PERDANA Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula Selasa ini (15 November) dan dijangka selesai pada 18 November ini.

“Pembayaran yang bernilai RM2.1 bilion ini akan memanfaatkan 5.2 juta penerima yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan warga emas bujang/tiada pasangan.

“Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Bagi BKM Fasa 4 jelasnya, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Pembayaran ini merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini, tambah beliau.

Menurut Ismail, keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa 4 dari Disember ini ke bulan ini akan membantu para penerimanya menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada pertengahan bulan ini.

“Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai Selasa ini (15 November) dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) dalam portal rasmi BKM melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply