Music Of Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah bertujuan mengumpul dana bagi Yayasan Nurjiwa.

TAK terasa pun yang saya sudah duduk lebih kurang dua jam setengah dalam Dewan Pleanary, KLCC. Saya alpa tentang detik waktu kerana leka menonton persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tidak dinafikan persembahan Music Of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mendendangkan lebih 20 buah lagu itu cukup memukau pendengaran saya dan penonton yang lain.

Biarpun penyanyi tersohor itu mengakui yang tahap kesihatannya tak seperti dulu akibat dijangkiti Covid, namun pada pendengaran penonton persembahan Siti tidak ada cacat celanya, tetap kedengaran merdu.

“Walaupun dah lama menyanyi, perasaan gementar tu tetap ada. Mana taknya, dah tiga tahun tak buat persembahan. Lepas dijangkiti Covid dulu, tahap kesihatan saya masih belum pulih seperti sedia kala, tapi alhamdulillah saya dapat menyempurnakan tugasan dengan baik.

Meskipun Siti kata dia terkesan akibat Covid, persembahannya tetap mantap.

“Kita sebagai penyanyi banyak menggunakan paru-paru kita untuk pernafasan. Sebab tu saya kalau kata sakit, batuk dan selesema pun saya tak nak kena tapi ini Covid pula, batuk berpanjangan. Sampai hari ini pun saya masih berhati-hati kerana perkara yang saya selalu kena adalah bila salah makan.

“Kalau saya makan benda yang boleh menyebabkan batuk, malam saya macam kena asma. Dah jadi macam tu pula sekarang. Memang betul-betul kena jaga. Untuk jaga stamina dan pernafasan, saya buat sukan muay Thai.

“Selepas kena Covid, pernafasan saya jadi pendek. Kita nak menyanyi dan jerit pun susah sangat. Tanyalah sesiapa yang kena Covid terutamanya penyanyi. Kita punya aset adalah suara, kalau paru-paru tak kuat suara kita tak boleh capai tinggi.

“Sebab itu bila saya berusaha kembalikan balik range suara yang saya boleh capai dan sebagainya tapi mengambil masa sedikit. Saya memang rasa banyak perubahan dan kebaikan lepas saya buat muay Thai, khusus untuk persembahan,” cerita Siti yang ditemui selepas persembahan Music Of The Soul yang berlansung pada 5 dan 6 November, baru-baru ini.

Setiap yang hadir menonton persembahan Siti Nurhaliza di Dewan Plenary, KLCC adalah dermawan kerana hasil jualan tiket disalurkan ke tabung Yayasan Nurjiwa.

Siti yang memulakan persembahan dengan lagu Warna Dunia, memberitahu, kesan daripada jangkitan Covid, dia juga disahkan doktor ada mild bronchitis.

“Doktor cakap saya ada mild bronchitis, effect daripada Covid. Saya   kena jaga makan, buat latihan yang banyak menggunakan stamina dada dan paru-paru, ramai juga yang cadangkan saya berenang dan itupun saya buat juga di rumah untuk kuatkan paru-paru.

“So far, alhamdulillah, banyak yang perubahan baik selepas saya fokus kepada latihan stamina dan sebagainya. Better banyak dan Aubrey pun kata persembahan saya banyak lebih baik daripada persembahan sebelum ini. Bukan apa, bila kita susah tarik nafas dan bagi nada tinggi, pitching kita pun akan huru hara juga. Alhamdulillah malam ini, semuanya berjalan lancar,” katanya tersenyum.

Selain bersyukur kerana persembahannya yang diiringi oleh pemuzik profesional yang diterajui oleh Aubrey Suwito itu, Siti juga terharu kerana mendapat sokongan padu daripada orang ramai yang sudi menderma menerusi pembelian tiket persembahannya itu.

Duet bersama Awie menghiburkan kerana Siti pilih lagu tradisional Pantun Budi.

Siti yang mahu Yayasan Nurjiwa terus berbakti kepada orang ramai, rasa bersyukur kerana persembahan Music Of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza, anjuran Yayasan tersebut mendapat sokongan penuh dan kedua-dua malam full house.

“Anda yang hadir pada malam ini adalah dermawan. Sebagai tanda terima kasih kepada sokongan anda, Yayasan Nurjiwa ingin memberi semula kepada masyarakat. Paling membuatkan saya rasa terharu kerana sambutan yang diberi oleh peminat. Ini persembahan ekklusif untuk mengutip dana bagi Yayasan Nurjiwa,” katanya.

Jelas Siti, sejak penubuhan Yayasan Nurjiwa, adakalanya dia dan suami menggunakan wang sendiri untuk mengendalikan beberapa aktiviti kebajikan.

Untuk segmen pertama Siti mendendangkan lagu Siapa Tak Mahu, Diari Hatimu, Anta Permana dan medley Kuasa Cintamu serta Bukan Cinta Biasa yang dilabelnya sebagai lagu zaman anak dara.

Ada lagu yang disusun semula muziknya dan ada lagu yang didendangkan mengikut melodi asal.

“Siapa masa tengah study dengar lagu Siti Nurhaliza. Masa bercinta dan putus cinta dengar lagu Siti Nurhaliza? Waktu tu zaman orang tulis dairi. Biasalah bila kita minat sesuatu lagu, kita akan terasa.

“Kalau anda peminat Siti Nurhaliza, ada satu lagu yang sama usia dengan Aafiya. Lagu ini keluar selepas saya bersalin dan ia amat istimewa untuk saya kerana saya yang minta komposer buat khas untuk Aafiya. Saya nak anda semua hayati lirik Anta Permana,” celotehnya yang membuatkan penonton berteka-teki tentang judul lagu tersebut.

Untuk segmen kedua, Siti memilih lagu Lebih Indah, Segala Perasaan, medley Cinta Tak Berganti dan Beradu di Khayalan serta Aku Bidadari Syurgamu.

Persembahan Siti tak membosankan kerana dia akan selang seli dengan cerita-cerita menarik. Setiap kali Siti bercerita, penonton akan tertawa kerana ada saja kisah lucu yang dikongsinya.

Seorang peminat yang terlupa nama anak kerana berbicara dengan Siti Nurhaliza, membuatkan satu dewan ketawa.

“Saya suka baca komen netizen, rupa-rupanya ramai yang prihatin terhadap saya. Siti jangan pakai baju ropol-ropol la dan macam-macam lagi. Saya baca saja tapi tak terpengaruh pun kerana masing-masing bebas memberi komen,” katanya yang terhibur dengan gelagat peminat.

Memandangkan penonton di bahagian hadapan sanggup membeli tiket berharga RM1,188, sebagai tanda penghargaan, Siti turun bertemu penonton.

Siti tergamam bila penonton yang diajak menyanyi bersama memberitahu namanya adalah Istiqomah. Dalam sebak wanita itu masih boleh mengajak Siti menyanyikan lagu Cindai.

Seorang lagi peminat yang terkejut apabila Siti menghampirinya mengakui tahu lagu Comel Pipi Merah kerana lagu itu kesukaan anaknya, tapi bila ditanya nama anak, boleh pula dia lupa. Gelagat spontan wanita yang terlupa nama anak kerana didekati Siti Nurhaliza itu membuatkan satu dewan tertawa.

Istiqomah antara peminat yang berpeluang menghadiri sesi meet and greet kerana membeli tiket mahal.

Untuk segmen seterusnya iaitu segmen akustik, Siti mendendangkan lagu Kau Kekasihku dan Bila Harus Memilih secara medlye, diikut dengan lagu Nian Di Hati, Melawan Kesepian dan Ratuku, lagu Awie.

Jelas Siti, dia mengenali Awie sejak zaman funfair dan sering menonton persembahan penyanyi itu bersama kumpulan Wings. Malah mereka juga  sudah beberapa kali beraksi di pentas yang sama.

“Pengalaman berduet dengan Datuk Awie bukanlah pertama kali dan pernah bekerjasama beberapa kali sebelum ini. Tapi untuk persembahan eksklusif ini kali pertama. Kita orang berborak lama sikit dan nyanyi lebih daripada satu lagu.

“Datuk Awie nyanyi lagu tradisional pula dan saya pilih lagu Pantun Budi dan dia kata okey. Saya bagi cadangan untuk nyanyi lagu duet, tapi saya tanya dia dulu, nak nyanyi lagu apa.

Siti Nurhaliza bercadang untuk memgadakan konsert pada tahun hadapan.

“Bukan apa, saya lebih suka penyanyi asal yang pilih, tak naklah kita yang pilih takut dia tak selesa pula. Datuk Awie pilih Baldu Biru dan dia setuju dengan Pantun Budi, cadangan saya itu,” jelas Siti.

Dek kerjasama untuk menjayakan persembahan Music Of The Soul, Siti mendapat idea untuk menghasilkan album tradisional bersama Awie, bila tiba masa yang sesuai.

“Perancangan album tradisional itu, insya-Allah akan terjadi. Datuk Awie dah cakap okey. Mungkin kita cuba dengan single dulu bagi hit. Idea untuk buat album, masa rehearsal dan nyanyi.

“Sebenarnya Datuk Awie ni, bagilah lagu apa saja bila dia nyanyi ada kesedapannya itu. Orang kalau suara dah sedap dan lemak, bagilah lagu apa-apa pun menjadi.  Dia lenggok sikit pun dah rasa wow. Dia tidaklah orang yang betul-betul terror tradisional tapi lenggoknya sedap,” kata Siti tentang kelebihan Awie itu.

Siti bercadang menghasilkan album tradisional dengan Awie nanti.

Malah Awie, yang mendendangkan lagu Di Penjara Janji melahirkan rasa gembira kerana dijemput oleh Siti untuk menjayakan persembahan bersama.

Persembahan pada malam itu disudahi dengan lagu tradisional yang jarang dipersembahan di pentas iaitu Seloka Budi (ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan) Senyum Minang Manis (Abot) dan Ya Maulai, lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah.

— BebasNews

Leave a Reply