JASUR Khasanov wajar diberikan pengawasan rapi Warga Kota, esok. – Foto SJ

“TIDAK perlu bermain bola sepak yang cantik kerana yang hanya semua orang ingati ialah siapa yang masuk final.”

Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak merujuk ulasannya itu ekoran keadaan padang yang agak berbonggol di Kompleks Sukan Sogdiana, Jizzakh, Uzbekistan.

Inilah antara rintangan menanti Warga Kota yang mendukung cabaran Malaysia dalam pertembungan separuh akhir Piala AFC 2022 dengan PFC Sogdiana Jizzakh, esok (9 malam waktu Malaysia).

Namun Hodak menganggap anak-anak buahnya akan turun tanpa tekanan berbanding tuan rumah yang disifatkan cukup berbahaya dengan Shokhruz Norkhonov dan Jasur Khasanov.

“Semua tekanan ada pada tuan rumah. Sebelum kejohanan ini, harapan kami ialah melepasi peringkat kumpulan. Bagi kelab kecil seperti kami, pencapaian setakat ini (separuh akhir) cukup besar,” katanya dalam rakaman sidang media praperlawanan di Jizzakh, hari ini.

BOJAN Hodak (kiri) menjelaskan keadaan cuaca dan padang yang berbeza buat anak-anak buahnya. Di sebelahnya Paulo Josue, pendahulu carta penjaring terbanyak Piala AFC 2022.

“Shokhruz berusia 39 tahun tetapi bermain macam 19 tahun. Dia dan Jasur penjaring terbanyak Jizzakh. Kami juga akan dirundung bahaya jika berdepan aturan bola mati mereka,” kata warga Croatia ini.

Hodak walau bagaimanapun tetap mengidam sesuatu positif daripada kunjungan ke bumi Uzbekistan yang bercuaca agak sejuk dan kering dengan penerbangan selama 28 jam termasuk transit di Korea Selatan.

Jika berjaya menumpaskan Sogdiana, juara Piala Malaysia 2021 ini akan merebut Piala AFC pada 22 Oktober ini dengan pemenang satu lagi separuh akhir hari ini antara kelab dari Oman, Al-Seeb dan wakil Bahrain, Al-Riffa.

HADIN Azman mampu mengucar-kacirkan kubu tuan rumah di Jizzakh. – Foto KLC

Kapten KL City, Paulo Josue yang mendahului senarai penjaring terbanyak Piala AFC dengan lima gol berkata, “tidak penting siapa yang menjaringkan gol selagi kami yang layak ke final.

“Ini satu lagi perlawanan yang getir yang tiada bezanya dengan lawan sebelum ini. Kecuali cuacanya sejuk (di Jizzakh), kami hanya datang untuk menikmati perlawanan ini dan dapatkan kejayaan.

“Kami ada Romel Morales, Hadin Azman dan Jordan Mintah di barisan serangan.

“Saya mendapat momen penjaring terbanyak itu tetapi kami kena kerja keras dan saya mahu jadi sebahagiannya (finalis),” kata perantara kelahiran Brazil berusia 33 tahun ini. — BebasNews

PAULO Josue pasti mengidam gelaran ketiga dalam kariernya dengan KL City FC selepas Piala Malaysia dan Liga Perdana sejak 2017.

Leave a Reply