SEJAK akhir-akhir ini silih berganti artis Indonesia bertandang ke Malaysia menjayakan konsert tanpa halangan. Siapa yang perlu dipersalahkan, penganjur atau pihak berkuasa kerana tidak bertegas dalam menangani kemasukan artis luar.
Apa pun jika dilihat dari segi bisnes, setiap pelaburan yang dibuat penganjur pasti mahu keuntungan. Dari kaca mata penganjur, mungkin kehadiran artis luar dapat menarik perhatian ramai berbanding dengan artis lokal.
Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri, namun kalau boleh biarlah seiimbang. Dari dulu hingga kini, boleh dikira berapa kerat saja artis tempatan yang berjaya menembusi pasaran di sana (konsert) berbanding kehadiran artis seberang yang tiada batasan itu.
Seorang lagi artis Indonesia yang akan menjayakan konsert di Malaysia pada 20 November ini ialah Raisa Andriani, 32, yang popular di sana sebagai penyanyi pop dan R&B.

Raisa beruntung kerana penganjur Hitman Solutions dan pasukannya bijak mengatur strategi pemasaran dengan menampilkan penyanyi itu di dalam beberapa rancangan TV tempatan untuk menguar-uarkan tentang konsertnya itu.
Konsert Raisa Live In Malaysia akan diadakan di Zepp, Kuala Lumpur bermula pada pukul 8.30 malam dan pada malam itu nanti, Raisa akan mendendangkan kira-kira 20 buah lagu.
Raisa mula terkenal melalui single pertamanya berjudul Serba Salah yang dipetik daripada album sulungnya berjudul Raisa pada 2011. Tahun berikutnya, dia berjaya merangkul anugerah Artis Baharu Terbaik di Anugerah Musik Indonesia ke-15 dan Artis Wanita Baharu Terbaik di Anugerah Planet Muzik.
Sebagai seorang artis yang berbakat, kemampuan vokal Raisa yang popular dengan lagu Usai Di Sini, terus digilap lantas memenangi beberapa lagi anugerah muzik dan juga hati jutaan peminat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solution, Rohit Rampal berkata, Raisa akan menghibur penonton selama dua jam dengan iringan pemuzik profesional.
“Pembeli tiket akan dihiburkan dengan kira-kira 20 lagu hit Raisa dalam ekstravaganza muzikal selama dua jam yang diiringi oleh para pemuzik profesional yang didukung oleh produksi ‘audiovisual’ kami yang sememangnya terkenal.
“Kami meletakkan harapan yang tinggi untuk konsert ini dan berharap semua dapat melihat dan merasainya sendiri. Nama Raisa sememangnya terkenal di persada muzik Indonesia, dan karya-karyanya turut mendapat perhatian di negara kita, pencapaian ini kerana dia bukanlah penyanyi biasa.
“Suaranya yang merdu dan ikonik mewakili gelombang baharu lagu-lagu pop dalam nuansa balada dan jaz serta muzik yang menyentuh perasaan pendengarnya,” kata Rohit.
Sementara itu, kategori tiket VVIP, CAT 3 dan CAT 4 telah pun habis dijual pada hari pertama jualannya, manakala CAT 1 (RM250-Free Standing) dan CAT 2 (RM200-Free Standing) sedang terjual cepat.
Bagi mereka yang masih belum membeli tiket untuk menonton konsert eksklusif Raisa: Live in Malaysia, anda boleh mendapatkannya di laman web rasmi www.hitmanlive.com
— BebasNews

Khadijah Ibrahim Penganalisis BebasNews. Beliau wartawan hiburan prolifik yang pernah menulis untuk Utusan Malaysia, Pancaindera, dan Mingguan Malaysia.