DARI kiri: Ash Lee (Fabian Loo), Intan (Azira Shafinaz) dan Iman Shah (Syafiq Kyle) antara tiga watak utama dalam "One Cent Thief."

SEJAK awal Oktober saluran Astro sering menyiarkan sedutan beberapa babak mempromosikan drama bersiri Astro Originals terbaharu One Cent Thief yang akan menemui para pelanggannya di Astro Ria HD (saluran 104) bermula malam ini pada pukul 9 malam.

Pertama kali menyaksikan sedutan One Cent Thief di kaca televisyen secara automatik mengingatkan kita akan kisah seorang eksekutif bank yang menggodam sistem perbankan dan ‘mencuri’ satu sen daripada akaun pelanggan bank yang pernah menggemparkan negara pada tahun 1990.

Bersandarkan kepada kes tersebut pihak Astro Originals telah menghasilkan drama premium lapan episod One Cent Thief diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang pernah menggemparkan Malaysia dan masih diperkatakan sehingga hari ini.

“Walaupun One Cent Thief diinspirasikan daripada peristiwa sebenar tetapi drama ini adalah sebuah fiksyen yang mengisahkan seorang pekerja bank yang mencuri hanya satu sen namun ia bukanlah cerita sebenar daripada kes yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu.

“Inspirasi daripada kejadian itu telah memberi saya ilham menghasilkan sebuah drama premium lapan episod yang mana saya mengolahnya untuk menghasilkan sebuah cerita baharu dengan menyuntik nilai komersial untuk tontonan para pelanggan setia Astro.

ALFIE PALERMO

“Drama ini mengekalkan subjek heist (rompakan) yang lain daripada naskah-naskah sebelum ini. Karya ini bukan sahaja pertama kali di Malaysia malah karya luar negara yang membawa kisah rompakan bernilai satu sen berbanding sebelum ini kisah rompakan berlian, jongkong emas dan wang berjuta ringgit,” jelas Showrunner, pencipta dan penulis skrip, Mohammad Alfie Mohammad Johari atau lebih dikenali Alfie Palermo ketika dihubungi malam tadi.

Menurut Alfie Palermo walaupun subjek utama karyanya adalah ‘heist’ namun ia membawa mesej positif serta memaparkan cabaran kehidupan setiap masyarakat yang amat dekat dengan penonton seperti orang kaya yang hidupnya mewah, orang sederhana sanggup berusaha untuk sebuah kehidupan dan mereka yang hidup susah sanggup melakukan apa sahaja walaupun meminjam daripada ceti haram.

“Babak penggodam siber diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang dipraktikkan penjenayah siber geng Carbanak dalam drama ini,” jelas Alfie Palermo.

IMAN Shah bersama ayahnya dalam satu babak “One Cent Thief.”

One Cent Thief drama bercorak ‘jenayah thriller’ ini membawa kisah seorang eksekutif bank, Iman Shah (Syafiq Kyle) yang terdesak untuk membiayai kos rawatan ayahnya (Faizal Hussein) dan menyelesaikan hutang ceti haram. Disebabkan masalah tersebut beliau sanggup melakukan jenayah kolar putih dengan menggodam sistem perbankan tempat beliau bekerja.

Dengan menggunakan kepakarannya, Iman Shah menggodam sistem Bintang Bank untuk mencuri satu sen daripada setiap akaun pelanggan bank dan berjaya mendapat jumlah wang yang besar.

DARI kanan: Para pelakon yang menerajui “One Cent Thief” Aghonderan Sahadevan, Sofia Jane, Syafiq Kyle, Faizal Hussein, Amirul Affendy dan Fabian Loo.

Selain Syafiq Kyle dan Faizal Hussein, drama ini turut dilakonkan oleh Azira Shafinaz (Intan), Fabian Loo (Ash Lee), Sofia Jane (Ibu Zaza), Aghonderan Sahadevan (Devan), Amerul Affendi (Kadak) dengan kemunculan istimewa, Tan Sri Nazir Razak.

ARIFF ZULKARNAIN

“One Cent Thief” terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. diarahkan oleh Ariff Zulkarnain menjalani penggambaran selama 48 hari di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ini adalah drama premium pertama dibawah jenama Astro Originals berbeza bahasa yang ditayangkan serentak di Astro Ria HD (104), Astro Vinmeen HD (202), Astro Shuang Xing HD (304) dan PRIMEtime (704) yang akan menemui para peminatnya pada minggu kedua sehingga akhir pada hari Sabtu pukul 11 malam.

KEMUNCULAN istimewa Tan Sri Nazir Razak dalam drama premium ini.

Adalah difahamkan selepas “One Cent Thief” Astro Shaw akan menerbitkan sebuah filem dengan ‘seorang personaliti hebat’ tidak lama lagi melalui pertemuan mereka baru-baru ini.

— BebasNews

Leave a Reply