ISMAIL Sabri Yaakob berucap dalam ucapan perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. – Foto PMO

KERAJAAN telah memperuntukkan RM4.8 bilion menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang memberikan 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda bagi membantu memperkukuh ekonomi belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan turut memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta yang disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank khusus untuk golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Kerajaan juga katanya amat prihatin terhadap isu peluang pekerjaan yang menghantui golongan anak muda masa kini apatah lagi 46.2 peratus mereka hanya memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500.

“Inisiatif perantis lepasan sekolah dan graduan diperkenalkan yang membenarkan majikan menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, hari ini.

Kerajaan katanya juga, mengumumkan kenaikan kadar minimum Elaun Sara Hidup (ESH) daripada minimum RM650 kepada maksimum RM950 sebulan bagi pelajar dalam negara dan minimum RM1,380 sebulan kepada maksimum RM7,600 sebulan bagi pelajar luar negara dari pelbagai peringkat pengajian.  

“Peruntukan sebanyak RM300 juta juga disediakan menerusi Program ePemula iaitu Skim Transaksi Tanpa Tunai yang dimanfaatkan golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa pada pelbagai peringkat di institusi pengajian tinggi,” katanya.

ISMAIL Sabri Yaakob melambaikan tangan kepada para hadirin perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM). – Foto PMO

IBN kata Ismail, merupakan platform digital bagi membolehkan ahli Keluarga Malaysia terutama golongan belia mengemukakan idea dan inspirasi mereka secara telus ke arah pembangunan negara serta memberi pandangan dalam penyediaan Bajet 2023.

Sebagai memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia, kerajaan katanya, sentiasa peka dan prihatin terhadap belia dan anak muda dengan memastikan luahan suara mereka sentiasa didengari dan diberikan perhatian kerana mereka didedahkan idea-idea yang lebih progresif melalui input internet dalam dan luar negara.

“Aplikasi IBN yang dibangunkan ini menerima lebih 12,000 idea anak-anak muda seluruh negara dengan penyumbang idea terbesarnya, 57.9 peratus ialah belia 18 hingga 21 tahun,” katanya.

Melalui analisis teks menggunakan teknologi kepintaran buatan (atau Artificial Intelligence) menunjukkan idea-idea yang diajukan melalui aplikasi IBN ini bersifat positif dan membina, tambah beliau. — BebasNews

Leave a Reply