurangnya Kabinet sudah tahu bahawa idea itu sudah dibincangkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pembubaran Parlimen dan keperluan Perdana Menteri untuk mendapatkan kata putus daripada Kabinet terlebih dahulu sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Wan Junaidi berkata, berdasarkan Perkara 39 Perlembagaan, kerajaan Malaysia ditadbir oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi Jemaah Menteri.

Sebelum Jemaah Menteri dibentuk, Yang di-Pertuan Agong perlu melantik Perdana Menteri terlebih dahulu.

“Sebab itu kita lihat amalan sejak merdeka sehingga 1963, Perdana Menteri tak pernah berbincang dengan sesiapa (berhubung isu pembubaran) melainkan mungkin dengan pemimpin tertentu.

“Jadi sekarang ada kehendak supaya Perdana Menteri berbincang dahulu dengan Kabinet supaya ia diputuskan oleh Kabinet, tetapi itu (adalah) budi bicara Perdana Menteri sebagai pengerusi Jemaah Menteri,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply