SINGAPURA — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berharap hubungan antara Malaysia dan Singapura yang menyeluruh akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyat.

Seri Paduka Baginda bertitah, adalah penting untuk kedua-dua negara bekerjasama di tengah-tengah perubahan landskap geo-politik, geo-ekonomi dan geo-strategik sejagat.

Titah baginda, selaku negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura seharusnya terus bekerjasama antara satu sama lain dan negara anggota ASEAN yang lain, juga dengan rakan pilihan bagi memastikan Asia Tenggara menjadi rantau yang aman, stabil dan makmur.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian di bankuet negara berlangsung di The Istana di sini hari ini, bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ke republik ini.

Tunku Azizah turut berangkat ke bankuet negara, yang juga dihadiri Presiden Singapura, Halimah Yacob, dan suami, Mohammed Abdullah Alhabshee.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, Malaysia dan Singapura berkongsi satu hubungan rapat buat sekian lama, berakar umbi dan menyeluruh, dengan kekuatannya terus meningkat termasuk menerusi peningkatan dagangan Malaysia-Singapura kepada S$128 bilion pada 2021

“Beta dimaklumkan bahawa dagangan kedua-kedua negara mungkin mencecah S$150 bilion pada 2022. Hubungan antara rakyat dengan rakyat adalah kukuh. Ramai rakyat Malaysia dan Singapura ada saudara-mara dan sahabat handai yang tinggal dan belajar di seberang tambak.

“Lebih daripada 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura dan menyumbang kepada pembangunan Singapura. Begitu juga hubungan budaya dan warisan kedua-dua negara adalah kuat,” titah baginda.

Terdahulu,baginda diberikan Sambutan Negara yang diadakan di Istana, Orchard Road di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda kira-kira pukul 5.30 petang disambut oleh Presiden Singapura Halimah Yacob dan suami, Mohammed Abdullah Alhabshee.

Al-Sultan Abdullah menerima tabik Hormat Diraja daripada barisan kawalan kehormat dengan diiringi lagu kebangsaan Malaysia Negaraku dan lagu kebangsaan Singapura Majulah Singapura.

Yang di-Pertuan Agong kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormatan dengan diiringi Halimah, sebelum Seri Paduka Baginda menandatangani Buku Pelawat Presiden.

Seri Paduka Baginda turut diperkenalkan kepada barisan Kabinet Menteri Singapura sebelum berangkat ke Majlis Penamaan Orkid yang dinamakan sempena dengan nama Tunku Azizah iaitu ‘Queen Azizah of Malaysia’.

Selepas majlis itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengadakan pertemuan dengan Halimah dan Mohammed kira-kira setengah jam sebelum berangkat ke Majlis Santapan Negara di kediaman dan pejabat rasmi Presiden Singapura itu. — BebasNews

Leave a Reply