SEORANG anggota polis menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi pos, hari ini. – Foto SPR

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 365,686 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluarannya bermula pada 7 November lalu oleh petugas pilihan raya di kesemua 222 kawasan Parlimen dan 117 Dewan Undangan Negeri/Dewan Negeri.
“Kesemua 365,686 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 299,097 kategori Borang 1A (petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media).
“Sebanyak 48,109 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 15,739 kategori Borang 1C (agensi dan organisasi) serta 2,741 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara,” katanya dalam Facebook SPR, hari ini.

Proses pengeluaran kertas undi pos ini katanya, dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding.
SPR selain itu katanya, mengingatkan para pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya pada laman media sosial.
Mereka juga jelasnya, diingatkan supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus berkenaan sebelum pukul 5 petang hari mengundi (Sabtu ini). — BebasNews


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.