Faizal Hussein sebagai Karim dalam filem Daddyku Gangster.

SELALUNYA naskhah berkisar gengster pasti menjurus kepada kisah kejahatan yang melibatkan pihak berkuasa menentang penjenayah dan filem sebegitu diminati kerana banyak mempamerkan aksi lawan.

Filem sebegitu banyak dihasilkan oleh pembikin-pembikin filem tempatan dan hingga kini, genre sedemikian masih lagi mendapat tempat dan cukup diminati untuk menarik penonton ke pawagam.

Melihat kepada situasi berkenaan, syarikat produksi D’Ayu Pictures Sdn. Bhd., turut tampil dengan sebuah filem aksi komedi berjudul Daddyku Gangster arahan Ismail Bob Hashim.

Penerbitnya, Datuk Rosmarayu Mokhtar berkata, nashkah filem berkenaan boleh memberikan kepuasan kepada penonton dengan jalan cerita yang cukup menarik.

Filem Daddyku Gangster bakal ditayangkan di pawagam mulai 1 Disember ini.

“Idea untuk mencetuskan filem ini timbul apabila melihat kanak-kanak terbiar tidak mempunyai ibu bapa yang meninggal dunia.

“Selain itu, saya juga mendapat inspirasi daripada filem Hollywood iaitu Fast And Furios 8, di mana ia turut menerapkan elemen kekeluargaan, meskipun ia sarat dengan aksi,” ujarnya.

Menurut Rosmarayu, filem baharu terbitannya itu menampilkan kelainan berbanding filem-filem gengster lain apabila ia mengetengahkan elemen kekeluargaan, terutama membabitkan hubungan dengan dua orang kanak-kanak dengan pakciknya yang sudah dianggap sebagai bapa.

Jelasnya, apa yang lebih istimewa lagi apabila ia turut menampilkan barisan-barisan pelakon yang hebat dan dikenali ramai, termasuk Zul Huzaimy yang memegang watak utama sebagai Ray, penjaga kepada dua anak saudaranya setelah kematian abangnya.

Pengarah Ismail Bob Hashim seang memberi penerangan kepada pelakon cilik untuk filem Daddyku Gangster.

“Biarpun tajuknya Daddyku Gangster, tetapi ia sebenarnya sesuai untuk ditonton oleh semua golongan termasuk seisi keluarga.

“Disebabkan itu filem ini lebih mengetengahkan genre aksi komedi supaya ia tidak nampak sebuah naskhah yang nampak ganas,” jelasnya.

Selain Zul Huzaimy, antara barisan pelakon yang membintangi Daddyku Gangster seperti Adeline Tsen, Faizal Hussein, Jay Iswazir, Ridzuan Hashim, Zalif Sidek, Reen Rahim, Azri Iskandar, Vanidah Imran, Alieff Irfan serta dua pelakon cilik hebat iaitu Angelica Petra dan Arryyan Petra.

Menelan kos pembikinan kira-kira RM2.5 juta, Daddyku Gangster menjalani penggambaran di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok, Kelantan pada awal tahun 2020.

Filem ini berkisar tentang kekeluargaan.

“Kalau ditanya tentang harapan pula, pastinya saya mengharapkan filem Daddyku Gangster mendapat sambutan hangat penonton.

“Malah, saya menyarankan supaya datang untuk menonton ke panggung beramai-ramai dan yakin ia adalah sebuah filem yang sangat menghiburkan,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Bob menyatakan Daddyku Gangster cukup istimewa kerana merupakan filem ke-20 yang diarahkan olehnya sepanjang bergelar pengarah.

Ujarnya, menerusi filem ini dia cuba menampilkan kelainan dengan menampilkan Zul Huzaimy untuk memegang peranan watak utama.

Daddyku Gangster penuh dengan elemen aksi komedi.

“Sebagai pengarah sudah tentu saya cuba sesuatu yang baharu. Misalnya, kita semua tahu Zul Huzaimy seorang pelakon hebat yang terkenal dengan watak antagonis.

“Untuk kali ini, saya cuba ‘twist’ pula dengan menjadikan Zul Huzaimy pegang watak hero dan ternyata ia berjaya membawakan wataknya dengan berkesan,” ujarnya.

Mengenai cabaran sepanjang pembikinan filem berkenaan, Ismail Bob memberitahu antara yang terpaksa dihadapi apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Ujarnya, pada pada masa itu penggambaran baru berlangsung selama dua minggu dan ia terpaksa dihentikan seketika.

“Kami mulakan penggambaran dalam bulan Mac 2020 dan lepas itu terus PKP sehingga kami terpaksa berada di hotel sahaja.

“Kemudian kami minta khidmat nasihat pihak polis dan dinasihatkan untuk pulang ke Kuala Lumpur dengan segera dan penggambaran hanya disambung semula pada bulan Julai,” jelasnya.

Filem yang akan ditayangkan di pawagam mulai 1 Disember ini berkisar tentang Ray, ketua kumpulan yang gemar mencuri kereta kereta mewah yang diseludup ke Malaysia bersama rakan kumpulannya yang memiliki kepakaran masing masing.

Selain itu Ray turut melibatkan diri dalam underground fight di gelanggang haram milik Pablo. Ray mempunyai sejarah silam dalam hubungan kekeluargaan terutama dengan abang kandungnya sendiri.

Di malam hari lahir Ray, abangnya, Remy (Azri Iskandar) datang bersama keluarga menyambutnya walaupun layanan Ray dingin terhadap keluarga Remy terutama kedua-dua anak saudaranya, Arisha (Angelica Petra) dan Aidil (Arryyan Petra).

Namun malang tidak berbau, Remy dan isterinya meninggal dunia setelah terlibat kemalangan jalan raya sebaik pulang dari rumah Ray.

Lisa (Adline Tsen), peguam yang bertanggungjawab telah menyerahkan hak penjagaan sementara Arisha dan Aidil kepada Ray berdasarkan wasiat daripada Remy.

Ray menjadi kurang senang dengan memikirkan hal yang bakal dilalui apabila terpaksa menjaga anak saudaranya itu. Dek kerana terpikat setelah memandang Lisa, Ray menerima pelawaan tersebut. — BebasNews

Leave a Reply