Persembahan NOAH di Zepp Kuala Lumpur pada 12 November, baru-baru ini berjaya menambat hati penonton.

TIDAK memerlukan publisiti secara besar-besaran, cukup sekadar penganjur mengumumkan bahawa kumpulan rock Indonesia, NOAH akan mengadakan konsert di Malaysia.

Kumpulan yang dianggotai oleh Ariel, selaku vokalis, Lukman (gitaris) dan David, pemain keyboard ternyata membawa rezeki kepada penganjur YOLO Malaysia apabila konsert NOAH Live in KL yang berlangsung di Zepp, pada 12 November lalu dihadiri kira-kira 2,500 penonton.

Awalnya, pihak media ditempatkan di bahagian kiri hadapan pentas dan dibenarkan berada di hadapan pentas untuk beberapa minit bagi merakam foto persembahan.

Sepanjang berdiri di bahagian kiri pentas yang sesak, dalam hati terus berkata-kata, nyesalnya aku datang sebab tak nampak pun, maklumlah tak cukup ketinggian nak tanding orang lain.

Ariel bersama David, pemain keyboard NOAH.

Untuk dua lagu pertama, saya hanya mampu menonton persembahan Ariel menerusi telefon bimbit rakan-rakan yang membuat rakaman.

Bagaimanapun perasaan kesal bertukar mencari ceria bila dapat berada di tempat yang selesa biarpun jauh kerana dapat menonton persembahan NOAH tanpa dilindungi kepala penonton.

Dari kedudukan yang tinggi, saya dapat melihat ruang berdiri di bahagian hadapan pentas Zepp memang padat. Terus teringat kejadian di Itaewon, nauzubillah.

Meskipun penonton tampak berhimpit tapi itulah harga tiket yang mereka beli untuk berada di hadapan pentas. Melihat kehadiran penonton yang luar biasa itu, Ariel berkata yang NOAH merasa cukup gembira kerana dapat mengadakan persembahan di hadapan peminat-peminat Malaysia yang sudah lama tidak ditemui.

Ariel beraksi bersama Lukman, pemain gitar NOAH.

“Malam ini tiada sesiapa yang akan tertinggal kerana semua adalah sebahagian daripada konsert ini. You have no idea bagaimana gembiranya kita bisa bermain di sini, hingga tidak bisa berkata-kata.

“Anda semua luar biasa. Kami tidak mampu menggambarkan rasa gembira apabila berpeluang kembali ke Malaysia selepas lima tahun,” jelas Ariel tentang keterujaannya dengan sambutan daripada peminat tempatan.

Boleh dikatakan dari awal persembahan hingga akhir, Ariel tidak menyanyi secara solo kerana semua lagu dendangannya diiringi oleh ribuan penonton yang nyata adalah peminat tegar kumpulan yang dulunya dikenali dengan nama Peterpan.

Buktinya, tatkala Ariel mendendangkan lagu hit Peterpan seperti Di Balik Awan, Ku Mencari Sesuatu, Ku Katakan Dengan Indah, Bagai Bintang Di Syorga, Ada Apa Denganmu, Topeng, Khayalan Tingkat Tinggi dan Cubalah Mengerti, penonton pun turut menyanyi bersama tanpa dipinta.

Bukan setakat menyanyi, Ariel juga boleh bermain gitar.

“Suara agak pecah sikit tapi saya dengar suara yang di hadapan ini bagus-bagus,“ katanya selepas mendendangkan lagu Di Balik Awan.

Memang agak jelas kedengaran suaranya serak bila bercakap, namun itu semua bukan penghalang kepadanya untuk memberikan persembahan yang bertenaga.

Ariel yang tidak banyak bercakap, mungkin itu stailnya berbanding penyanyi lain ketika di pentas. Ayat yang banyak dikatakan oleh Ariel adalah ‘lanjut’ yang bermaksud meneruskan persembahan.

Selain berjaya menawan hati penonton dengan nyanyian hebat, penguasaan pentas dan layanannya terhadap peminat sememangnya harus diberikan pujian apabila kerap berswafoto serta bersalaman bersama peminat sepanjang acara berlangsung.

Kagum dengan sikap penonton yang sering menyanyi bersamanya.

Persembahan NOAH juga nampak menarik apabila gelang tangan led (led wrist-band) yang dipakai penonton akan menyala mengikut ritma tempo muzik yang dibawa ketika konsert berlangsung.

Menurut pengasas YOLO Asia, Ib Harun, ini merupakan kali pertama gajet seumpama itu digunakan di Malaysia dalam konsert bernuansa Melayu dan  penonton terhibur dengan perubahan warna gelang tangan led itu.

Memandangkan penonton yang hadir memberikan respon yang positif dan menyatakan kerinduan mereka terubat setelah melihat NOAH membuat persembahan tanpa henti selama 90 minit, penganjur bersedia menganjurkan konsert kumpulan tersebut pada tahun hadapan.

“Oleh kerana sambutan yang memberangsangkan daripada pembeli tiket, YOLO Malaysia sudah pun merencanakan YOLO x NOAH 2023 pada tahun hadapan di ruangan yang lebih besar.

NOAH mendendangkan hampir 20 buah lagu sepanjang konsert berlangsung.

“Dan khas buat peminat-peminat muzik K-pop di Malaysia nantikan juga sebuah pesta berteraskan muzik K-pop yang dipanggil YOLO K-razee tidak lama lagi,” tambah Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah.

Gaya santai Ariel ketika mengadakan persembahan.
Dari kiri, Lukman, Ariel dan David berjanji akan datang lagi tahun hadapan untuk menghibur peminat di Malaysia.
Ib Harun (dua dari kiri) dan Haniff Hamzah (dua dari kanan) orang kuat YOLO yang membawa masuk NOAH ke Malaysia.

— BebasNews

Leave a Reply