Gambar hiasan - Foto via Blogspot

LAMA jugak Kak Feez tak menulis. Cuti, dicutikan, mencutikan, apa-apalah. Bab menulis ni, ideanya tu anugerah Tuhan.

Kekadang puas bergolek kiri dan kanan, bangun duduk, jalan mundar mandir ke hulu ke hilir, bila ilham masih belum dikurnia, memang tak tertulis apa-apa. Astaghfirullah.

Menyendiri sepi, terfikir-fikir apa nak ditulis, apa nak diceloteh teringat zaman sekolah dulu. Bila di sekolah menengah, kena buat karangan lebih kurang 500 patah perkataan secara spontan mengikut kepada tajuk yang diberikan. Ketika itu, menulis untuk menjawab soalan periksa. Mengharapkan ia baik agar dapat memberi markah tinggi agar kedudukan tahap akademik di dalam kelas selesa. Itu zaman sekolah.

Masuk pula bab kerja. Menulis laporan dan kertas pembentangan samada untuk urus tadbir syarikat atau pun pemasaran. Sama juga, cuma kaedah mungkin berbeza. Melapor apa yang perlu dilaporkan. Yang tak baik itu jangan sekali disorokkan.

Sepertimana majikan perlu bersedia menerima laporan tidak berapa baik yang disampaikan, kita sebagai kakitangan juga perlu bersedia menerima hamburan daripada majikan kerana tidak berpuas hati dan kecewa dengan pencapaian yang disampaikan. Itulah zaman bekerjaya dahulu. Persediaan mental dan fizikal yang jitu. Bersedia menghadapi apa juga ujian yang diberikan majikan.

Sekarang ni dah bab menulis kolum santai untuk portal berita yang semakin berkembang — BebasNews.

Niat di hati nak berkongsi segala pengalaman dan ilmu buat titipan pembaca budiman. Mana yang baik dijadikan teladan, yang tidak buat sempadan. Semoga ada yang boleh dimanfaatkan oleh kalian.

Tak lama lagi kita nak mengundi dalam Piliharaya Umum ke-15 negara. Sebagai sebuah negara demokrasi, pilihan raya adalah tempat rakyat mengundi memilih bakal pemimpin negara melalui calon-calon yang diketengahkan.

Kak Feez telah mengundi seawal usia 21 tahun dan ini akan menjadi PRU yang ketujuh buat Kak Feez.

Dari dulu sampai sekarang sering teruja bila nak mengundi. Terasa berat bahu seperti memikul beban, padahal nak memangkah sahaja kan.

Hati berkata-kata, apakah benar undian yang ku buat ini. Rasa ini akan sentiasa ada. Bak kata arwah Abah Kak Feez dulu, berat rasa kamu yang nak mengundi, bayangkan beratnya bakal pemimpin yang bakal memikul amanah, kerja yang hendak digalas dan kudrat yang hendak dipulas. Bukan kaleng-kaleng manusia yang hendak menyerah diri minta dicalonkan untuk menjadi pemimpin rakyat jelata.

PRU15 kali ni, Kak Feez difahamkan ada lebih lima juta anak-anak muda berusia 18 tahun akan membuat pengundian buat julung kalinya. Bagi Kak Feez mereka inilah yang akan mewarnai dan mencorak kepimpinan negara akan datang melalui pengundian yang akan mereka laksanakan.

Negara Malaysia tercinta bakal menghadapi serta mendepani perubahan drastik dalam corak kepemimpinan negara melihat kepada situasi politik semasa.

Kak Feez bukan ahli politik justeru hendak mengulas bab ini memang jauh panggang dari api. Tetapi sebagai rakyat biasa yang telah melalui PRU lebih dari lima kali, pilihan raya kali ini bagi Kak Feez amat mencabar rasanya. Teringat kata ustaz, rakyat negara itulah yang akan mencorakkan negara melalui pemimpin yang dipilih mereka. Justeru tanggungjawab kita sebagai pengundi juga sama pentingnya.

Kak Feez berdoa kepada Yang Maha Esa dan memohon kepada semua rakyat jelata, bijaklah membuat pilihan. Semak fakta dan maklumat terkini serta bukti. Kita jangan jadi mangsa fitnah dan terjebak dengan tohmahan yang ditokok tambah serta janji-janji gula bagi menyedapkan hujah kempen oleh mereka yang bertanding.

Semoga pilihan kita itu yang terbaik untuk kita dan semua. Undi kalian rahsia. Selamat mengundi semua.

— BebasNews

Leave a Reply