Konsert Blossom bakal bercerita tentang perjalanan hidup Bunga Citra Lestari menerusi lagu.

PENYANYI Bunga Citra Lestari atau BCL mengakui berdebar tatkala menjejak kaki ke Malaysia tanpa ditemani suami. Selalunya, dia datang bersama Allahyarham Ashraf Sinclair atau di awal perkenalan mereka, suaminya akan menjemputnya.

Meskipun terasa berat tapi Bunga gembira kerana dapat berada di rumah keduanya sejak mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Ashraf pada 8 November 2008.

Kehadiran Bunga ke Malaysia adalah untuk menuar-uarkan tentang Konsert Blossom – Bunga Cita Lestari yang akan diadakan di Dewan Plenary, Pusat Kovensyen Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam,  pada 27 Januari 2023.

“Kembali lagi ke Kuala Lumpur yang merupakan rumah kedua saya. Saya rasa gementar sebelum datang ke sini. Perasaan itu ada kerana saya kembali ke tempat di mana ada banyak memori dari tahun 2007, pertama kali saya bertemu denga Ashraf dan selalu ulang alik ke KL.

Cintanya pada Allahyarham Ashraf Sinclair tak pernah padam.

“Sudah tiba masa untuk saya beranikan diri kembali ke rumahnya Ashraf. Selepas pandemik, ini kali pertama saya hadir. Untuk Malaysia sendiri very special kerana different feeling bukan sekadar hadir ke negara lain tapi this is the second home,” kongsi Bunga tentang perasaannya yang lama tidak menjejak kaki ke Malaysia selepas Ashraf meninggal dunia pada 18 Februari 2020.

Kata Bunga, konsert anjuran Icon Entertainment ini sedikit berbeza  kerana di pentas tersebut, dia akan bercerita tentang perjalanan hidupnya menerusi lagu.

Meskipun konsert yang sama dijayakan di Singapura pada Ogos lalu, Bunga tetap menganggap persembahannya di Malaysia kelak lebih dekat dengan dirinya.

“Bagi saya di Malaysia adalah special kerana yang hadir, saya anggap adalah keluarga saya kerana Malaysia always my family for me dari dulu sampai sekarang. Ashraf pun sudah di tempat berbeza tapi buat saya wajah-wajah yang bakal datang adalah keluarga.

Bunga Citra Lestari teruja bakal menghiburkan peminat di Malaysia.

“Saya harap dapat memberikan persembahan yang bisa menyentuh hati penonton di Malaysia. Konsert ini menceritakan tentang perjalanan hidup saya. Dari mula karier menyanyi, terus hal bersama Ashraf yang memberi kesan kepada kehidupan dan kerjaya saya, sampai akhirnya saya berusaha untuk berdiri dan bangkit lagi dan itu sebenarnya, makna Blossom bagi saya.

“Saya melalui jalanan hidup yang tidak disangka-sangka di tahun 2020, I lost love of my life, terus sehabis itu pandemik berlaku di seluruh dunia. Jadi itu adalah masa yang sangat gelap buat semua orang di dunia tapi buat saya double kerana terpaksa melalui saat grieving (bersedih) di rumah dan tidak boleh buat sesuatu.

“Tapi dari segi lain, ia juga satu blessing sebab going proses murung itu tidak ada destruction dari mana pun, tidak digembur dengan pekerjaan dan orang lain. Saya tak perlu jelaskan pada semua orang dan hanya berhadapan dengan diri sendiri saja.

“Setelah siap sedikit demi sedikit kalau orang bilang dari jatuh saya boleh bernafas lagi, bangun dan bisa berdiri. Bagi itu semua prosesnya panjang hingga saya sempat tulis lagu untuk Ashraf buat pertama kali dalam hidup saya.

Bunga Citra Lestari sangat profesional sewaktu menjawab soalan daripada pihak media.

“Dari situ saya lihat perjalanan saya dan saya bisa berbicara dan now saya blossom dan bersedia untuk memulakan kehidupan baharu dan it can be beautiful,” cerita Bunga tentang isi hatinya.

Tegas Bunga, konsert tersebut adalah pembuktian yang dia sudah mampu kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan harap, konsert tersebut dapat memberi impak kepada orang lain juga.

“Konsert ini buat saya, adalah pembuktian kepada diri saya sendiri dan saya harap ini bisa punya impak kepada orang lain. Walau seberat apa pun badai yang datang dalam hidup kita selalu bisa untuk bangkit lagi dan itu yang saya rasakan untuk konsert ini,” katanya.

Bunga turut berkongsi saat dukanya selepas pemergian Ashraf dan hingga kini katanya, tiada perubahan yang dilakukan di rumah kediaman mereka bersama.

Setiap penyanyi undangan untuk konsert Bunga Citra Lestari pasti ada kena mengena dengan kehidupannya.

“Saya rasa kalau ada orang yang melalui tempoh masa seperti saya adalah tidak mudah untuk melupakan kenangan. Saya survive at home in Jakarta, every corner in my house remind me of Ashraf tapi saya menetap di situ.

“Lapan bulan tidak keluar dari rumah, sama sekali tidak bertemu dengan orang lain dari luar. Di rumah saja dengan adik saya, ibu bapa, anak dan ibu Ashraf ketika itu menemani saya di Jakarta.

Everyday crying tapi finally, after dijalani saya rasa dah dapat terima hakikat. Saya boleh kata sekarang ini saya okey. Untuk ke Malaysia itu harus membutuhkan kekuatan. Orang yang memberi kekuatan kepada saya, sudah tentu anak, Noah.

“Tanggungjawab sebagai ibu tunggal besar sekali. Untuk anak, saya harus kuat melalui kehidupan ini agar dia bisa bahagia kerana hidupnya, insya-Allah masih panjang dan saya pun harus bisa bahagia,” akuinya.

Bunga Citra Lestari menganggap Malaysia adalah rumah keduanya.

Bunga yang akan mendendangkan kira-kira 25 buah lagu berkata, setiap artis undangan yang dijemput bukan kerana penyanyi itu popular tetapi kerana mereka pernah hadir dalam kehidupannya.

“Bintang tamu pasti ada tapi belum boleh diumum. Setiap bintang tamu yang ada dalam konsert saya pasti mengisi sebahagian daripada hidup saya. Jadi perjalanan karier mana atau perkenalanan tahun berapa, jadi pasti ada hubungannya atau lagu bersama atau kisah tersendiri.

“Bagi saya konsert adalah kesempatan untuk saya bekerjasama dengan sesiapa yang sudah lama kenal dengan saya. Jika ada yang belum faham tentang saya, mungkin akan mendapat jawapannya di konsert nanti.

“Doakan saya bisa menyalurkan emosi itu menjadi sesuatu yang indah di atas pentas nanti. Apa yang saya harapkan, konsert ini begitu personal bila berbicara tentang Asharaf pasti berbeza.

“Sudah pasti saya akan nyanyikan lagu yang saya cipta untuk Ashraf iaitu 12 Tahun Terindah di depan penonton Malaysia. Di Jakarta pun tidak di semua acara saya nyanyikan lagu itu kerana membutuhkan kekuatan besar untuk nyanyikan lagu itu,” akuinya.

Bunga juga turut menjawab soalan yang diaju tentang hubungannya dengan Ariel Noah yang merupakan artis undangannya sewaktu konsert di Singapura.

“Ariel adalah good friend. Mereka di luar sana suka bergosip. Tak kenal maka tak cinta. Orang itu tidak ada di hidup aku setiap hari, macam mana mereka tahu apa yang berlaku dalam hidup aku.

“Aku juga tidak bisa menyalahkan mereka kerana pengetahuan mereka tentang aku tapi aku juga tidak mahu diperkecilkan oleh orang lain yang tidak tahu tentang diri aku. Orang bebas berpendapat tapi aku mahu menjadi diri sendiri.

“Sekarang ini kita mencari orang yang boleh menerima kita seadanya. Aku juga tak tahu dia ada di mana dan masih banyak yang belum ditemui sebab aku masih tak boleh melupakan cinta hati aku, Ashraf,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply