Gambar hiasan. - Credit - Foto Bernama

FASALITI rakyat kelas pertama tapi mentaliti pengguna kelas ketiga. Selalu kita dengar perkataan ni. Norma kita selalu ingin dan hendakkan yang terbaik. Yang terbaik dari yang terbaik. Kita hendak yang terbaik tapi apakah kita ini terbaik?

Kak Feez sedih tengok sikap kita yang mengambil remeh isu kebersihan.

Setiap agama pasti dan mesti mengajar serta menyeru penganutnya menjadi seorang yang pembersih dan membersihkan kerana dari kebersihan itulah lahirnya kesihatan yang baik.

Apabila badan kita sihat, kita pasti akan mudah untuk melaksanakan segala kerja ibadah atau lahiriah.

Tandas di kompleks membeli belah, kalau tak adalah tukang cuci yang setiap minit membersihkan, tak tercerita dek Kak Feez kat sini.

Terfikir juga, apakah susah sangat nak ‘pam tandas’ bila telah diguna. Susah sangat ke nak buang tuala wanita atau lampin pakai anak-anak dengan tertib iaitu dibungkus dan dibuang di dalam tong sampah. Apakah kita tidak punya perasaan simpati dan bertanggung jawab kepada mereka, yang melihat, yang mengutip, yang mencuci dan yang akan membuangkan bahan kotoran kita. Di manakah jati diri kita?

Sampah-sampah biasa di rumah yang dibuang, tanpa dibungkus rapi. Semuanya dicampak terus ke dalam tong, tanpa ada rasa tanggungjawab menyebabkan ia jadi tempat hinggapan haiwan-haiwan pembawa penyakit. Itu belum lagi Kak Feez sentuh bab pengasingan jenis sampah yang sedang dalam usaha untuk diperkenalkan di negara ini secara menyeluruh.

Kak Feez cuba mengingat semula di manakah punca kesilapan, kurangnya peradaban dalam bab kebersihan ini.

Pada pendapat Kak Feez, susur-galurnya pasti bermula dari didikan awal di rumah dan di sekolah rendah.

Zaman Kak Feez kecil-kecil dulu, mak dan abah akak memang tegas. Bangun tidur mesti terus kemas katil. Balik sekolah beg dan kasut harus diletak pada tempatnya, disusun rapi.

Kak Feez sebagai anak sulung perlu memastikan adik-adik buat yang sama. Leteran mak dan jelingan abah tu yang buat kami gerun kalau sesuatu itu tidak seperti yang diharapkan.

Bersekolah rendah di tahun 70an, kami di kelas ada tugasan harian untuk mengemas bilik darjah. Antara tugas wajib, sapu sampah (dulu debu ler), lap tingkap, buang sampah, bersihkan papan hitam dan lap tempat kapur-kapur tulisan, susun buku-buku. Pendek kata semua tugasan membersih dan mengindahkan kelas. Grup yang bertugas perlu datang awal sebelum loceng sekolah bermula. Jadi perkara ini memang dah maklum pada mak abah. Kami kena bawa kain buruk untuk lap mengelap di kelas.

Setiap tahun juga ada pertandingan kelas tercantik, terbersih. Cikgu-cikgu tak masuk campur, mereka cuma beri tunjuk ajar. Sendirilah kena angkat air, mak abah takkan komplen, anak-anak buat kerja berat.

Itu belum bab tandas. Tandas juga dianakangkatkan ke kelas-kelas. Jadi kalau tandas itu kotor, guru akan tahu kelas mana yang kena jaga.

Disiplin satu perkataan yang mudah disebut tapi sukar dilaksanakan.

Bagi Kak Feez, kata itu mesti dikota. Jika tatacara dan undang-undang sudah tertulis, yang salah itu salah, yang betul itu betul.

Peraturan, undang-undang atau perlembagaan, jangan diubah melainkan untuk tambah baikan yang memanafaatkan kepada semua.

Zaman sekarang, semua perkara diambil mudah, lantaran peraturan, undang-undang atau perlembagaan sudah seperti satu catatan biasa yang boleh diubah bila-bila oleh sesiapa yang berkuasa dalam usaha menutup kecacatan dan kekurangan yang mereka ada. Ia bukan lagi untuk manafaat dan kebaikan semua.

Akibat dari inilah, maka disiplin itu sudah tiada lagi nilainya, bersih itu bukan lagi jernih warnanya tetapi pudar dan kusam. Keadaan menjadi carca marba. Peringkat kritikal apabila semuanya menjadi huru-hara.

Adakah kita seorang manusia yang Bersih dan Berdisiplin? Jika YA, maka bersyukurlah kita, bertuahlah kedua-dua ibu bapa kita dan beruntunglah semua di sekeliling kita.

Tujuh hari lagi, penentu masa depan pentadbiran negara tercinta. Sudah bersediakah kita hendak mengundi mereka yang kita rasa Berdisiplin dan Bersih seperti kita?

— BebasNews

Leave a Reply