Zeti Aziz

KUALA LUMPUR — Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengetahui akaun Datuk Seri Najib Razak akan menerima sumbangan AS$100 juta daripada Arab Saudi pada 2011.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif Ambank, Cheah Tek Kuang, berkata dalam pertemuan dengan Zeti, beliau (Zeti) mengambil maklum mengenai perkara itu dan memintanya supaya ia perlu dilakukan mengikut peraturan bank dan BNM sedia ada.

Saksi pendakwaan ke-39 itu memberitahu Mahkamah Tinggi, tujuan pertemuan dengan Zeti adalah untuk memaklumkan terdapat pembukaan akaun Najib di Ambank dan penerimaan wang terbabit daripada Arab Saudi.

“Dalam pertemuan itu, hanya kami berdua sahaja yang berbincang kerana perkara ini adalah rahsia dan membabitkan kepentingan Perdana Menteri.

Adalah penting untuk saya memaklumkan hal ini kepada Tan Sri Zeti kerana ianya membabitkan terma “political exposed person“. Bermaksud ianya membabitkan kepentingan negara,” katanya.

Tek Kuang memberitahu selepas pertemuan itu, beliau menyerahkan kesemua urusan pengoperasian kepada Pengurus Perhubungan Ambank Joanna Yu dan Bahagian Operasi yang diketuai oleh Ross Foden.

Menurut saksi itu, Ross Foden dan pasukannya bercadang untuk mengawal selia akaun dengan menyediakan kod nama khas dan mencadangkan diberi satu kod nama kerana akaun itu sensitif dan bagi mengelakkan terjadi kebocoran maklumat seperti Public Bank dalam kes NFC.

Beliau bersetuju dengan kod nama iaitu “AmPrivate Banking- MR” bagi mengelakkan maklumat peribadi disalahgunakan, bagaimanapun tidak tahu sama ada Najib dimaklumkan mengenai kod nama itu.

Katanya, oleh kerana ia membabitkan dasar dalaman dan pengoperasian bank, maka ia memang di bawah tanggungjawab operasi untuk memilih kod nama itu.

Tek Kuang yang membacakan pernyataan saksinya berkata, beliau kemudian menandatangani satu surat yang dihantar kepada Zeti bagi memaklumkan kod nama yang digunakan bagi akaun Ambank Islmic milik Najib dengan nombor akaun 211-202-200969-4 pada 9 Februari 2011.

Dalam surat itu, beliau memasukkan nama kod “AmPrivate Banking- MR” bertujuan menggantikan nama akaun Najib seperti dicadangkan oleh pasukan operasi Ambank.

“Tujuan surat ini dihantar adalah untuk memaklumkan berhubung kod nama tersebut iaitu “AmPrivate Banking- MR” dan bagi memudahkan pihak BNM memantau dan menyelia Sistem Ringgit Operations Monitoring System (ROMS).

“Dengan ini saya mengesahkan bahawa saya selaku Pengarah Urusan pada masa itu mengambil langkah yang betul dalam memaklumkan kepada BNM dan menafikan bahawa Ambank mempunyai niat untuk menyorokkan sebarang maklumat daripada Bank Negara,” katanya yang kontraknya di AmBank tamat pada 1 April 2012.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

— BebasNews

Leave a Reply