SHAH ALAM 6 Okt. — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah supaya perbezaan pendapat antara mufti dan agamawan hanya dibincangkan di dalam muzakarah dan tidak dibawa keluar daripada perbincangan.

Baginda menasihatkan para mufti supaya sentiasa menghindarkan diri daripada perbalahan agama di ruang awam, lebih-lebih lagi jika isu yang berbangkit telah diputuskan secara bersama dalam ruang Muzakarah.

“Perbalahan di antara mufti dan agamawan tidak seharusnya menjadi tontonan orang awam, kerana ia hanya akan merendahkan kewibawaan ulama itu sendiri.

“Sewajarnya, perbezaan pendapat ulama ini hanya dibincangkan di dalam Muzakarah dan tidak dibawa keluar dari gelanggang Muzakarah ini,” titah baginda sempena Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di sini, hari ini.

Selaku Pengerusi MKI, salah satu isu yang membangkitkan rasa dukacita baginda iaitu perbalahan mengenai keputusan muzakarah bagi Tarekat Naqsyabandi al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim al- Haqqani.

“Isu ini tidak sepatutnya dipanjangkan lagi kerana ia sudah diputuskan secara konsensus oleh Mufti dan ahli muzakarah yang hadir pada tahun 2020 di Kuantan, Pahang yang memutuskan selepas kajian semula Tarekat ini boleh diamalkan oleh pengikutnya.

“Sebab itulah beta menzahirkan titah pada 9 April lalu bahawa sebarang polemik terhadap tarekat ini hendaklah dihentikan segera bagi menghormati keputusan Muzakarah tahun 2020 yang mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada tahun 2021,” titah baginda.

Baginda turut bertitah, sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI hanya boleh dibuat oleh pengerusi (muzakarah).

Titah baginda, tiada pihak lain termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh membuat kenyataan berkenaan.

“Ini penting untuk memastikan keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan dan fatwa di peringkat negeri tidak dipengaruhi unsur-unsur politik kepartian. Jakim hanya bertindak sebagai urusetia Jawatankuasa Muzakarah MKI,” titah baginda.

Baginda sedar memandangkan setiap negeri mempunyai Jawatankausa Fatwa masing-masing, kadang kala terdapat konflik antara fatwa negeri dan keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan serta antara satu negeri dengan negeri lain.

Menurut baginda, konflik dan ketidakseragaman ini menimbulkan kekeliruan dan masalah kepada masyarakat Islam dan mempunyai implikasi kepada pembangunan ekonomi Negara.

Justeru, salah satu fungsi dan tugas penting Jawatankuasa Muzakarah MKI ialah menyelaras pengeluaran hukum dan fatwa bagi negeri-negeri di mana ketetapan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah ini merupakan ijtihad kolektif (ijtihad jama‘i) semua mufti negeri yang dibantu oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu.

“Penyelarasan dan penyeragaman fatwa oleh Jawatankuasa Muzakarah tidak sekali-kali menyentuh atau menjejaskan kuasa Sultan dan Raja di negeri-negeri sebagai Ketua Agama Islam dalam urusan pengeluaran fatwa,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menegaskan, Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum justeru, apa-apa keputusan muzakarah yang dikeluarkan hendaklah juga mengambil kira hak dan kepentingan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam seperti yang dijamin secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Titah baginda, ajaran Islam sebagai agama yang murni dan memberi rahmat kepada semua termasuk yang bukan Islam hendaklah sentiasa ditonjolkan.

“Jawatankuasa Muzakarah juga perlu merangka peraturan dan adab perbezaan pendapat antara Ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah.

“Sekiranya ada mufti atau ahli yang memilih pendapat yang tidak mengharuskan sesebuah amalan yang terjadi khilaf di kalangan ulama terdahulu, setidak-tidaknya perlu ada Adabul Ikhtilaf, sikap ‘agree to disagree’ dan beradab dalam berbeza pendapat,” titah baginda.

Sultan Selangor turut berharap muzakarah hari ini menjadi titik permulaan dalam memperbaiki institusi kefatwaan di Malaysia agar menjadi lebih baik dan bertaraf antarabangsa. Sudah sampai waktunya Malaysia juga menjadi kiblat kefatwaan bagi negara Islam lainnya.

Baginda turut menyeru semua pihak, menghormati mufti di Malaysia dan menghormati institusi kefatwaan di negeri masing- masing.

Leave a Reply