TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

SAMBUTAN 100 TAHUN MADRASAH IDRISIAH

TARIKH: 18 RABIULAWAL 1444 / 15 OKTOBER 2022 (SABTU)

JAM: 10.30 PAGI

TEMPAT: MADRASAH IDRISIAH, KUALA KANGSAR.

Idea untuk menubuhkan sebuah pusat pengajian Islam yang menggabungkan sistem persekolahan moden dengan ciri sekolah pondok tradisional dirintis pada tahun 1917 oleh Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah (Marhum Rahmatullah).  Atas hasrat mahu merealisasikan idea tersebut, Baginda (Marhum Rahmatullah) telah mewakafkan tiga ekar tanah untuk pembinaan madrasah, dan didirikan lima buah bangunan, mengandungi sebuah pejabat (dikenali sebagai rumah bulat), bangunan induk (asrama dan bilik darjah), dan tiga buah rumah guru.  Baginda turut mewakafkan 23 buah kedai di pekan Kuala Kangsar sebagai bantuan dana untuk membiayai perbelanjaan madrasah.  Madrasah dibangunkan pada zaman pemerintahan anakanda Baginda, Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah) dan mula beroperasi pada tahun 1342 Hijriah bersamaan tahun 1922 Masihi, dinamakan Madrasah Idrisiah.

2. Madrasah Idrisiah, dibangunkan berasaskan konsep wakaf, merupakan institusi pendidikan Islam Diraja yang pertama di negeri Perak, telah memberi dimensi baharu kepada sekolah pondok.  Lokasi madrasah yang terletak dalam kawasan istana, melambangkan madrasah ini dinaungi secara langsung oleh Paduka Seri Sultan dan didukung bersama oleh para pembesar istana dan ulama.  Tuan Guru Syeikh Haji Nawawi bin Haji Tahir (Allahyarham) ialah ulama yang berperanan penting berusaha bersama tenaga pendidik merangka kandungan dan pendekatan pendidikan di Madrasah Idrisiah.  Madrasah yang terletak berhadapan Masjid Ubudiah, berperanan sebagai pelengkap yang merangkaikan peranan masjid dengan program pembangunan insan dan perkembangan ilmu.

3.Tuan Haji Muhammad bin Haji Salleh diamanahkan tanggungjawab sebagai mudir pertama.  Pelajar sulung madrasah terdiri daripada 23 orang anak yatim telah memulakan pengajian pada bulan Ogos 1922.  Madrasah Idrisiah yang telah melangkau usia 100 tahun, merupakan khazanah ummah, berstatus antara institusi agama tertua di negeri ini, berperanan sebagai tapak semaian pembangunan minda yang berjaya melahirkan ribuan ulama dan umara.

4. Madrasah Idrisiah mengabsahkan peranan Raja Melayu melindungi, memelihara, membangunkan dan mengembangkan agama Islam.  Madrasah Idrisiah menunjukkan impian dan wawasan boleh direalisasikan jika ada kesungguhan azam, komitmen, pengorbanan dan semangat dermawan.  Madrasah Idrisiah mencipta kejayaan kerana adanya sokongan dan keyakinan.  Madrasah Idrisiah melambangkan pentingnya rangkaian ilmu dan ibadah, pentingnya rumah ibadah tidak hanya tegak sebagai bangunan ikonik yang sepi dalam isolasi, di sebaliknya hendaklah dilengkapi dengan institusi keilmuan membangunkan modal insan, modal intelek dan modal budaya.  Madrasah Idrisiah mengisahkan hasil tuaian daripada rangkaian semangat bekerjasama antara istana, ulama, umara dan rakyat setempat, hingga berjaya membolehkan tanah sekepal dijadikan gunung, air setitik dijadikan laut, idea di minda menjadi realiti.  Madrasah Idrisiah menjadi dalil akan peranan penting dana wakaf yang sewajibnya dikunjungi dan digerakkan dengan lebih aktif oleh ummah pada hari ini.  Madrasah Idrisiah merupakan bukti usaha yang dilimpahi rahmat keberkatan Ilahi hingga berjaya mencapai usia 100 tahun, dan semoga terus bernafas untuk ratusan tahun lagi.

5. Kepada Allah Subhanahu Wata’ala kita mengucapkan kalimah kesyukuran, sambil memohon agar Madrasah Idrisiah terus dilimpahi kejayaan dan kecemerlangan.  Kepada Marhum Karamullah dan Marhum Kadasallah dan marhum-marhum yang seterusnya, para ulama dan para umara, dan para lulusan Madrasah Idrisiah yang telah menabur bakti dan jasa kepada ummah, kita pohonkan semoga roh mereka dirahmati ihsan Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para Solihin dan Solehah; sama-sama kita bacakan surah al-Fatihah, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut, disampaikan kepada roh-roh mereka yang begitu besar jasanya.  Al-Fatihah.

— BebasNews

Leave a Reply