SETIAUSAHA Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan Perikatan Nasional (PN) berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Justeru tegasnya, soal kerjasama atau penggabungan PN dan Barisan Nasional (BN) tidak berbangkit.
Malah beliau menambah, Perdana Menteri berikutnya adalah daripada PN (Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin).
“Saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada PN.
“Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya dalam Facebook PAS, hari ini.
Takiyuddin turut menyifatkan kenyataan media daripadanya berkenaan penggabungan PN dan BN selepas PRU-15, baru-baru ini telah diambil secara luar konteks dan tajuknya mengelirukan pengundi.
PN diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Muhyiddin dan dianggotai PAS serta Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Pada PRU15, Sabtu ini, PN bertanding dalam 171 kerusi Parlimen dan 116 Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Perak dan Pahang.
Turut bertanding secara gabungan parti ialah Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA). — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.