Kelly Azman menaruh harapan agar lagu Dustakan Cinta layak ke AJL.

NAMA Kelly Azman lebih dikenali sebagai salah seorang juri program All Together Now yang sering menimbulkan kontroversi. Kalau diberitahu yang pempengaruh itu sudah ada empat single pasti ada yang terkejut dan bertanya biar betul.

Memang betul, Kelly atau nama sebenarnya Raja Azman Raja Ayob, 45, baru saja menghasilkan single keempat yang berjudul Dustakan Cinta.

Kelly mula tampil dengan single sejak 2016, iaitu Kepulangan Di Hari Raya, No No No (2017) dan Nikmat Di Hari Raya berduet dengan Ismaliza Ismail pada tahun ini.

Meskipun namanya tidak dikenali ramai sebagai penyanyi di kalangan peminat tempatan, Kelly tetap menyimpan impian agar lagu Dustakan Cinta, ciptaannya bersama Mohariz Yaakup mampu melangkah ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

Kelly Azman tampil dengan single keempat, Dustakan Cinta.

“Tak salah untuk menyimpan impian kerana setiap penyanyi yang keluarkan lagu pasti mahu lagu dendangan mereka dipilih ke AJL. Semua penyanyi di Malaysia impikan pentas AJL termasuklah saya.

“First saya buat lagu tak menjadi, lagu raya memanglah tak boleh calon kan? Kalau ada lagu raya boleh masuk AJL, saya rasa saya menang.

“Ini adalah pertaruhan untuk saya pergi ke pentas AJL. Saya harap produser Muzik Muzik pertimbangkanlah karya saya. Bagi peluang untuk dicalonkan. Tolonglah bagi peluang. Insya-Allah, saya akan hantar pencalonan ini,” katanya penuh semangat tatkala ditanya harapannya untuk Dustakan Cinta.

Menurut Kelly, dia mendapat lagu tersebut dua tahun lalu. Jika mengikut perancangan awal, lagu ciptaan Mohariz itu mahu diberikan kepada penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kelly bersama cikgu Azrin yang mengajarnya tentang vokal.

“Waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), abang Mohariz ada tengok saya buat konsert secara live. Kedua-dua konsert saya itu, dia tengok. Dia DM (direct message) dan sejak itu kita mula berhubungan.

“Dia kata sampai bila Kelly nak nyanyi lagu orang. Abang ada lagu nak bagi. Jadi dia pun bagi dan saya dengar melodinya sedap. Takkan saya nak tolak komposer yang pernah buat lagu untuk arwah Datuk Nassier Wahab, arwah Adibah Nor dan Misha Omar serta Dambaan Pilu untuk Khai AF.

“Saya memang berbesar hati menerima tawaran itu. Bila dah dapat melodi, terfikir pula siapa penulis liriknya, takkan saya juga yang nak buat. Pada waktu itu saya call arwah Rudy Imran sebab nak dia buat lirik. Dia minta nak dengar melodi dan dia kata sedap.

“Rudy suruh bagi peluang kepada NJ dan KR, yang baru berjinak-jiak menulis lirik dalam industri. Terhasillah lagu ini selepas perbincangan kami,” ceritanya tentang lagu yang berentak balada itu.

Kelly bersama wakil MVM yang bertindak sebagai penerbit lagu Dustakan Cinta.

Kelly yang mengakui dirinya tidak sehebat penyanyi lain, namun tetap bersyukur kerana mendapat kepercayaan MVM Production Sdn. Bhd., yang membantunya meneruskan kerjaya seni.

“Terima kasih MVM kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk buat karya ini. Walaupun saya tahu saya bukan power vokal tapi saya adalah vokal yang berkarakter.

“Saya tak boleh nyanyi jerit-jerit. Apa pun, terima kasih kepada cikgu Azrin yang membimbing saya dari segi vokal. Yang sanggup menahan segala kerenah saya, orang yang tak ada basic menyanyi, dia sanggup ajar.

“Bukan setakat vokal saja, inilah orang di belakang saya untuk setiap kali persembahan. Cikgu Azrin adalah coach vokal untuk All Together Now, Ceria Pop Star dan juga kepada penyanyi baharu yang lain,” katanya yang sedia menerima kecaman kerana mulut orang tak boleh ditutup.

Tidak akan goyah dengan kecaman orang ramai.

Jelas Kelly, Dustakan Cinta mengisahkan tentang seorang individu yang sering ditipu dan ditinggalkan keseorangan. Cerita duka itu sering terjadi dalam kehidupannya.

“Lagu ini ada kisahnya tersendiri. Lazimnya, kita sebagai manusia biasa sering ditinggalkan dan ditipu oleh pihak tertentu tanpa mengira jantina.

“Cinta itu pula bagi saya adalah simbolik kasih sayang di antara dua individu. Jadi lagu ini boleh diibaratkan seperti kasih sayang yang telah didustakan,” katanya harap lirik lagu ini boleh dijadikan pengajaran.

Dustakan Cinta dilancarkan secara rasmi di semua platform digital sejak 21 Oktober lalu dan video muzik boleh ditonton menerusi YouTube MVM Music.

— BebasNews

Leave a Reply