Konsert Rockl4sik menggabungkan ikon rock dua negara.

BAGI meraikan sambutan tahun baharu 2023, penganjur RAB International dari Singapura akan mengadakan konsert hujung tahun ini dan sekali gus sebagai tanda konsert penutup untuk 2022.

Untuk julung kalinya, ikon rock dari Singapura dan Malaysia akan disatukan sempena Konsert Rockl4sik yang diadakanSingapore Expo pada 31 Disember ini.

Kumpulan rock Singapura diwakili oleh Rusty Blade dan Majesty, sementara Gersang dan Ella mewakili Malaysia untuk menjayakan konsert yang bakal bermula pada pukul 8 malam hingga pagi.

Pengarah Operasi RAB International, Muhd. Azli Kamaludin berkata, Konsert Rockl4sik ini memilih untuk menampilkan kumpulan muzik yang sudah lama menghilang seperti Hanafi Warren dari Majesty dan Rusty Blade.

Dari kanan, Muhamad Azli Kamaludin, Khalid Mobin, Hanafie Warren dan Man Bai sewaktu sidang media baru-baru ini.

Konsert tersebut menggabungkan ikon rock yang mempunyai kredibiliti sejak lewat 1980-an yang dijangka mampu mengumpulkan ramai penggemar tegar.

“Artis yang kita panggil adalah artis tempatan dan Malaysia sebab kita nak gabungkan dua negara, Singapura dan Malaysia. Konsert Rockl4sik ini akan menampilkan band-band yang dah lama menghilang seperti Hanafi Warren dari Majesty dulu Unwanted, Rusty Blade yang dah lama menghilang dan Gersang. Untuk nampak cantik antara tiga band rock tu kita jemput Ella.

“Dalam top band ini ada strong followers dan kita yakin yang malam itu akan jadi konsert yang dinantikan oleh orang Singapura sebab event Melayu tak banyak. Kita nak adakan yang terbaik.

“Kita memang peminat setia kepada kumpulan ini dan mereka memang sesuai dengan tema rock klasik itu sendiri. Venua Singapore Expo boleh muat 4,000 orang pentonton.

Anggota kumpulan Majesty, Rusty Blade dan Gersang yang akan menjayakan Konsert Rockl4sik di Singapore Expo pada 31 Disember ini.

“Bagusnya tempat ini jika dibandingkan dengan lain-lain venue kerana ia boleh beroperasi sehingga pagi. Bermula pukul 8 malam hingga pagi,” jelasnya tentang kelebihan artis dan lokasi yang dipilih.

Jelasnya, setiap kumpulan akan mengadakan persembahan selama satu jam suku, terpulang kepada mereka untuk nyanyi berapa lagu. Kiranya konsert ini mengambil masa empat jam.

RAB International mahu acara penutup 2022 menjadi kenangan paling bermakna menerusi kolaborasi band yang sudah lama tidak muncul dengan konsert mega apatah lagi digabungkan di satu pentas.

“Mereka akan membangkitkan nostalgia peminat yang membesar dengan lagu rock pada era itu menerusi persembahan tanpa henti selama empat jam.

Man Bai (dua dari kanan) bersama anggota Gersang yang bakal menghibur peminat Singapura nanti.

“Keempat-empat penghibur yang ditampilkan mempunyai rangkaian lagu ‘evergreen’ yang menjadi siulan hingga ke hari ini,” katanya penuh yakin dan sejak kaunter jualan online dibuka pada 28 Oktober lalu, sambutan konsert tersebut sangat menggalakkan.

Sementara itu, Man Bai yang mewakili Gersang mengakui teruja dapat kembali ke Singapura selepas lebih 30 tahun tidak mengadakan persembahan di sana.

“Kali terakhir Gersang membuat persembahan di Singapura pada 1989, bermakna sudah 34 tahun kami tidak masuk ke sana untuk menghiburkan peminat.

“Insya-Allah, persiapan sudah mula dibuat. Semestinya kami akan mengubat rindu peminat dengan lagu popular seperti Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir,” katanya.

Hanafie Warren (tengah) bersama anggota Majesty akan kembalikan nostalgia rock lewat 80-an.

Man Bai juga memaklumkan, Gersang tidak dapat tampil bersama anggota asal disebabkan ada dalam kalangan rakan seperjuangannya terikat dengan komitmen lain.

“Anggota asal yang akan beraksi pada malam itu adalah saya, Jojet, Man Greng dan Ajib. Sementara tempat Kid digantikan Shahrul Ekamatra dan Eddie Slam menggantikan Datuk Acis,” katanya.

Vokalis Majesty, Hanafie Warren pula berkata, mereka akan menghiburkan peminat dengan lagu popular seperti Penyesalan, Terperangkap Dalam Sinaran dan Masih Ada Rindu.

Sementara itu, Khalid Mobin yang mewakili Rusty Blade menyatakan, kumpulan yang menampilkan Yantzen selaku vokalis itu masih aktif selain kerap berlatih di Singapura.

Rusty Blade bakal menampilkan Yantzen sebagai vokalis.

“Memang sudah lama tidak menjayakan sebarang persembahan kerana ada sahaja halangan, tetapi kami tidak pernah berhenti berlatih.

“Apabila mendapat undangan, kami tidak bimbang kerana sudah sentiasa bersedia dan senarai lagu juga sudah disiapkan. Rusty Blade pula berusaha menampilkan anggota asal tetapi Man Karen tidak dapat turut serta berikutan berdepan masalah kesihatan.

“Kami akan mengembalikan nostalgia peminat dengan lagu seperti Tiada Lagi Aku, Ikrar Perwira, Penantian dan banyak lagi,” katanya.

Tiket ditawarkan pada harga antara RM328.09 hingga RM1,171.57 yang boleh didapati menerusi laman www.sistic.com.sg.

Sebahagian hasil penjualan tiket dikatakan akan disalurkan ke Singapore Muslimin Trust Fund Association.

— BebasNews

Leave a Reply