Filem Siku 12: Langkah Derhaka menjalani penggambaran di Pendang dan Alor Setar, Kedah dalam tempoh 15 hari.

PEMINAT seni mempertahankan diri, khususnya silat pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton filem ‘Siku 12: Langkah Derhaka’ yang ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia sejak 27 Oktober, baru-baru ini.

Para pesilat pasti mahu melihat apakah langkah atau bunga-bunga silat yang diketengahkan oleh pengarah Azhari Zain menerusi aksi pelakon Zahiril Adzim sebagai A-Wut dan Syafiq Kyle sebagai Atid menjadi atau tidak.

Mengikut sejarah, seni Silat Siku 12 atau gelaran lainnya, Silat Halilintar, ciptaan Sheikh Mohamad Ghulam Merah atau Dada Meah digunakan sewaktu peperangan penjajahan Jepun terhadap Malaya.

Antara elemen pergerakan yang dipersembahkan dalam Silat Siku 12 ciptaan Dada Meah adalah silat, tomoi (muay Thai), judo, jiu-jitsu, silambam, yoga, kenjutsu, taici dan beberapa lagi.

Filem arahan Azhari Zain mula ditayang di 66 pawagam di seluruh negara sejak 27 Oktober lalu.

Disebabkan silat ini berbeza dengan silat lain, pihak penerbit juga perlu berhati-hati dalam memilih barisan pelakon agar tidak nampak kekok bila beraksi untuk filem terbitan Power Team Entertainment Sdn. Bhd., itu.

Penerbit Eksekutifnya, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, kajian mendalam dilakukan terlebih dahulu sebelum memulakan penggambaran pada 2021 untuk filem bergenre aksi tersebut.

“Kami juga mengambil sedikit masa sebelum memulakan penggambaran kerana perlu melakukan kajian mendalam mengenai seni silat siku 12 dan mencari barisan pelakon yang benar-benar sesuai dan boleh bersilat untuk beraksi dalam filem itu.

“Penggambaran filem Siku 12: Langkah Derhaka membabitkan tempoh selama 15 hari seperti dijadualkan. Ia membabitkan lokasi penggambaran sepenuhnya di Pendang dan Alor Star, Kedah.

Syafiq Kyle memegang watak Atid dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka.

“Bagi menampakkan suasana sebenar pertarungan ratusan pelakon tambahan digunakan dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka. Selain penampilan istimewa seramai 20 penari menora dari Persatuan Manora Kedah dan Manora Kham Kampung Kalai,” katanya tentang filem yang membabitkan kos sebanyak RM1.2 juta.

Mengenai cabaran menghasilkan filem yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot, Mohd Hafiz mengakui, dia mengambil alih projek filem tersebut pada saat akhir.

“Saya bersetuju mengambil alih projek dari produser, Mohamad Pozi Mansor bukan atas dasar persahabatan semata-mata tetapi saya percaya filem ini mempunyai potensi besar dan berpeluang untuk diangkat ke peringkat antarabangsa.

“Siku 12 ini adalah ilmu persilatan seni silat tua Melayu permainan 12 yang jarang diketengahkan dalam filem sebelum ini,” katanya.

Untuk filem ini banyak pelakon tambahan digunakan.

Bagaimanapun, menurut Mohd Hafiz, banyak yang perlu diperbaiki untuk memastikan kualiti filem itu sesuai untuk tayangan di pawagam.

“Banyak proses yang perlu dilalui filem ini terlebih dulu sebelum mendapat kelulusan untuk tayangan di pawagam termasuk dengan Kementerian Dalam Negeri dan Skim Wajib Tayang serta wakil pawagam sendiri.

“Saya perlu menyiapkan dari segi proses suntingan, ‘audio mixing’ dan ‘color grading’ filem ini. Pada masa sama, filem ini juga hanya menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) sebanyak 10 peratus.

“Alhamdulillah, selepas melihat maklum balas positif dari semua pihak terbabit, saya dan produser kembali bersemangat untuk membawa filem ini ditayangkan di pawagam,” katanya tentang filem yang berkisar tentang dendam, maruah diri, cinta, persahabatan dan takdir.

Zahiril Adzim sebagai A-Wut yang mengkhianati Atid.

Ditanya soal kutipan filem itu pula, kata Hafiz, dia tidak mahu meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya hanya menyerahkan kepada ketentuan Allah.

“Saya memang berdebar menanti tayangan filem ini di pawagam kerana ia filem terbitan pertama saya. Apapun, saya dan produser sudah bekerja keras dan berusaha memberikan sentuhan terbaik pada filem ini.

“Kami berkarya ikhlas dari hati dan selebihnya kami serahkan pada penilaian penonton dan soal rezeki.

“Selain kekuatan jalan ceritanya, saya juga yakin dengan momentum yang ada selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, filem genre aksi Siku 12: Langkah Derhaka juga akan mendapat tempat di hati penonton.

“Selepas filem Mat Kilau, semua filem Melayu yang ditayangkan di pawagam juga mencecah kutipan melepasi sejuta. Justeru, saya berharap semua penggemar filem aksi memberi sokongan pada filem ini,” katanya.

Filem Siku 12: Langkah Derhaka mengisahkan Atid dan A Wut berketurunan Siam adalah dua sahabat baik tinggal di Kampung Siam, Pendang, Kedah.

Mereka sangat meminati seni mempertahankan diri Muay Thai, apatah lagi, pertandingan Muay Thai dianjurkan selepas padi dituai dengan terbuka kepada peninju dari Thailand, setiap tahun.

Bapa Atid, Ayah Man pernah belajar ilmu persilatan Seni Silat Tua Melayu Permainan Siku 12 dengan Tuan Guru Haji Zainal. Semasa berlawan dengan beberapa perompak bersama sahabatnya, Harun, Ayah Man secara tidak sengaja tertikam salah seorang perompak.

Harun menyuruh Ayah Man melarikan diri ke kampung isterinya di Pattani. Kerana peristiwa itu, Harun berkorban dan akhirnya, meninggal dalam penjara. Apabila isterinya meninggal, Ayah Man berpindah ke Pendang bersama Atid dan hidup secara sederhana sebagai petani dan tukang kayu.

Atid dapat melihat ketangkasan bapanya bersilat sehingga dapat menumbangkan lintah darat di kampung. Ia membuatkan Atid mengetahui apakah jurus persilatan digunakan.

Atid beriya-iya mahu bapanya mengajar jurus persilatan, biarpun Ayah Man cuba mengelak dan merahsiakan ilmu persilatan Siku 12 akibat sejarah hitam bersama Harun.

Atas desakan Atid, Ayah Man bersetuju menurunkan ilmu persilatan Siku 12, jurus yang dapat menjatuhkan musuh sekelip mata iaitu jurus Langkah Derhaka walaupun dalam masa sehari.

Namun, Atid tidak menyangka sahabatnya, A-Wut mengkhianatinya apabila mendengar Ayah Man menurunkan ilmu persilatan kerana beranggapan Atid mementingkan diri mempelajari ilmu berkenaan tanpanya. — BebasNews

Leave a Reply