LEGASI Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail (dari kiri) Fairuz, Faizal dan Dilla di majlis menaikkan Layar Bintang Tokoh Perfileman Hussein Abu Hassan pada [email protected] di Dataran Finas, Hulu Kelang, baru-baru ini.

APABILA bercakap mengenai dunia seni sama ada bidang lakonan dan nyanyian ia tidak menjanjikan bulan dan bintang andaikata kehadiran anda hanya sekadar rupa tanpa bakat.

Namun bagi yang meminati bidang ini dan hadir dengan ‘package’ iaitu berpersonaliti menarik dan bakat anugerah-Nya tidak mustahil ia membantu untuk anda kekal lama dalam bidang ini.

Bagaimanapun kadangkala anda memiliki segalanya tetapi tuah tidak menyebelahi anda tidak mustahil anda mengambil keputusan mengucapkan selamat tinggal pada bidang yang anda minati demi kelangsungan hidup bersama keluarga.

Begitulah yang pernah dialami oleh Allahyarham Seniman Hussein Abu Hassan bekas anggota polis yang memulakan kerjayanya sebagai pelakon tambahan dalam filem “Sri Mersing” dan “Tun Teja”‘pada tahun 1961 akhirnya mengambil keputusan meninggalkan bidang lakonan yang dianggap tidak menjanjikan apa-apa.

Hussein Abu Hassan

“Setelah berlakon 11 filem dan bapa tengok ia tidak menjanjikan apa-apa, bapa buat keputusan tinggalkan dunia lakonan.

“Bapa ambil keputusan menjadi kelasi kapal demi kehidupan kami sekeluarga. Bapa nekad ‘tinggalkan’ kami dan dah siap packing baju dengan dibantu emak untuk ke Australia. Tetapi sudah ditentukan rezeki bapa dalam filem, apabila sehari sebelum bapa belayar pada tahun 1968, tiba-tiba pelakon Ghazali Sumantri datang ke rumah kami di Lorong Engku Aman, Singapura dan menyampaikan hasrat Pak Kadar menawarkan bapa berlakon dalam filem Amok Tok Nading.

“Mak pernah beritahu nasib baik tawaran Pak Kadar ‘datang’ sehari sebelum bapa belayar kalau tidak selepas dua tahun baru kami dapat berjumpa bapa kerana dalam tempoh itu barulah kapal berkenaan datang semula ke Singapura. Kemudian bapa ke Kuala Lumpur sendirian kerana tidak cukup duit nak bawa kami semua. Ketika itu umur saya lima tahun, Fairuz, tiga tahun dan Faizal setahun.

Allahyarham Hussein Abu Hassan sebagai Tok Nading dalam filem “Amok Tok Nading.”

“Amok Tok Nading adalah filem yang memberi impak dalam karier bapa sebagai pelakon antogonis. Sebab watak Tok Nading membuatkan para peminat filem Melayu benci dengan bapa. Disebabkan bencinya mereka pada Hussein Abu Hassan sejak itulah bapa tidak henti mendapat tawaran berlakon.

“Pak Kadar jugalah yang memberi cadangan pada bapa agar lupakan nama Husny Hassan sebaliknya kekalkan nama sebenar Hussein Abu Hassan dan memang rezeki bapa dengan nama itu. Abu Hassan adalah nama datuk kami,” cerita Dilla Hussein pada program ‘Imbas Kembali Layar Bintang Seniman Hussein Abu Hassan’ sempena [email protected] di Pawagam Mini P. Ramlee, di Hulu Kelang baru-baru ini.

Selain Fadilla Hussein atau lebih dikenali Dilla Hussein, turut serta selaku panel program itu, Penerbit dan Pengarah Tersohor, Datuk Yusof Haslam dengan moderatornya, pelakon Zulkifli Ismail.

Menurut Dilla Hussein, beberapa bulan setelah selesai penggambaran filem “Amok Tok Nading,” bapanya membawa mereka sekeluarga berpindah ke Gombak kerana emaknya (Allahyarham Seniwati Mahyon Ismail) mahu anak-anak bersekolah di Kuala Lumpur.

Sejak itu, Hussein Abu Hassan tidak pernah lekang dengan tawaran berlakon dan beliau telah membintangi 62 buah filem bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara antaranya “Muah” (Hong Kong), International Trades, Crazy Pikoy Goes To Malaysia (Filipina) dengan filem terakhirnya “Di Ambang Misteri” pada tahun 2004.

Beliau juga pernah menjadi pembantu pengarah bahagian Melayu untuk filem Hollywood “The 7th Dawn” ketika filem itu menjalani penggambaran di Malaysia. Filem arahan Lewis Gilbert yang diterbitkan pada tahun 1964 itu dibintangi William Holden, Capucine dan Susannah York.

Walaupun membintangi lebih 60 filem tetapi lakonan Hussein Abu Hassan sebagai Menteri Pasola dalam filem “Laksamana Do Re Mi” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggalkan kesan di hati para peminat filem Melayu.

Bukan itu sahaja malah beliau mencatatkan sejarah tersendiri dalam bidang lakonan apabila pada tahun 1977 diundang berlakon dalam drama 26 episod “Bailey’s Bird” yang disiarkan di TV Australia. Dalam drama tersebut yang menjalani pengambaran di Pulau Pinang dan Australia beliau melakonkan watak Inspektor Hamid bersama Seniwati Datin Noor Azizah sebagai Doktor Susan Lim dan adalah difahamkan drama ini pernah disiarkan di TV3 pada tahun 1980an.

Selain berlakon Allahyarham pernah mengarah empat buah filem “Bunga Padi Berdaun Lalang (1975), Panglima Badol (1978),Senja Merah (1982) dan Gila-Gila Remaja (1986).

GILA-Gila Remaja filem keempat arahan Allahyarham Hussein Abu Hassan ‘melahirkan’ pelakon berbakat dan kekal popular sehingga hari ini.
Antaranya: Faizal Hussein dan Rosyam Nor.

“Gila-Gila Remaja” antara filem arahan Allahyarham yang menjadi sebutan sehingga hari ini kerana ia bukan sahaja menyerlahkan sisi lain Allahyarham sebagai pengarah malah filem itu berjaya melahirkan sebutir bintang yang versatile dan kekal sehingga hari ini iaitu anak beliau, Faizal Hussein.

Menurut Dilla Hussein, walaupun bapanya popular kerana watak antogonis tetapi cikgu-cikgu di sekolah excited bertanya tentang bapa dan emaknya. Sementara kawan-kawan bercakap tentang filem bapa, iklan rokok Gold Leaf dan cerita bapa yang selalu keluar di akhbar dan majalah, realitinya beliau adalah seorang bapa yang ‘low profile,’ penyayang dan terlalu ‘protective.’

“Saya masih ingat lagi semasa saya bersekolah rendah dan bapa ada shooting drama RTM di sebuah kedai berhampiran rumah kami di Jalan Setia, Gombak. Ramai yang tengok dan apabila bapa nampak saya, bapa terus datang dan pesan agar berhati-hati bila jalan balik kerana bimbang kena kidnap. Walaupun bapa selalu berlakon watak jahat tetapi dia adalah seorang bapa yang terlalu mengambil berat mengenai anak-anak.

“Ketika shooting drama di situ bapa macam wakil rakyat kerana sifat peramah dan baik dengan semua orang sepanjang Jalan Setia membuatkan mereka menghormati bapa,” cerita Dilla Hussein.

DARI kiri: Allahyarham Hussein Abu Hassan, Faizal, Fairuz, Allahyarham Mahyon Ismail dan Dilla.

Menurut Dilla Hussein, sebagai anak beliau bangga mempunyai seorang bapa yang dihormati masyarakat setempat dan para peminatnya.

“Malah kehidupan kami sekeluarga amat selesa kerana bapa bukan sahaja mendapat tawaran berlakon filem malah drama RTM dan apabila ada TV3, bapa juga banyak berlakon drama swasta dan saya bersyukur kewangan bapa dan emak stabil dan ketika mereka ‘pergi’ hidup mereka tidak susah.

“Sebagai anak saya bangga dan bersyukur melihat kerjaya bapa berterusan dan antara kami tiga beradik hanya Faizal yang ikut jejak bapa dengan berlakon sehingga hari ini. Saya tengok rezeki Faizal tidak pernah putus sehingga beliau mampu memilikki kondo dan tambah kereta.

“Fairuz meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi. Saya pula lebih banyak menulis skrip untuk drama RTM dan swasta. Entah di mana silapnya setelah bapa dan emak meninggal dunia, hidup saya amat terkesan kerana sejak tahun 2013 semua proposal yang saya hantar ke RTM dan TV3 ditolak,” luah Dilla Hussein yang kini berniaga secara ‘online’ menjual acar buah, sambal bilis demi kelangsungan hidupnya.

Seniman Hussein Abu Hassan yang menerima Anugerah Seniman Veteran pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2005 kerana jasanya dalam bidang seni meninggal dunia kerana penyakit buah pinggang dan beberapa komplikasi penyakit lain pada 26 November 2007.

ALLAHYARHAM Hussein Abu Hassan bersama Trofi Anugerah Seniman Veteran pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2005).
Berdiri dari kiri: Natra Yasmi (cucu, Ayang), Faizal Hussein, Allahyarham Mahyon Ismail, Dilla Hussein dan anak bungsu, Marisa.

Sementara Seniwati Mahyon Ismail meninggal dunia kerana sesak nafas pada 21 Mei 2011.

Sebagai menghargai sumbangan Allahyarham Hussein Abu Hassan dalam bidang seni, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menerbitkan buku “Hussein Abu Hassan: The Cinderella Man” pada tahun 2020. Buku ini ditulis oleh Dilla Hussein.

“HUSSEIN ABU HASSAN The Cinderella Man” ditulis oleh Dilla Hussein.
Buku ini diterbitkan dan dijual di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang pada harga RM180.

Menurut Dilla Hussein, beliau mendapat bahan untuk menulis buku berkenaan melalui keratan akhbar, majalah, poster dan pin-up yang disimpan oleh Allahyarham bapanya. Beliau memberi tajuk berkenaan pada buku itu kerana ia menceritakan perjalanan hidup Allahyarham bapanya dari susah hingga senang dan juga ada sentimen perasaan Allahyarham yang suka filem “The Cinderella Man” mengenai sukan tinju lakonan Russel Crowe.

Apabila ditanya nama beliau tiga beradik bermula dengan huruf ‘F’ Dilla memberitahu;

“Setahu saya nama Fadilla adalah satu watak perempuan Arab dalam filem Abu Nawas. Agaknya dah alang-alang nama anak sulung bermula dengan huruf F, anak kedua diberi nama Fairuz sempena penyanyi Arab. Sementara nama Faizal diambil sempena nama Raja Arab Al Malik Faizal.”

DATUK Sri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Annuar Musa bersama Faizal Hussein dan buku “HUSSEIN ABU HASSAN The Cinderella Man” selepas menaikkan Layar Bintang Tokoh Perfileman Hussein Abu Hassan pada [email protected] di Dataran FINAS, Hulu Kelang, baru-baru ini.

Allahyarham Hussein Abu Hassan seniman sejati

Sementara itu, Datuk Yusof Haslam yang bertafakur seketika dan cuba menahan sebak di dada namun akhirnya beliau kalah…lalu menangis buat beberapa minit sebelum berkongsi pengalaman pernah menjadi rakan karib ketika berlakon filem “Bukit Kepong” pada tahun 1981 dan menyifatkan Allahyarham adalah seniman sejati.

“Sampai saat ini saya masih ingat ketika bersama Allahyarham di lokasi filem Bukit Kepong. Setelah sebulan kami berkampung di Bukit Kepong penggambaran masih belum dimulakan namun beliau tetap sabar dan tinggal di sana.

“Tetapi saya tidak boleh sebab ada tanggungjawab di KL. Walaupun ketika itu Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin marah tetapi beliau tetap izinkan dan saya berulang alik dari Bukit Kepong ke KL sepanjang tiga bulan shooting di sana.

“Saya melihat semangat juang Allahyarham begitu kental dan beliau tidak berganjak walau seinci meskipun waktu menunggu lebih lama berbanding shooting day.

“Sebenarnya masalah utama ketika itu ada beberapa nama besar yang ditawarkan berlakon tetapi menolak kerana tempatnya jauh bayaran pula terlalu kecil hanya orang yang cekal seperti Allahyarham dan Allahyarham A. Rahim yang sanggup tinggal di sana.

“Saya tidak berani berdepan cabaran dan saya takut merentas duri dan onak. Tidak ramai orang yang punya semangat juang seperti Allahyarham,” kata Yusof Haslam yang mula melihat kecekalan dan semangat juang yang tinggi Allahyarham ketika shooting “Loceng Maut” pada tahun 1978 yang mana beliau sanggup melakukan ‘stunt’ sendiri dan filem itu berjaya mencatat kutipan tiket lebih RM1 juta!

Selepas filem “Bukit Kepong” Allahyarham Hussein Abu Hassan meneruskan kerjayanya sebagai pengarah dengan mengarah filem “Senja Merah” (1982) dan turut mengundang Yusof Haslam berlakon diikuti filem “Gila-Gila Remaja” (1986) yang menampilkan Faizal Hussein memegang watak utama.

Allahyarham Hussein Abu Hassan, Allahyarham Seniwati Norizan dan Faizal Hussein dalam filem “Darah Panglima.”

Semangat juang Allahyarham dalam dunia filem diteruskan oleh anak bungsunya, Faizal Hussein yang mula berlakon “Darah Panglima” ketika usianya lima tahun dan sehingga kini telah berlakon lebih 30 filem dan puluhan drama TV.

Malah beliau pernah berlakon filem pertama “Bayangan Maut” dan drama rantaian “Sembilu” selama empat musim terbitan Skop Production bermula sejak tahun 2003 – 2005.

Bagaimanapun kata Yusof Haslam disebabkan selalu ingat pesan Arwah ayah, Md. Haslam Khan dan Arwah mak, Bahyah Talib yang mahu beliau mencari kerja lain tetapi apabila melihat seniman besar seperti Allahyarham Hussein Abu Hassan tabah dan kuat semangat membuatkan beliau yakin walau apapun bisnes yang diceburi beliau tidak akan tinggalkan dunia filem.

“Sebab itulah sehingga kini saya masih buka Restoran Haslam dan apabila filem saya berjaya ada yang berpendapat saya tahu buat filem. Sebenarnya saya tidak tahu masa depan dalam dunia filem namun saya teruskan walaupun sudah punya perniagaan lain.

“Saya berjanji pada diri walaupun sudah punya restoran saya tidak akan tinggalkan dunia filem. Ada yang kata saya berjaya sebab saya pandai buat filem. Sebenarnya saya masih belajar kerana ilmu saya cetek tetapi saya buat sehabis daya dan selebihnya ditentukan oleh Allah,” kata Yusof Haslam.

Jangan buat dua kerja pada satu waktu – Zulkifli Ismail

PENGERUSI FINAS, Datuk Seri Zurainah Musa (dua dari kiri), Fairuz, Dilla dan cucu-cucu Allahyarham Hussein Abu Hassan pada program ‘Imbas Kembali Layar Bintang Seniman Hussein Abu Hassan sempena [email protected] di Pawagam Mini P.Ramlee, di Hulu Kelang, baru-baru ini.
Turut sama Yusof Haslam dan Zulkifli Ismail.

Bagi Zulkifli Ismail walaupun tidak berpeluang mengenali Allahyarham Seniman Hussein Abu Hassan dalam jangka waktu yang lama namun beliau tetap menghormatinya.

“Bagi saya Allahyarham adalah Seniman Legenda dan bakat lakonannya bukan sahaja dihargai di Malaysia dan Singapura malah sehingga ke luar negara.

“Bukan calang-calang pelakon Melayu diundang berlakon filem Hong Kong, Filipina, apalagi sebagai pembantu pengarah bahagian Melayu untuk filem Hollywood, The 7th Dawn.

“Bukan itu sahaja, malah Allahyarham pernah berlakon drama bersiri untuk TV Australia,” kata Zulkifli Ismail.

Menurut Zulkifli, sampai hari ini beliau masih ingat tatkala menjemput Allahyarham di rumahnya di Gombak untuk ke lokasi shooting di Ipoh.

“Sepanjang perjalanan dari rumah saya ke Gombak saya risau tak tahu nak berbual apa nanti. Tetapi tanpa saya duga sepanjangan perjalanan Allahyarham berborak macam dah kenal lama.

“Cuma satu pesanan Allahyarham yang saya ingat sehingga hari ini. Pesan Allahyarham kalau mengarah jangan berlakon. Kita tidak boleh buat dua kerja dalam satu waktu…susah!”

— BebasNews

Leave a Reply