SHAH ALAM, 25 Oktober, 2022 [Kemas kini] — Selepas empat dekad menerajui syarikat, pengasas Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub mengumumkan persaraan sebagai Pengerusi dan Penerbit berkuat kuasa 1 November 2022.

Turut mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa pada tarikh yang sama, ialah Timbalan Pengerusi, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Susulan daripada perletakan jawatan tersebut, kedua-dua mereka, Hussamuddin dan Muhammad Nasir masing-masing akan berperanan sebagai Penasihat dan Penasihat Bersama syarikat.

Kedua-duanya juga akan melepaskan jawatan dalam Lembaga Pengarah dan syarikat akan melantik lima Ahli Lembaga yang baharu.

Dato Hussamuddin Yaacub

Mereka adalah Puan Firdaus Hussamuddin, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi, Farah Hussamuddin, Azizi Fikry dan Izzat Izhar Muhammad Nasir.

Kekosongan yang ditinggalkan oleh Hussamuddin akan diisi oleh Firdaus Hussamuddin yang akan menggantikan beliau sebagai Pengerusi Kumpulan yang baharu. Sebelum ini, Firdaus adalah Ketua Pegawai Eksekutif untuk Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.

“Sejak empat dekad lalu, Karangkraf telah berkembang dengan kukuh. Syarikat telah berjaya bertahan dalam gelombang digital yang melanda dunia sejak 2013 yang menggoncangkan banyak industri media terutama media cetak,” kata Hussamuddin.

“Kini, saya rasa sudah tiba masanya untuk kami berundur dan menyerahkan baton kepada generasi yang lebih muda kerana generasi mereka boleh membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.

Datuk Muhammad Nasir Hamzah

Semasa ditanya apakah keputusan itu ada kena mengena dengan politik atau beliau mahu menyertai politik, ini kata Hussamuddin:

“Tidaklah, saya mahu fokus kepada Rasuah Busters.”

Rasuah Busters ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diasaskan oleh Hussamuddin bagi mendidik rakyat Malaysia membenci rasuah.

“Saya langsung tak minat politik,” jelas beliau kepada BebasNews.

Sehubungan dengan penyerahan itu, Kumpulan Media Karangkraf juga ingin mengumumkan beberapa perubahan struktur dalam syarikat yang juga akan berkuat kuasa pada 1 November 2022.

Di peringkat Kumpulan, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan (Korporat, Kewangan dan Pengurusan Risiko). Beliau sebelum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif untuk Ultimate Print Sdn Bhd.

Bagi tiga bahagian perniagaan utama Kumpulan, perubahan adalah seperti berikut:

Farah Hussamuddin akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif/Penerbit/CEO Divisi Media yang merangkumi Sinar Harian, Sinar Daily dan semua aset media milik Karangkraf, Beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf Sdn. Bhd.

Azizi Fikry akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif/CEO Bahagian Percetakan dan Pembuatan, yang merangkumi Ultimate Print Sdn. Bhd. dan Karangkraf Medicare Sdn. Bhd. Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Operasi Ultimate Print Sdn. Bhd.

Firdaus Hussamuddin juga akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif/CEO/Penerbit Kumpulan Buku dan Penerbitan Al-Quran, yang merangkumi Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf dan anak syarikatnya. Beliau akan dibantu oleh Izzat Izhar Muhammad Nasir yang akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi bahagian.

Karangkraf bermula pada tahun 1978, sebagai sebuah perniagaan penerbitan kecil di lot kedai dengan mencetak terbitan pertamanya iaitu Mingguan Kanak-Kanak. Hari ini, syarikat tersebut telah berkembang menjadi salah satu penerbitan, percetakan dan gergasi media di negara ini.

Berikut ialah Struktur Organisasi Kumpulan Karangkraf:

KUMPULAN KARANGKRAF

Pengerusi Kumpulan
Firdaus Hussamuddin (43 tahun)

Pengarah Eksekutif Kumpulan (Korporat, Kewangan, Pengurusan Risiko)
Akmal Eirfan Mohamed Fauzi (50 tahun)

GRUP MEDIA KARANGKRAF

Pengarah Eksekutif/Penerbit/CEO
Farah Hussamuddin (39 tahun)

ULTIMATE PRINT SDN BHD

Pengarah Eksekutif/CEO
Azizi Fikry (43 tahun)

GRUP BUKU KARANGKRAF

Pengarah Eksekutif/CEO/Penerbit
Firdaus Hussamuddin (43 tahun)

Pengarah Eksekutif/COO Izzat Izhar Muhammad Nasir (34 tahun )

— BebasNews

Leave a Reply