Foto SYED YUSOF WAFA

BAGI para peminat filem Melayu tarikh 29 Mei 1973 akan tetap menjadi ingatan. Meskipun tarikh itu sudah lama berlalu tetapi ia tidak mampu memadamkan catatan sejarah yang akan kekal sampai bila-bila. Betapa tidak kerana pada tarikh itu kita kehilangan seniman serba boleh P. Ramlee yang menghembuskan nafas terakhirnya pada dingin pagi Selasa kerana serangan jantung.

Kini walaupun hampir 50 tahun Tan Sri P. Ramlee telah tiada namun Allahyarham bukan sahaja meninggalkan khazanah yang amat berharga dalam industri filem malah pelbagai kenangan buat mereka yang pernah berlakon dibawah arahannya.

Bertanyalah kepada siapapun seniman atau seniwati yang pernah berlakon filem arahannya pasti segala kebaikan yang kita dengar tentang Allahyarham dan kisah hari Jumaat yang membuatkan mereka sentiasa berhati-hati.

“Walaupun saya hanya sempat berlakon sebuah filem arahannya pada tahun 1972 tetapi sampai hari ini saya ingat setiap saat di set penggambaran filem Laksamana Do Re Mi.

DAYANG Sulu bersama sahabat baiknya, Noor Azizah.

“Mengenali Allahyarham pada hari pertama ketika di Studio Merdeka, beliau adalah seorang pengarah yang humble, tidak suka marah melainkan pada hari Jumaat dan suka buat ‘joke’ dengan kru dan pelakon untuk menceriakan suasana kerja,” cerita Seniwati Dayang Sulu ketika saya dan Syed Wafa temukan beliau dengan sahabat baiknya, Seniwati Datin Noor Azizah di Cafe Makan Heritage, di Kota Damansara baru-baru ini.

Menurut Dayang Sulu, seperti yang diketahui ramai hari Jumaat adalah hari mood beliau tidak menentu dan jika sesiapa buat silap dan beliau ‘bad mood’ lebih baik mendiamkan diri.

“Saya masih ingat kejadian itu pada satu hari Jumaat dan Mak Enon berlakon sebagai Dayang Istana. Entah apa sebabnya tiba-tiba saya dan kru lain dikejutkan dengan suara ‘keras’ Arwah yang marah Mak Enon. Saya dan pelakon lain serta kru semua diam sebab takut dan ketika itu suasana sunyi sepi bak kata orang tua-tua kalau jarum sebatang jatuh pun boleh dengar,” cerita Dayang Sulu mengimbas kembali apabila P. Ramlee ‘naik angin’ pada hari Jumaat.

Dayang Sulu bersama tiga pelakon utama filem “Laksamana Do Re Mi”… Allahyarham P. Ramlee, Allahyarham AR Tompel dan Allahyarham Ibrahim Din.

Dalam suasana sunyi sepi itu tiba-tiba kami terdengar;

“Maafkan saya Abang Ramlee,” kata Mak Enon dengan nada suara yang amat perlahan dan kemudian suasana kembali ceria seperti biasa. Begitulah P. Ramlee yang boleh ‘naik angin’ tiba-tiba pada hari Jumaat tetapi mempunyai sifat murni yang mudah memaafkan.

“Sampai hari ini, saya tidak tahu kenapa Mak Enon dimarah kerana memang sikap kami di set tidak suka bercakap tentang kesalahan orang lain. Tetapi kami selalu diingatkan berhati-hati bila hari Jumaat,” kata Dayang Sulu.

Ketika berlakon “Laksamana Do Re Mi” Dayang Sulu berusia 17 tahun yang berasal dari Filipina telahpun mempunyai dua orang anak dengan yang sulung, Boy (Mohd. Bumidin) berumur dua tahun dan Suzanne Roses baru berusia setahun.

Sebagai pelakon baru Dayang Sulu diberi dua watak iaitu sebagai Puteri Buloh Betong dan Puteri Puncak Mahligai. Beliau yang ketika itu tinggal di Kampung Baru akan pastikan sampai di Studio Merdeka sebelum pukul 8.00 pagi.

“Selalunya sebelum pukul 7.00 pagi saya dah keluar rumah sebab nak kejarkan bas seawal mungkin. Ketika itu kami semua datang sendiri tetapi keseronokan menjadi bintang filem membuatkan semangat kami kuat.

“Saya masih ingat sepanjang shooting filem itu, setiap kali rehat Arwah tidak henti-henti buat lawak yang menghiburkan kami semua. Sikapnya itu membuatkan kru dan pelakon rasa enjoy bagaikan dalam sebuah keluarga.

“Disebabkan sikap mesranya kami semua tidak kisah penggambaran filem berkenaan mengambil masa tiga bulan baru selesai,” cerita Dayang yang dipanggil ‘Darling’ oleh P.Ramlee.

Apabila ditanya mengapa penggambaran mengambil masa begitu lama, sambil tersenyum Dayang Sulu berkata;

“Mungkin itulah jiwa seorang seniman sejati. Arwah tidak suka kerja dalam suasana kelam kabut dan beliau mengambil pendekatan berkerja dalam suasana tenang dan ‘take his own sweet time.’

“Walaupun mengambil masa lama shooting dengan Arwah tetapi kadangkala saya rasakan bagaikan baru semalam kami ‘wrap.’ Sikapnya yang suka buat ‘joke’ apabila rehat sampaikan sehari beberapa kali jurumekap terpaksa letak gam pada bulu mata saya membuatkan saya rindu suasana itu.”

DAYANG Sulu bersama Allahyarham S. Rosley dan Allahyarham Tamam Idris dalam satu babak filem “Darma Kesuma.”

Bagi Dayang Sulu, walaupun cuma sempat berlakon hanya tiga filem dengan yang pertama “Darma Kesuma” dan terakhir “Menanti Hari Esok” pengalaman dengan tiga pengarah berlainan banyak membantu beliau melakonkan wataknya dalam setiap filem berkenaan.

“Darma Kesuma adalah filem pertama lakonan saya dan saya berlakon disamping S. Rosley, Hussein Abu Hassan, Tamam Idris fan Latiff Borgiba dengan pengarahnya Pak Kadar (S. Kadarisman). Allahyarham seorang yang garang di set tetapi baik hati.

“Menanti Hari Esok filem ketiga dan terakhir lakonan saya yang diarahkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin. Sebagai pengarah beliau seorang yang serius dan tegas. Kalau ‘A’ kata beliau ia akan tetap ‘A’ dan tiada siapa yang boleh merubah pendiriannya.

“Saya masih ingat satu babak di hospital dan saya melahirkan anak di dalam lif. Disebabkan takut kena marah saya buat betul-betul,” cerita Dayang Sulu yang menceburi bidang lakonan setelah Seniman Ed Osmera membawanya berjumpa S. Kadarisman.

DAYANG SULU

Menurut Dayang Sulu, walaupun hampir lima dekad P. Ramlee telah ‘pergi’ namun budi baiknya tetap beliau kenang sehingga hari ini.

“Saya masih ingat, ketika mengundang beliau bersama Panca Sitara menghiburkan para tetamu pada majlis kahwin anak sedara saya di Kampung Baru dalam hujan beliau sampai. Setelah selesai bila saya tanya ‘mas kahwinnya’ (bayaran untuk persembahan) beliau hanya minta saya bayar kepada kawan-kawannya sahaja.

“Namun sampai saat ini saya tidak mungkin mampu melupakan pada hari terakhir shooting Laksamana Do Re Mi. Sebelum balik beliau panggil saya dan bertanya ‘Darling lepas ni Abang nak buat filem Airmata di Kuala Lumpur, nak berlakon tak? Saya katakan sudah pasti mahu.

“Allahyarham beritahu insyaa-Allah apabila skrip dah siap saya akan dipanggil. Skrip itu akan ditulis oleh Aimi Jarr. Sayangnya hajat beliau tidak kesampaian dan saya juga tidak tahu jalan ceritanya kerana janji beliau saya akan dipanggil bila skrip siap,”
cerita Dayang Sulu dalam nada suara yang amat perlahan.

 

Apabila Studio Merdeka tidak lagi menerbitkan filem selepas tahun 1977, Dayang Sulu pernah menjadi Eksekutif Produser dengan Pancaseni Film Production milik Datuk Tajuddin.

Pancaseni Film Production hanya menerbitkan sebuah filem iaitu “Penentuan” arahan Aziz Jaafar. Filem terbitan tahun 1982 dengan kos lebih RM300,000 dilakonkan oleh Noorkumalasari, Datuk Yusof Haslam, Raja Noor Baizura dan Rubiah Suparman.

DATUK Yusof Haslam dan Noor Kumalasari dalam satu babak filem “Penentuan.”

“Sebelum meletakkan noktah dalam bidang lakonan saya berlakon drama Oh Kuala Lumpur bersama Datuk Nancie Foo,” kata Dayang Sulu yang kini hidup bahagia disamping empat orang anaknya, Mohd. Bumidin, 55, Datin Suzanne Roses, 52, Mohd. Faizal, 44, Mohd. Fairus, 42 tahun dan lima orang cucu.

Dayang Sulu yang kini tinggal bersama anak keduanya, Datin Suzanne Roses seronok sentiasa ditemani anak Suzanne, Tengku Muhammad Ameer jika beliau mahu menikmati hidangan lazat di Cafe Makan Heritage usahasama anaknya, Mohd. Fairus dengan rakankongsi yang juga kawan kolej, Dafh dan Najib.

Cafe Makan Heritage yang telah beroperasi sejak enam tahun lalu kini melebarkan sayapnya dengan mempunyai tiga lagi cawangan iaitu di Taman Seri Bayu, Banting, Bandar Ainsdale, Seremban dan Eco Ardence, di Setia Alam.

Selain menghidangkan menu masakan barat dan Melayu, setiap hari Jumaat malam sehingga Ahad para pengunjung Cafe Makan Heritage selain menikmati menu yang menepati selera anda juga akan dihiburkan persembahan ‘live busker.’

— BebasNews

Leave a Reply