Foto Facebook Istana Negara

SINGAPURA — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan empat menterinya, sempena lawatan negara ke republik itu.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dihadiri isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching.

Menteri Singapura yang hadir pada sesi menghadap itu ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing; Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee dan Menteri Pengangkutan, S Iswaran.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke sesi menghadap itu diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Ketua Setiausaha Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Selesai sesi menghadap yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari, yang dihoskan oleh Hsien Loong dan isteri. — BebasNews

Leave a Reply