Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR — Rakyat wajar menolak parti politik yang terus membawa politik fitnah tanpa bukti, hanya bermain politik sentimen berbanding politik khidmat, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ketika kempen pilihan raya umum semakin panas, sepatutnya parti politik menawarkan tawaran politik yang lebih baik, berdasarkan prestasi yang dicapai, rekod pentadbiran yang diyakini sebagai produk politik mereka.

“ Apabila asyik menggunakan politik fitnah, politik sentimen dan politik sentimen untuk memanipulasi sokongan ternyata pihak lawan tidak mempunyai tawaran yang lebih baik berbanding tawaran BN.

“Yakinlah tiada tempat politik fitnah terutamanya sang penabur fitnah itu semakin terserlah kepalsuan agenda politik mereka yang ditolak oleh majoriti rakyat negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Beliau menegaskan demokrasi bukanlah bermakna bebas membuat fitnah sebaliknya memberikan kebebasan berrsuara dengan memberikan dan menawarkan tawaran dan pilihan yang lebih baik.

“Maka amatlah wajar kita menolak politik fitnah untuk masa depan, kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata BN akan meneruskan agenda politik sederhana dengan menawarkan prestasi, rekod yang diyakini, kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

Katanya, agenda politik kesederhanaan perlu diberikan penegasan terutama ketika ada segelintir parti politik memainkan isu sentimen keagamaan dan melampau batas toleransi kaum.

“Ada parti mengambil tindakan melabel-label parti lain sebagai kurang Islam, sekular sedangkan mereka sendiri tidak mencerminkan apa yang dikatakan.

“Sikap memperlekeh pihak lain seolah-olah orang lain tidak baik berbanding mereka dengan menaburkan politik fitnah merata-rata hanya untuk ‘secupak’ undi …tidak diterima oleh masyarakat majoriti yang lebih mahu politik kesederhanaan dan menolak politik ekstrem melanggar adab dan etika,” katanya.

Beliau berkata parti yang bermain politik ekstrem tidak menunjukkan prestasi tinggi apabila diberikan peluang menjawat jawatan menteri tertentu.

“Seperti menteri yang menjaga perundangan sebelum ini, mengakibatkan Yang di- Pertuan Agong dukacita apabila pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan Baginda.

“Jauh berbeza dengan prestasi penggantinya dari Parti Gabungan Sarawak (GPS) yang menjadi menteri undang-undang yang membawakan pelbagai pembaharuan dalam masa singkat.

“Begitu rekod pentadbiran kerajaan negeri yang diperintah agak kurang mereka tonjolkan kerana kurang berprestasi berbanding prestasi pentadbiran kerajaan BN seperti Johor membuktikan tradisi pentadbiran yang cekap memberikan impak terhadap prestasi ekonomi kerajaan negeri itu,” katanya.

Mengenai penamaan calon BN, Ahmad Zahid menjelaskan BN berjaya mengemukakan 178 calon untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini termasuk dua calon langsung atas sifat keterbukaan dan perpaduan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan sentimen setempat sentiasa mendapat tempat dan memahami setiap cita rasa kemahuan pengundi disantuni.

“Suasana setempat ini amat penting dalam memastikan terdapat kesegaran dan kesinambungan politik berteraskan kesederhanaan,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply