STADIUM Nasional, Bukit Jalil mampu memuatkan sehingga 90,000 penyokong Ultras Malaya. – Foto FAM

STADIUM Nasional, Bukit Jalil kekal sebagai gelanggang Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF 2022 dari 20 Disember ini hingga 9 atau 10 Januari 2023 (jika layak ke separuh akhir) selain satu perlawanan persahabatan antarabangsa tahap 1.

Dua perlawanan Kumpulan B Piala AFF di situ membabitkan skuad Kim Pan-gon ialah menentang Laos pada 24 Disember ini dan Singapura, 3 Januari 2023 pada pukul 9 malam manakala satu persahabatan menentang Kemboja, 9 Disember ini.

Stadium yang menyaksikan kemaraan skuad negara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sebagai naib juara kelayakan Kumpulan E pada Jun lalu itu, sebelum ini dilaporkan terpaksa memberi laluan kepada aktiviti bukan sukan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman mengumumkannya menerusi laman sesawang rasmi dan Facebook, hari ini.

PERSAHABATAN menentang Kemboja dan Maldives serta Piala AFF menanti Harimau Malaya, Disember ini selepas bergelar naib juara Piala Raja Thailand di Chiang Mai, bulan lalu. – Foto FAM

Dua lagi perlawanan Kumpulan B Piala AFF yang berformat liga dan kalah singkir timbal balik, menentang Myanmar dan Vietnam pada 21 dan 27 Disember ini berlangsung di gelanggang lawan, kemungkinan Yangon dan Hanoi.

Harimau Malaya juga akan mengharungi perlawanan pemanas badan kedua menjelang kejohanan dwitahunan serantau Asia Tenggara itu, menentang Maldives pada 14 Disember ini tetapi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir 6/7 dan 9/10 Januari 2023 manakala final pada 13 dan 16 Januari 2023 (yang jika Malaysia layak, bakal ditentukan kemudian).

“Terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan sementara, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas keprihatinan dan kebenaran penggunaan Stadium Nasional sebagai gelanggang Harimau Malaya bagi Piala AFF 2022.

“Kami sedia maklum mengenai keadaan padang Stadium Nasional dan akan mengambil langkah bersama-sama Perbadanan Stadium Malaysia dalam memastikan kualitinya pada tahap memuaskan dalam perlawanan-perlawanan yang dijadualkan itu.

“Kepada para penyokong Harimau Malaya, teruskan aura Stadium Nasional seperti pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia, Jun lalu itu pada perlawanan-perlawanan berkenaan,” kata Azman.

Harimau Malaya ketika dikendalikan Tan Cheng Hoe, gagal ke separuh akhir Piala AFF 2021 di Singapura setelah dibenam Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1 namun mengalahkan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 untuk hanya mengumpul enam mata di tempat ketiga Kumpulan B.

Hanya sekali skuad negara menjulang Piala AFF iaitu pada 2010 selepas menumpaskan Indonesia secara agregat 4-2 dan tiga kali bergelar naib juara, 1996, 2014 dan 2018. — BebasNews

HARIMAU Malaya mendapat suntikan semangat dan sokongan padu Ultras Malaya di Bukit Jalil ketika Kelayakan Piala Asia, Jun lalu. – Foto FAM

Leave a Reply