PERTAMA kali saya bertemunya selepas prebiu filem “Bintang Malam” pada Jun 1991 di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS, Hulu Kelang. Ketika itu beliau memperkenalkan dirinya sebagai pemberita baharu dari Harian Metro.

Bertubuh kecil dan kurus melidi dengan wajah ‘innocent’nya beliau menzahirkan ‘rasa takut’ kepada saya kerana menurut wartawan senior dari unit hiburan Berita Harian (BH) saya adalah seorang yang tegas dan garang.

Saya yang mendengar kata-kata dan tanggapannya terhadap saya tidak membalas walau sepatah kata sekadar tersenyum sambil memandang wajah jujur dan ‘lurus’ seorang pemberita muda yang berasal dari Telok Wanjah, Alor Setar, Kedah.

Kali kedua pula kami dipertemukan pada pelancaran album Ziana Zain “Madah Berhelah” pada Disember 1991 di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Ketika itu keberaniannya mula terserlah apabila beliau melemparkan soalan demi soalan pada sidang akhbar tersebut. Bukan itu sahaja malah beliau tampak lebih selesa apabila bergaul dengan kami wartawan senior.

Sejak itu hubungan kami bagaikan ‘kakak dan adik’ apabila dia tidak ada rasa ‘takut’ atau kekok untuk duduk semeja bersama kami setiap kali membuat liputan pelancaran album artis atau majlis sidang akhbar selepas prebiu filem ketika itu.

Itulah Roslen Fadzil, bekas Pengarang Hiburan Harian Metro (HM) yang terpaksa melepaskan jawatan dan tugasnya pada 31 Ogos 2017 atas nasihat doktor kerana masalah kesihatan. Jika tidak kerana ‘slipped disc’ mungkin sampai hari ini beliau masih sibuk dengan tugas hakikinya menyunting artikel hiburan para wartawan HM sebelum ia disiarkan.

Mewawancara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mei 2009 di Putrajaya

Dua tahun selepas ‘bersara’ melalui Facebooknya, saya sering terbaca beberapa status Roslen Fadzil yang meneruskan minat dan bakatnya dalam bidang penulisan dengan menulis lirik, menulis skrip drama dan filem pendek disamping melukis.

Menyedari pelbagai bakat dalam bidang seni milik Graduan Pentadbiran dan Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Arau, Perlis ini yang sanggup menjadi waiter di Restoran Tambuah Emas Komtar dan Tower Palace Komtar, Pulau Pinang, terdetik di hati saya untuk menulis mengenainya. Setelah dua bulan ‘memujuk’ akhirnya beliau mengalah.

Seperti yang dijanjikan baru-baru ini kami bertemu di sebuah restoran makanan segera di Ampang. Lebih dua jam kami berbual dan saya cuba mendekati naluri hati bekas pelukis di Ruslin’s Grafik dan Iklan, Alor Setar ketika berusia 17 tahun dan Pegawai Kaji Selidik di Survey Research Malaysia (SRM), Menara MPAJ, Petaling Jaya.

Dalam pertemuan itu, beliau yang pernah menyewa bilik di bawah kolong demi kelangsungan hidup bercerita mengenai dunia kewartawanan yang telah banyak merobah hidupnya dari seorang penjual laksa dan mihun sup di Pasar Seberang Perak, di Alor Setar dengan pelanggan tetapnya, Aziz Desa (Allahyarham) yang kini dikenali dengan nama komersialnya, SlenFadzil berkata;

“Pertama kali apabila doktor beritahu tentang penyakit saya dan apa yang harus dilakukan, saya terkedu kerana harus meninggalkan dunia kewartawan yang telah menjadi rutin hidup saya selama 27 tahun.

“Tetapi apabila memikirkan risiko jika saya kekal sebagai ‘newspaper man’ ia akan menjejaskan kesihatan yang amat membimbangkan. Saya tidak boleh stress dan duduk terlalu lama. Akhirnya dengan berat hati saya meninggalkan dunia kewartawanan yang saya minati. Saya mengambil VSS (Voluntary Separation Scheme/ Skim Pemisahan Sukarela) ketika NSTP menawarkan kepada para pekerjanya.”

Beberapa bulan setelah berhenti sebagai wartawan beliau bagaikan ‘anak ayam kehilangan ibu’ kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan dalam meneruskan hidup.

“Insyaa-Allah dengan pampasan VSS yang diberi oleh NSTP saya mampu dan selesa meneruskan hidup tetapi jiwa saya rasa kosong!

“Dunia kewartawan adalah impian saya sejak kecil. Lebih 20 tahun dalam bidang ini, ia telah membentuk saya sebagai SlenFadzil hari ini. Biarpun ia telah membawa saya dalam pelbagai bidang penulisan kreatif namun tidak sedetik pun ia mampu memadamkan jiwa seorang wartawan dalam diri ini.

“Sampai saat ini masih segar dalam ingatan saya semasa dalam ‘training’ bulan pertama di meja am Berita Harian pada tahun 1990. Ketika itu, saya ditugaskan mencari berita di hospital dan mahkamah tetapi pada satu hari Bos tugaskan saya mencari berita di tapak pelupusan sampah (dump site) di Puchong.

“Ketika itu saya ‘blur’ apabila menerima arahan Bos untuk mendapatkan berita di situ kerana saya tertanya-tanya apalah berita yang ada di situ. Tetapi apabila sampai di ‘dump site’ yang melonggokkan segala sampah sarap dan barang buangan, hampir menitis airmata saya apabila melihat pemungut sampah daripada famili gelandangan bersama kanak-kanak yang begitu tekun mencari ‘barang yang berharga’ demi sesuap nasi.

“Ketika itu baru saya sedar di sebalik sampah sarap rupanya ada rezeki untuk mereka meneruskan kehidupan. Mereka tidak mengendahkan bau, kuman atau apa sahaja yang penting mencari rezeki yang halal buat keluarga.

“Selama di situ baunya memang kurang menyenangkan kerana ketika itu mana ada ‘mask.’ Namun rasa mual dan hampir muntah saya tahan kerana tidak mahu mengecilkan hati mereka.

“Ketika melihat mereka mengutip botol dan barangan lain dan setelah ‘berbual’ dengan mereka, ia benar-benar menginsafkan saya. Walaupun mereka hanya mendapat antara tiga puluh hingga empat puluh ringgit sehari namun tetap bersyukur kerana mampu menyara keluarga.

“Dua jam bersama mereka, ia benar-benar merenggut naluri saya sebagai seorang insan. Betapa tidak, ketika kita memikirkan tentang kotor kuman dan penyakit tetapi tidak bagi mereka. Tanpa sarungtangan, tanpa mask bukan sahaja orangtua malah kanak-kanak juga sama-sama mencari rezeki,” cerita SlenFadzil ketika mengimbau tugas pertama beliau yang cukup mencabar.

Menurut SlenFadzil, walaupun pengalaman di ‘dump site’ amat mencabar namun ia mencatatkan ‘sejarah tersendiri’ buat dirinya apabila berita tersebut menjadi tajuk utama muka dalam BH dengan byline Roslen Fadzil!

“Bermula dari itu, saya sedar tugas seorang pemberita amat luas kerana setiap benda yang dilihat ada pelbagai cerita dan terserah pada kita untuk membongkarnya dari sudut mana kita menulisnya dan yang penting tulisan itu mesti ada unsur ‘human interest,” kata SlenFadzil.

Menurut SlenFadzil, selepas setahun di BH apabila Harian Metro (HM) diterbitkan pada 25 Mac 1991, beliau adalah salah seorang perintis dan diletakkan di meja hiburan.

“Saya tidak pernah menduga dari ‘dump site’ akhirnya saya ke Hollywood dan duduk di hotel mewah, The Beverly Hilton, Los Angeles.

“Semuanya kerana tugas saya sebagai wartawan hiburan. Saya ke sana kerana assignment junket filem “Pirates of The Caribbean: At World’s End” pada tahun 2007 dan dapatlah saya interbiu Orlando Bloom dan Chow Yun-Fat. Biasanya masa menemubual setiap artis Hollywood adalah sekitar 15 hingga 20 minit sahaja dalam berkumpulan yang kecil,” cerita SlenFadzil sambil tersenyum mengimbau kenangan lalu.

Selain membuat liputan di Hollywood, SlenFadzil juga pernah dihantar ke Barcelona, Sepanyol untuk junket filem “Cars” (Walt Disney Pictures) dan menemuramah Owen Nelson pada tahun 2006.

Namun katanya tugasan paling tidak dapat dilupakan adalah ke Cancun, Mexico pada tahun 2012 untuk program liputan khas bagi filem-filem blockbuster edaran Sony Pictures International kerana berpeluang menemuramah bintang-bintang Hollywood seperti Will Smith, Salma Hayek, Andrew Garfied, Emma Stone, Milla Jovovich dan Jamie Foxx.

 

SlenFadzil pernah mewawancara dua ‘Bond Girl’ iaitu Izabella Scorupco (GoldenEye) dan Michelle Yeoh (Tomorrow Never Dies).

“Sebelum ke junket Sony Pictures semua media antarabangsa mesti menandatangani dokumen khas di mana kami tidak boleh bergambar secara peribadi dengan bintang Hollywood demi menjaga privasi mereka. Ini kerana kami semua menetap di hotel yang sama iaitu The Ritz Carlton Cancun, jadi tahap keselamatan amat ketat.

“Namun secara amnya wartawan hiburan yang membuat liputan untuk bintang Hollywood dinasihatkan meminta kebenaran daripada pihak penganjur dan pengurusan artis terlebih dahulu jika mahu bergambar. Ia bergantung kepada nasib dan situasi.

“Saya gembira dapat bergambar dengan Angelina Jolie, Milla Jovovich serta dua bintang filem James Bond iaitu Datuk Michelle Yeoh dan Izabella Scorupco.

“Walaupun saya berpeluang menemuramah ramai bintang Hollywood tetapi bagi saya kenangan paling manis dan masih segar sehingga hari ini apabila berpeluang menemuramah Angelina Jolie.

“Saya mengagumi Angelina Jolie dan impian saya menjadi kenyataan apabila berpeluang menemuramah beliau di Hotel Mandarin Oriental, New York mengenai filem arahannya, Unbroken.

“Walaupun saya cuma diberi waktu 15 minit, bagi saya Angelina Jolie seorang aktres yang sangat jelita, ramah dan berketrampilan. Dia begitu terharu apabila saya katakan betapa terujanya saya ketika menonton prebiu filem Unbroken walaupun ketika itu masih jetlag akibat perbezaan waktu Kuala Lumpur dan New York. Selesai menemuramahnya kami bergambar berdua,” cerita SlenFadzil sambil tersenyum.

Menurut SlenFadzil sebagai wartawan hiburan ia telah membawanya hingga ke Hollywood namun sehingga kini beliau tidak pernah menduga usikannya dalam ruangan gosip ‘Soseh-Soseh’ HM mendapat perhatian peringkat negara.

“Dalam ruangan tersebut saya mengesyorkan pihak Pos Malaysia terbitkan setem kenangan Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sempena tarikh lahir beliau.

“Saya tak sangka isu polemik itu mendapat perhatian bekas Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Zakiah Hanum Abdul Hamid (Allahyarham) dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (Allahyarham). Saya bersyukur kerana Pos Malaysia mengorak langkah positif dan saya turut terlibat kearah penerbitan setem berkenaan.

“Pada Julai 1999 Pos Malaysia menerbitkan setem pos P. Ramlee dan sampul surat hari pertama ekoran daripada tulisan saya itu.

“Bagi saya ini penting dalam kerjaya saya dan sebagai peminat nombor satu P. Ramlee. Sekurang-kurangnya saya berjaya melonjakkan ikon pujaan saya ke tahap antarabangsa sepertimana setem Elvis Presley,” cerita SlenFadzil yang juga meminati Biduan Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Selain pasangan suami isteri berkenaan SlenFadzil juga meminati Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Allahyaram Datin Rafeah Buang, Hail Amir dan Uji Rashid malah sanggup membelanjakan lebih RM200 untuk memilikki sekeping LP para penyanyi berkenaan yang mana cuma berharga tidak sampai RM20 harga asalnya. Malah beliau pernah membayar RM1,000 hanya untuk sekeping LP duet P.Ramlee dan Saloma!

“Saya juga pernah beli sekeping LP Allahyarham Kak Pah (Allahyarham Datuk Sharifah Aini) dengan harga RM300! Saya tidak kisah demi menghargai suara lunaknya dan hubungan silaturrahim sepanjang saya mengenali Allahyarham yang menganggap saya seperti adiknya sendiri dan sering memasak apabila mengundang saya ke banglo mewahnya di Petaling Jaya,” kata SlenFadzil.

‘Rahsia’ tengok wayang free

SlenFadzil mula meminati dunia hiburan sejak umur lima tahun apabila sering dibawa menonton filem oleh arwah emaknya, Aisyah Rahim dan arwah neneknya, Che Tam Abdullah.

“Selalunya kami naik beca untuk tengok wayang dan antara filem terawal yang saya tonton pada tahun 1970-an adalah “Putus Sudah Kasih Sayang, Laksamana Do Re Mi, The Exorcist, Bobby dan Cinta Pertama” lakonan Christine Hakim dan Slamet Rahardjo (1973).

Bertemu semula Christine Hakim di Festival Filem Antabangsa Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Disebabkan minat tengok wayang setiap hari balik sekolah saya naik basikal dan akan lalu depan panggung wayang sekadar nak tengok poster apa filem akan ditayangkan. Apabila masuk tingkatan empat dan lima selalunya saya menyorok belakang pintu bagi signal lima jari minta emak lima ringgit untuk beli tiket, makanan dan minuman.

“Malah saya sanggup beli tiket ‘black market’ hanya untuk menonton filem box-office seperti Yaadon Ki Baaraat, Hapuslah Airmatamu, Akhir Sebuah Impian dan King Kong.

“Disebabkan terlalu minat tengok wayang saya pernah minta kerja ‘part time’ di panggung wayang. Sampai hari ini saya masih ingat kawan saya, Chan Siew Mooi yang bekerja di Panggung Rex, Alor Setar. Nasib tidak menyebelahi saya kerana hajat saya nak bekerja walaupun sebagai penjaga tiket tiada kekosongan.

“Tetapi Chan Siew Mooi bagi saya tengok wayang free dengan syarat saya hanya boleh masuk setelah 10 minit wayang diputarkan. Saya tak kisah janji dapat tengok wayang free walaupun filem Cina dan Tamil. Emak tak marah saya tengok wayang dengan syarat mesti sampai rumah sebelum tengah malam.

DALAM kenangan…SlenFadzil (hari ini) dan ketika kecil bersama Allahyarham emaknya, Aisyah Rahim

“Kini setiap kali beli tiket di kaunter saya teringat kawan baik saya, Chan Siew Mooi. Apa khabar agaknya dia? Semoga Chan Siew Mooi sihat dan jika diizinkan-Nya saya ingin berjumpa beliau,” luah SlenFadzil.

Disebabkan minatnya menonton filem tiada sempadan, SlenFadzil yang pernah menjadi pengarang Murai.com.my selama dua tahun mulai 2008 namun kembali semula sebagai Pengarang Hiburan HM pada pertengahan 2010 memberitahu filem epik Tamil terbaru yang ditonton di pawagam minggu lalu “Ponniyin Selvan” arahan Mani Ratnam lakonan Vikram dan Aishwarya Rai. Skor muzik dan lagu sentuhan komposer yang yang pernah memenangi Academy Awards, AR Rahman.

Menurut SlenFadzil, beliau terpanggil untuk menonton filem ini setelah melayari portal berita di India yang melaporkan kos penerbitan dua bahagian filem ini mencecah sebanyak RM286 juta. Bintang utama Aishwarya Rai dilaporkan menerima bayaran sebanyak RM5.7 juta sementara Vikram dibayar sebanyak RM6.8 juta. Setelah ditayangkan 28 hari di seluruh dunia kutipannya mencecah RM282 juta.

Ini adalah filem Tamil pertama yang diterbitkan dalam format IMAX.

POSTER filem “Ponniyin Selvan” dengan bintang utamanya Aishwarya Rai dan Vikram.

“Ponniyin Selvan” adalah karya epik sejarah tentang zaman kegemilangan serta pergolakan Empayar Chola di Selatan India pada abad ke-11.

Menulis lirik kerana Juwie

Jika tidak kerana Juwie (Allahyarham Abdul Jalil Salleh) menolak tawaran menulis lirik lagu untuk album Maya Karin daripada komposer Ajai mungkin tidak siapa tahu bakat SlenFadzil.

“Semuanya bermula pada tahun 2000 apabila Ajai mahu menerbitkan album Maya Karin dan salah satu lagu genre poplatin moderate. Apabila Juwie menolak kerana beliau lebih sukakan genre balada, team MIG yang mengurus Maya menawarkan kepada saya. Alhamdulillah lirik lagu pertama saya ‘Dosa Apa’ diabadikan dalam album Maya Karin ‘Erti Cinta,” cerita SlenFadzil.

Sejak itu satu demi satu Ajai memberi peluang SlenFadzil menulis lirik antaranya “Janji Seorang Kekasih (Intan Sarafina), “Riwayat Cinta” (Misha Omar), “Lembah Asmara” ( Ziana Zain), “Cerita Asmara” (Datuk Fazley) “Musim Asmara” (Soo Wincci), “Selami Perasaanku” (Allahyarham Siti Sarah).

SlenFadzil pernah mencipta lirik “Kembalikan Indah” untuk album Dato’ Siti (Prasasti Seni) pada 2004. Melodi ciptaan Helen Yap.

Beliau juga menulis lirik lagu “Kembalikan Indah” (Datuk Seri Siti Nurhaliza), “Meluruh” ciptaan Alyah dan Helen Yap nyanyian Datin Alyah dan “Sinar Mata Hati” lirik SlenFadzil dan lagu SlenFadzil dan Helen Yap

Sehingga hari ini SlenFadzil telah menulis lebih daripada 30 lirik dan “Sinar Mata Hati” mencatatkan sejarah dan kenangan manis buat beliau sebagai penulis lirik dan pencipta lagu bersama Helen Yap apabila melayakkan Ernie Zakri memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 2022) pada 12 September lalu.

“Selain menulis lirik, Sinar Mata Hati menjadi benchmark saya sebagai pencipta lagu. Saya mencipta melodi bersama Helen Yap. Impian saya di masa hadapan bukan sahaja mahu menghasilkan lirik dan lagu malah saya mahu menghasilkan lagu irama Malaysia. Saya amat mengagumi lagu-lagu ciptaan Pak Ngah (Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain),” kata SlenFadzil yang juga pernah bekerjasama dengan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, Sharon Paul, Julfekar, Sze Wan, Yu Heng, Royston Sta Maria dan
Omar K.

“Sinar Mata Hati” adalah lagu runut bunyi drama rantaian 49 episod “Suri Katriana” idea asal SlenFadzil dan skrip oleh beliau dan wartawan Zurina Waji. Drama dengan pelakon utamanya Ernie Zakri, Ummi Nazeera, Zul Huzaimy dan Nazim Othman telah disiarkan mulai 30 Oktober 2019 sehingga 2020 di Astro Prima.

Bersama Helen Yap dan Ernie Zakri sewaktu rakaman lagu “Sinar Mata Hati.”

Apabila ditanya soalan yang agak sensitif iaitu mengenai bayaran sebagai penulis lirik sambil tersenyum SlenFadzil berkata;

“Bayaran untuk penulis lirik terlalu ‘rendah’ malah saya pernah mendengar khabar ada yang dibayar hanya RM50 sahaja. Tetapi yang kaya adalah komposer dan artis kerana lagu mereka diputarkan di radio, jualan di platform digital antaranya di Youtube dan Spotify.

“Tetapi disebabkan minat saya teruskan kerana ada pihak yang bertanggungjawab menguruskan royalti tahunan kami iaitu MACP (Music Authors’ Copyright Protection/Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia).

Mini galeri di Pantai Cenang

BAKAT melukis SlenFadzil, anak kedua daripada 10 beradik (berlainan ibu) mula menyerlah sejak usianya tujuh tahun. Ketika itu, apa sahaja yang dilakar di ‘white paper’ akhirnya akan menjadi sebuah pemandangan yang indah kerana itu adalah fortenya.

Sebab itu tidak hairanlah pada setiap kali peperiksaan di sekolah beliau akan mendapat markah paling tinggi atau ‘score’ A dalam mata pelajaran berkenaan.

Bukan itu sahaja malah pada suatu ketika, SlenFadzil yang telah menyiapkan lukisannya dalam peperiksaan penggal akhir di sekolah sanggup membantu tiga orang kawan baiknya.

“Mereka adalah kawan baik saya dan tidak pandai melukis. Saya siapkan lukisan mereka sekadar memastikan mereka lulus subjek berkenaan. Alhamdulillah mereka lulus dan saya pula dapat A,” cerita SlenFadzil sambil ketawa kecil ketika mengimbau kembali semangat setia kawannya.

SlenFadzil bukan sahaja menjadikan pemandangan alam sekitar sebagai sumber ilhamnya malah menghayati hasil karya para pelukis hebat Hoessein Enas, AB. Ibrahim dan Jaafar Taib menjadi pendorong kejayaannya dalam bidang tersebut.

“Sejak kecil saya suka menghabiskan waktu di rumah Pak Wan Ismail yang merupakan jiran kami. Saya boleh duduk berjam-jam di situ hanya untuk menghayati koleksi lukisan karya pelukis Allahyarham Datuk Hoessein Enas. Saya kagum melihat dan menikmati sentuhan hebat Allahyarham dalam melukis wanita nusantara iaitu Melayu dan Indonesia yang tetap nampak manis dan ayu berkebaya.

“Setelah berjam-jam menghayati dan ‘study’ lukisan Allahyarham Hoessein Enas, saya balik rumah dengan memori yang kuat dan dengan mengunakan cat minyak saya curahkan ilham saya di kanvas,” cerita SlenFadzil yang pernah menjadi Presiden Persatuan Lukisan di Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Alor Setar, Kedah.

Menyedari bakat melukis yang dimilikki SlenFadzil, setelah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir, guru besar tugaskan beliau dan rakannya menghasilkan lukisan mural di dinding untuk mencantikkan sekolah dan beliau memilih tema kebudayaan.

Lukisan mural yang dihasilkan SlenFadzil bersama rakannya di dinding Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Alor Setar ketika Tingkatan 5.

“Semasa di tingkatan enam, saya menyertai Angkatan Pelukis Kedah dan menyertai pameran sempena Hari Keputeraan Sultan. Dua lukisan saya berjaya dijual iaitu pemandangan dan lukisan Seniwati Siput Sarawak dan Anita Sarawak yang berkonsepkan mixed media,” cerita SlenFadzil yang pernah menyertai pertandingan lukisan akhbar Mingguan Malaysia (MM) dan lukisannya bertemakan “Tragedi Kebakaran” antara tiga terbaik memenangi hadiah RM100.

“Sampai sekarang saya masih ingat lukisan itu ada wanita berkemban yang menggambarkan suasana kelam kabut orang kampung klasik berlari untuk menyelamatkan diri dalam satu kebakaran. Ketika melukis saya teringatkan lukisan Hoessein Enas dengan elemen orang kampung dahulu bersama ayam itik dan lukisan ini pernah menghiasi cerpen di MM,” cerita SlenFadzil yang pernah bercita-cita menjadi Cikgu lukisan, sejarah dan ilmu alam.

Idayu Yaakob turut hadir di pameran lukisan The Jourrney.

Beliau bersama rakan pelukis pernah mengadakan pameran lukisan “The Journey” selama tiga bulan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada awal 2019 dan apabila ditanya minatnya melukis dan sinonimnya dengan kehidupan hari ini, SlenFadzil berkata;

“Dengan melukis ia memberi saya kelegaan, kepuasan dan ilham dalam pelbagai cabang seni yang saya ceburi seperti menulis lirik, menulis lagu, menulis skrip drama dan filem pendek. Melalui seni saya mahu berkongsi kebaikan dengan masyarakat.”

SlenFadzil yang telah menghasilkan hampir 10 skrip antaranya drama rantaian 49 episod “Suri Katriana” tiga filem pendek “Asrar, Iqra’ , Aidil dan Atok” dan terbaru cerekarama arahan Bade Haji Azmi, “Dosa Tak Terampun” apabila ditanya rancangan masa hadapannya berkata;

“Saya mahu mempunyai mini galeri sendiri yang akan mempamerkan semua lukisan. Saya akan namakan ‘Galeri Lembah Asmara.’ Lagu nyanyian Ziana Zain ini memenangi kategori Lagu Pop Pilihan Anugerah ERA 2003. Lokasi pilihan saya adalah di Pantai Cenang, Langkawi.”

Menyelusuri penglibatan beliau dalam lima bidang yang diceburi sebagai pelukis, pemberita (wartawan), penulis lirik, penulis skrip dan penulis lagu ada di kalangan rakan baiknya mengusik yang beliau kini memiliki 5P apakah beliau mahu mengikut langkah P. Ramlee dengan pantas SlenFadzil berkata;

“Jangan samakan saya dengan Allahyarham kerana jika mahu dibandingkan antara kami bagaikan langit dengan bumi. Allahyarham P. Ramlee adalah seniman versatile yang tiada tolok bandingnya sedangkan saya hanya insan kerdil yang meneruskan kerja seni ini demi kelangsungan hidup. Namun jika ada rezeki saya mahu menjadi pengarah filem disamping menulis novel bersandarkan ilham satu daripada 30 lirik yang saya tulis.”

— BebasNews

Leave a Reply