Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah - Foto via Blogspot

KUALA LUMPUR — Peguam Datuk Seri Najib Razak diberi amaran kerana mengeluarkan kenyataan media yang menuduh pihak pendakwaan menyembunyikan maklumat mengenai surat transaksi derma daripada Arab Saudi kepada bekas Perdana Menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengeluarkan amaran itu menyifatkan kenyataan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada sidang media semalam sebagai serangan langsung terhadap pihak pendakwaan.

Sri Ram menegaskan, peguam mewakili Najib tidak boleh memberi kenyataan mengenai isu terbabit di luar mahkamah kerana pihaknya sudah tentu tidak boleh membalas dakwaan berkenaan melalui cara itu.

Katanya, tertuduh mesti menjalani perbicaraan di dalam mahkamah dan bukannya di luar kepada masyarakat umum.

Menurut beliau, semua surat yang dirujuk pembelaan sudah dikemukakan pada perbicaraan SRC International Sdn Bhd dan ia adalah surat sama yang ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi (ketika itu), Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali

“Saya tidak boleh menjawab (dakwaan) itu di luar (mahkamah) dan ia tidak wajar bagi saya berbuat sedemikian. Mereka tidak boleh menyatakan kami menyekat dokumen. Ia tidak relevan kepada kes kami. Apa yang saya perlu buktikan adalah wang itu milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Namun jika mereka mahu bangkitkan juga, jawapan saya adalah mudah, iaitu mereka dihalang daripada berbuat demikian. Saya mesti memberi amaran bahawa mereka tidak boleh melakukannya.

“Mereka tidak boleh membicarakan kes ini dalam media. Jika mereka teruskan juga, saya akan memohon kepada mahkamah untuk menghalang perbincangan ini,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan esok untuk memberi peluang kepada Muhammad Shafee menjawab. — BebasNews

Leave a Reply