Saipolyazan Mat Yusop

KUALA LUMPUR– Malam tadi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengumumkan barisan 72 calon Parlimen Pilihanraya Umum Ke 15 (PRU-15).

Beberapa tokoh masyarakat, korporat dan barisan pemimpin muda dalam parti diberi peluang untuk bertanding pada PRU-15 yang dijadualkan pada 19 November depan.

Antara tokoh yang agak mengejutkan diumumkan bertanding adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Mat Yusop yang bakal bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Saipolyazan kini adalah pengurusan kanan UEM Edgenta Berhad sebagai Country Head (Saudi).

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang korporat selama 30 tahun, termasuk sebagai Head of Asset and Facilities Management (Bin Laden Group/Alborj Internasional), Head of Planning and Development (Celcom Axiata Berhad) dan pernah bertugas di PETRONAS.

Selain Saipolyazan, Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa akan bertanding di Pasir Mas Kelantan.

Sebelum ini Husam digembar-gembur akan bertanding di Parlimen Shah Alam.

Pemimpin tertinggi KEADILAN sendiri seperti presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah bertanding di Parlimen Tambun.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli membuat ‘come back’ di Parlimen Pandan.

Sementara itu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak dan menyerahkan kerusi Pandan kepada Rafizi.

Walaupun Anwar dan Wan Azizah berpindah kerusi, puteri mereka Nurul Izzah Anwar memilih untuk kekal di Permatang Pauh.

Selain nama-nama besar tersebut, beberapa nama pemimpin muda seperti Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek akan bertanding di Nibong Tebal, Ketua Majlis Pimpinan Angkatan Muda, Adam Adli Abd.Halim turut terpilih bertanding di Hang Tuah Jaya menggantikan Datuk Seri Shamsul Iskandar @Yusre Mohd.Akin yang bertanding di Bagan Datuk untuk menentang Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

Nama-nama besar lain seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang akan ke Gombak menentang penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga turut tersenarai.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut kekal mempertahankan kerusi Kulim Bandar Baharu.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga bekas Ketua Wanita KEADILAN kekal bertanding di kerusi tersebut manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail mengesahkan tempat bertanding menentang Datuk Zuraida Kamaruddin di Ampang.

PRU-15 yang bakal diadakan kurang dari tiga minggu dianggap sebagai medan terbaik untuk Anwar meneruskan cita-citanya menjadi Perdana Menteri, namun halangan yang menantinya bukan kaleng-kaleng.

Sama-sama kita nantikan keputusan pada malam 19 November depan nanti.

— BebasNews

Leave a Reply