Isham Jalil (berdiri dua dari kiri) sedang bermesra dengan warga Seksyen 7.

SHAH ALAM — Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli hanya beretorik apabila mengatakan Pakatan Harapan (PH) bakal memenangi kesemua kerusi Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut calon Ahli Parlimen Shah Alam, Hizatul Hisham Abd. Jalil, sudah menjadi rutin Rafizi mengeluarkan kenyataan bersifat retorik, apabila tiba musim pilihan raya umum beliau akan mula membuat laporan kajian berhubung persepsi segelintir rakyat mahu mengundi pakatan politik yang mana satu.

“Saya rasa kajian Rafizi ini tidak tepat kerana ada satu kajian yang dibuat oleh satu kumpulan pengkaji menyatakan, majoriti pengundi bangsa Cina di Selangor menolak PH pada PRU-15.

“Malah terdapat satu kajian menyatakan bahawa ada segelintir ahli PH menolak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi calon Perdana Menteri,” katanya ketika mengulas dakwaan Rafizi bahawa PH mampu menang 19 kerusi Parlimen di negeri tersebut.

Rafizi dalam ceramahnya di Pandan pada Sabtu lalu menguar-uarkan bahawa dapatan tersebut diperoleh daripada syarikat tinjauan awam miliknya, Invoke Malaysia.

Sehubungan itu, Hizatul atau lebih dikenali sebagai Isham Jalil menasihatkan orang ramai supaya melihat kajian yang dibuat oleh badan pemikir bebas, yang dianggapnya lebih bebas.

“Kita perlu melihat sesuatu isu melalui fakta yang tepat dan bukan berdasarkan teori retorik semata-mata,”katanya.

Beliau menambah, pihak parti lawan sering melemparkan kempen psikologi yang dilihat cuba memprovokasi pihaknya.

Katanya lagi, beliau menerima laporan ada calon dari parti lawan yang mempertikai integriti kelulusan akademiknya.

“Saya dikatakan lulus dari Universiti Harvard dengan duit dari sumber yang salah, sedangkan saya dapat biasiswa daripada kerajaan.

“Sekali lagi saya tegaskan, sejak bekerja dalam sektor awam saya bersih dari sebarang kes rasuah,” tambah beliau. — BebasNews

Leave a Reply