Antara lukisan wajah selebriti dan kata-kata madah hasil tulisan mereka yang akan diterbitkan dalam buku Wajah Dan Madah.

TIDAK pernah terlintas di fikiran Syed Yusof Wafa Syed Nordin atau Wafa untuk menerbitkan buku coffee table yang menghimpunkan karya lukisannya.

Buku berjudul Wajah Dan Madah, karya Wafa ini dijangka berada di pasaran pada tahun depan dihasilkan atas usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Wafa yang ditemui pada majlis Ekspresi @FINAS di Kompleks Studio Merdeka, FINAS, Hulu Klang, baru-baru ini berkongsi rasa gembiranya.

“Terharu dan bangga sebab FINAS menghargai bakat dan perjuangan saya selama ini dalam bidang seni lukisan. Saya tak sangka FINAS memerhati karya saya selama ini dan mereka sudi terbitkan buku coffee table.

Syed Wafa melukis kerana suka dan bukan untuk glamor.

“Pada hal projek ini dah lama dan kemudian PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi projek untuk hasilkan buku tu pun macam terabai. Masa tu saya fikir, jadi tak jadi pun saya tak kisah sebab siapalah saya untuk terasa hati.

“Tak sangka, akhirnya jadi juga dihasilkan buku table coffee ini. Rupanya, bukan senang FINAS nak terbitkan buku tentang karya saya. Mereka datang ke galeri saya untuk melihat lukisan yang dihasilkan.

“Alhamdulillah, hasil daripada dua perbincangan saya dengan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS (Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim) dan bahagian penerbitan buku FINAS baru-baru ini, akhirnya akan terbitlah buku itu nanti,” cerita Wafa tentang perjalanan penerbitan buku coffee table Wajah Dan Madah.

Buku tersebut akan diterbitkan dalam 100 muka surat dan memuatkan lebih 100 lukisan yang dihasilkan oleh Wafa termasuk lakaran wajah artis yang pernah dipaparkan dalam majalah URTV sebelum ini.

Lukisan wajah Mariah Carey yang lengkap dengan tandatangan penyanyi tersebut.

“Untuk judul buku itu, pihak FINAS yang tentukan. Wajah itu merujuk kepada lukisan potret selebriti, ahli politik dan kerabat diraja yang saya hasilkan.

“Madah pula merujuk kepada kata-kata yang ditulis oleh para artis di lukisan tersebut. Sebelum ini ada kolum Madah Artis dan Luahan Artis dalam majalah URTV. Daripada situ FINAS yang bagi judul Wajah dan Madah,” katanya.

Eksklusif dan uniknya lukisan illustrasi Wafa ini bukan sahaja mempamerkan daya kreativiti dan sentuhan seninya, malah ia turut mengabadikan tulisan tangan yang asli para artis berkenaan.

Artis yang menjadi pilihannya bukan sajadari Malaysia malah dari luar negara antaranya Michael Jackson, Justin Bieber, Celine Dion, Mariah Carey, Roger Federar, Mahir Zain, Avril Lavigne, Shah Rukh Khan, Salman Khan, Engelbert Humperdinck dan ramai lagi yang sememangnya menjadi pujaan ramai.

Syed Wafa berpeluang melakar wajah aktor Shah rukh Khan.

Sebagai pelukis eksklusif pertama di Malaysia, Wafa diberi penghormatan melukis illustrasi wajah artis terkenal luar negara dan kemudian diserahkan sendiri kepada artis berkenaan.

Kebanyakan mereka amat menghargai dan puas hati dengan karyanya dan merupakan cenderahati yang amat berharga dari Malaysia untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Setakat ini, Wafa menghasilkan lebih 1,000 lukisan dan pernah mengadakan lima pameran solo terbesar antaranya di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay dan di Dewan Bukit Damansara.

“Saya bersyukur sebab ramai yang menghargai bakat saya. Bila seorang dah minta saya lukis potret, yang lain pun mahu. Saya mula melukis gambar Michael Jackson. Masa dia datang Malaysia, Tan Sri Jojo bagi gambar untuk dilukis.

Bersama Avril Lavigne sewaktu penyanyi tersebut mengadakan konsert di Malaysia.

“Bermula dari situ orang kenali saya sebagai pelukis untuk selebriti. Saya harap buku ini boleh pergi jauh kerana dalam dunia belum ada seperti apa yang saya buat.

“Banyak dalam dunia ini lukisan artis tapi yang unik tentang coffee table Wajah Dan Madah ni saya lukis gambar artis tu dan bagi kepada mereka untuk tandatangani.

“Bila orang lain hargai kita, rasa terharu sangat. Selama ini saya melukis dari hati. Saya melukis walaupun dibayar oleh URTV tapi saya tak fikir soal itu kerana saya melukis atas dasar minat.

“Kepercayaan daripada orang yang beri saya peluang merupakan satu penghargaan kepada diri saya. Saya akan rasa terhutang budi dengan FINAS sepanjang hayat bila bagi peluang ini. Allah saja tahu perasaan ini,” katanya yang tidak sabar menanti kelahiran buku Wajah Dan Madah.

Menyerahkan lukisan wajah Perdana Menteri kepada wakil FINAS.

Jelas Wafa, dia tak pernah terfikir untuk buat buku dan menganggap peluang tersebut sebagai satu penghormatan untuk dirinya apabila ada pihak lain sedar akan bakatnya.

“Saya rasa seperti satu penghormatan kerana ada pihak lain sedar akan bakat saya. Kalau untuk penuhi impian, saya boleh buat sendiri kerana saya ada duit tapi tak terfikir orang lain pula yang nak buat. Itu yang saya rasa satu penghormatan untuk diri ini.

“Beberapa dekad dalam bidang ini, saya tak ada kata-kata untuk diluahkan bila Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim mengagumi karya saya.

“Pengerusi FINAS Senator Datuk Seri Zurainah Musa pun begitu merayu saya untuk lukis gambar Hussein Abu Hassan dan PM (Perdana Menteri). Saya rasa begitu terharu kerana dalam Malaysia kan ramai pelukis.

Wafa bersama Farahdhiya dan A. Aida yang hadir memberi sokongan pada pameran di acara Ekspirasi @FINAS.

“Selama ini saya tak terfikir boleh sampai ke tahap ini kerana saya melukis sebab minat. Saya nak bila saya lukis, ada sesuatu macam saya lukis wajah Hussein Abu Hassan tu. Saya nak lukisan saya ada nilai. Bila dapat saja tawaran daripada FINAS untuk buat buku, memang rezeki, alhamdulillah,” katanya yang melukis daripada jiwa dan bukan sebab duit.

— BebasNews

Leave a Reply