ZURAINAH MUSA
Foto ZAKI ABDUL RAHIM

TATKALA negara dilanda pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun lalu ramai yang terkesan terutama para penggiat industri filem kerana mereka hilang punca pendapatan.

Ketika dalam keadaan ‘terkapai-kapai’ tiada punca untuk menyara kehidupan keluarga, mereka bagaikan tersentak apabila pada 27 Mei 2020 ada kenyataan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang melahirkan matlamat filem tempatan menyertai dan merangkul Oskar (Anugerah Academy) dalam tempoh tersebut.

Kenyataan itu bukan sahaja membuatkan ada yang terkilan malah ada yang menjadikannya bahan gurauan dan menganggap ia bagaikan ‘Mat Jenin’ yang mimpi di siang hari.

Walaupun ia menjadi bahan sindiran dan gurauan ketika itu tetapi tidak bagi Pengerusi baru FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang berdiri teguh dan yakin hasrat FINAS mencipta sejarah dalam industri filem negara akan menjadi kenyataan.

Adalah difahamkan filem “Roh” telah dipilih mewakili Malaysia ke Anugerah Academy ke-93 bagi kategori International Feature Film Award pada April 2021. Filem genre seram ini mengisahkan kehadiran seorang kanak-kanan perempuan aneh yang meramalkan kejadian ngeri berlaku kepada sebuah keluarga miskin yang tinggal di hutan.

Menurut beliau impian FINAS akan menjadi kenyataan suatu hari nanti jika para pembikin filem tempatan dapat menghasilkan sebuah filem yang berkualiti daripada pelbagai aspek.

“Bukanlah sesuatu yang mustahil jika FINAS mengamalkan sikap mesra pengguna terhadap klien kita yang merupakan penggiat industri dan dengan kerjasama saya yakin matlamat meraih Oskar akan menjadi kenyatan.

“Saya sedar ada yang menjadikan hasrat FINAS ini sebagai bahan gurauan tetapi tidak salah bermula dengan impian akhirnya ia menjadi realiti.

“Saya ingin bertanya sebagai orang filem adakah anda ingin beritahu saya penerbitan anda tidak layak untuk dibawa ke peringkat antarabangsa untuk memenangi Oskar?

“Saya bangga melihat filem-filem kita. Saya melihat lakonan bersandarkan watak yang diberikan, skrip dan cerita yang mendalam dengan teknik penggambaran meliputi dari pelbagai aspek dan bagi saya ia amat menakjubkan,” kata Zurainah Musa penuh yakin ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya ia bukanlah dapat dicapai dalam tempuh setahun dua kerana ia memerlukan sebuah karya yang benar-benar berkualiti dari pelbagai aspek untuk menghasilkan sebuah filem standard Oskar.

“Macam orang baru kahwin kalau nak anak pun kena tunggu sekurang-kurangnya sembilan bulan. Begitu juga menerbitkan filem ia bukan ambil masa dua tiga bulan malah ada yang sampai tiga tahun meskipun terpaksa menukar skrip dan pelakon. Apa yang penting kita harus melihat secara terperinci bagaimana meningkatkan kualiti filem agar FINAS sebagai agensi kerajaan dapat membantu mereka ke tahap antarabangsa.

“Saya amat yakin kita boleh merangkul Oskar bukan hari ini atau esok tetapi ia akan tetap berlaku apabila tiba masanya dengan terhasilnya sebuah filem bertaraf dunia,” kata Zurainah Musa.

Menyentuh selepas kejayaan filem “Mat Kilau” yang khabarnya ada beberapa syarikat mahu menerbitkan genre filem epik, Zurainah Musa memberitahu;

“Bagi saya dalam soal ini FINAS tidak mahu masuk campur kerana pembuat filem adalah insan yang kreatif cuba cari idea yang segar. Cuma saya berharap janganlah pandang dari satu sudut sahaja kerana saya ada menerima beberapa skrip sekuel Mat Kilau. Cuba fikirkan idea di luar kotak tetapi jika perlukan bantuan pintu pejabat saya sentiasa terbuka.

“Saya harap para pengkarya harus lebih fokus kepada kejayaan dan industri sendiri bukan mencari salah orang lain. Saya yakin jika para pengkarya fokus kepada bidang mereka ia akan dapat menghasilkan filem terbaik bukan diterima dan diiktiraf di Malaysia sahaja malah sehingga ke luar negara.

“Dalam soal ini saya mengambil pendekatan jika filem Korea boleh kenapa tidak filem kita. Saya mahu filem Mat Kilau bukan sahaja diterima di Malaysia malah di Indonesia. Jangan cakap soal pahlawan kerana filem Korea membawa kisah pahlawan mereka bukan Malaysia! Bagi saya para penerbit harus mengambil kira soal pemasaran. Kalau produk bagus tanpa pemasaran ia akan gagal.”

ZURAINAH MUSA

Menyentuh mengenai FINAS, beliau yang baru empat bulan dilantik sebagai Pengerusi mulai 10 Jun lalu, berkata;

“Banyak cabarannya kerana pendekatannya berbeza sebab saya dari dunia korporat dan saya melihat banyak lapisan birokrasi dan saya mahu kurangkannya. Dalam usaha itu, saya harus melihat dari pelbagai sudut supaya FINAS menjadi mesra pengguna kepada klien kita iaitu para penggiat industri dan bagaimana kita nak puaskan hati mereka supaya dapat bekerjasama mencapai matlamat agar penerbit tempatan sampai ke tahap Oskar.

“FINAS ditubuhkan untuk membantu industri kreatif sebab kerajaan berpendapat industri ini ‘tertinggal.’ Disamping memberi bantuan ia juga mahu memberi semangat kepada industri. Bagi saya matlamat kami jelas yang mana harus ada komunikasi dua hala antara FINAS dan saya praktikkan konsep ‘buka pintu’ dan sesiapa yang ada masalah dan mahu berjumpa saya, dipersilakan.

“Sama ada boleh atau tidak menyelesaikan masalah yang penting usaha itu tetap ada. Jika ada yang berkata FINAS amalkan diskriminasi itu tidak benar kerana saya sentiasa berbincang dengan CEO, Profesor Dr. Md Nasir dan para pengarah dari jabatan berkaitan.

“Alhamdulillah mereka mempunyai pendekatan yang sama seperti saya. FINAS praktikkan komunikasi dua hala dan kita sentiasa galakkan komuniti kreatif datang berjumpa jika ada masalah kerana jalan penyelesaian ada di sini bukan di akhbar atau sosial media.”

Menyentuh perasaan tidak puashati di kalangan penerbit mengenai Dana Kandungan Digital (DKD), Zurainah Musa menjelaskan;

“Bukan semua yang memohon akan mendapatnya kerana ia harus melalui proses pitching, pihak yang meluluskan akan memperhalusi skrip dan pelakon. Kita hanya beri DKD antara 30 hingga 40 peratus daripada kos penerbitan. Untuk masuk bisnes (terbit filem) kita harus ada modal dan dalam meluluskan DKD kami amat telus dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih kerana kita ada lima orang panel untuk meneliti setiap permohonan.”

ZURAINAH Musa menyerahkan lukisan potret Allahyarham Seniman Hussein Abu Hassan kepada cucu sulungnya, Ayang (bertudung) sambil diperhatikan oleh Ibu Ayang, Dilla Hussein (dua dari kanan) dan pelakon yang juga moderator Imbas Kembali, Zulkifli Ismail (kanan sekali)
Potret Hussein Abu Hassan dilukis oleh pelukis, Syed Yusof Wafa.

Sementara itu menyentuh mengenai “Imbas Kembali Layar Bintang Seniman Hussein Abu Hassan” yang menjadi satu acara pada [email protected] baru-baru ini, Zurainah Musa berkata;

“Program in dicadangkan sejak Festival Filem Malaysia ke-30 pada tahun 2020 dan terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19. Kami amat berbesar hati ianya dapat dilaksanakan kali ini yang saya sifatkan Allahyarham adalah seorang seniman sejati yang tidak berganjak dari dunia seni meskipun pernah melalui pahit getir dalam hidup.

“Sejak menceburi bidang lakonan bermula pada tahun 1961 Allahyarham telah membintangi 62 filem di Malaysia sehingga keperingkat antarabangsa. Allahyarham juga pernah mengarah filem antaranya Senja Merah dan Gila-Gila Remaja. Tetapi sampai hari ini saya tertarik tengok lakonannya sebagai Menteri Pasola dalam filem Laksamana Do Re Mi.

“Walaupun sudah 15 tahun meninggal dunia, Allahyarham meninggalkan legasi kepada tiga anaknya Dilla, Fairuz dan Faizal. Namun hanya Faizal Hussein masih meneruskan kerjayanya sebagai pelakon sehingga hari ini sejak filem pertamanya “Gila-Gila Remaja” pada tahun 1986.”

DENGAN bangganya anak-anak Allahyarham Seniman Hussein Abu Hassan, Dilla Hussein (kiri) dan Fairuz Hussein (kanan) cucu sulungnya, Ayang mengabadikan kenangan bersama potret lukisan pelukis tersohor, Syed Yusof Wafa selepas “Imbas Kembali Layar Bintang – Seniman Hussein Abu Hassan yang berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS, Hulu Kelang.

Zurainah Musa berkata menelusuri kehidupan Allahyaraham sebagai seniman, pada tahun 2019 FINAS telah menerbitkan buku mengenainya bertajuk ‘Hussein Abu Hassan – The Cinderella Man” yang ditulis oleh Dilla Hussein.

— BebasNews

Leave a Reply