Kempen pilihan raya P044 Permatang Pauh, satu kawasan yang dianggap ‘panas’

Selak Hassan Md NoorTINGGAL beberapa hari lagi, suasana kempen semakin meriah menjelang kemuncak hari pengundian pada 19 November ini. Di mana-mana sahaja suasana makin panas lebih-lebih lagi di kawasan yang menjadi pertembungan personaliti hebat.

Sebaik sahaja habis penamaan calon, kempen bermula walaupun sebelum itu sudah ada yang menjelajah seluruh negara bagi mengadakan kempen tidak rasmi. Bendera parti dipasang dan dipacak sebelum hari penamaan calon. Biarlah, bukan selalu.

Pentas kempen, pasar malam, kedai kopi, jeti nelayan, rumah penduduk, menjadi tumpuan calon dan pekerja politik. Jika nasib baik habis satu restoran dibelanja oleh calon atau wakil mereka.

Pada ketika inilah secara tiba-tiba yang tidak pernah muncul selama ini terpacak di depan rumah, kerana namanya dicalonkan oleh parti. Calon tenggelam timbul ini sekali lagi tunjuk muka ‘menawarkan diri’ untuk berkhidmat pada musim kempen.

Masa untuk mendekati pengundi seberapa banyak yang boleh.

Ada juga tiba-tiba wakil rakyat yang dulunya menghilang dan muncul sekali sekala untuk menyertai ceramah atau merasmikan program parti atau kerajaan sudah ‘berkhemah’ dua minggu di kawasan, kononnya mereka ‘anak tempatan’.

Dan tidak kurang juga yang biasanya muncul dalam situasi susah senang tanpa mengira masa dalam tempoh setiap kali selepas pilihan raya semakin ghairah ziarah menziarah bertemu penduduk bagi menyaingi ‘muka baharu’ yang tiba-tiba muncul.

Begitulah warna warni politik PRU di negara kita. Pelbagai ragam calon yang bertanding sama ada mereka ini mahu mengekalkan jawatan, menawarkan diri untuk bertanding atau muka baharu yang pertama kali bertanding.

Malangnya dalam suasana kempen ini, banyak provokasi dilakukan untuk mencetuskan kemarahan atau menimbulkan rasa kurang senang dan marah yang akhirnya dijadikan modal politik.

Kartunis Maro melalui karyanya Malaysia Kita di Mingguan Malaysia pada 23 Oktober ‘menceritakan’ seorang anak memberitahu ibunya orang yang mendukungnya lima tahun lalu berkunjung ke rumah.

Silap sedikit habis satu kawasan dijaja. Kebaikan yang dilakukan sebelum ini terpadam hanya kerana perbezaan fahaman politik.

Kilang fitnah dan hasutan juga tidak berhenti ‘operasi’. Ada sahaja fitnah baharu muncul. Boleh dikatakan 24 jam ‘kilang’ ini beroperasi tanpa henti asalkan operasi kilang fitnah itu membawa hasi lumayan pada hari mengundi.

Tidak kurang juga yang berkempen dengan lagak ustaz ‘tanpa tauliah’ dengan fatwa yang pelbagai demi mendapatkan undi tanpa mempedulikan kekeliruan yang ditinggalkan di pentas politik. Inikah yang dikatakan matlamat menghalalkan cara?

Di sesetengah tempat atau kawasan pilihan raya, ada pengundi yang tidak dapat menerima orang luar atau calon ‘payung terjun’. Ada juga yang merupakan anak tempatan tetapi hanya kembali untuk bertanding, kemudian hilang selepas PRU.

Tetapi timbul persoalan, apabila calon yang sentiasa kelihatan di kawasan selepas tewas pada PRU tetapi dilupakan apabila tiba hari pengundian. Sebaliknya yang pulang sekali sekala selepas menang akan mendapat tempat dan disanjung.

Kenapa begitu? Di mana silapnya? Adakah kerana popularitinya di peringkat kebangsaan mengatasi apa yang disumbangkan dalam kalangan masyarakat setempat oleh calon yang tewas tetapi sentiasa ‘berkeliaran’ di kawasannya?.

Adakah sudah tertanam dalam fikiran pengundi tempatan walaupun wakil rakyat tidak tinggal di kawasan itu tetapi masih ada ketua parti sama ada yang mewakili parti wakil rakyat atau sebaliknya tetap ada dan menjadi tempat bergantung?

Ada sesetengah ketua parti yang sudah terbiasa dengan aktiviti di kawasannya terutama di luar bandar tidak pernah lupa menjenguk masyarakat tanpa mengira fahaman politik dalam apa keadaan sekali pun.

Dia yang pertama tiba apabila mendapat khabar berita penduduk kawasannya sakit demam, kematian, kebakaran, banjir dan sebagainya. Pemimpin seperti ini tidak tergamak melihat penduduk di kawasannya ‘terabai’.

Tanpa mengira parti, pemimpin seperti ini yang digelar Yang Bekerja (YB) akan muncul ketika Yang Berhormat (YB) kawasan baru berkira-kira mahu bertolak dari Kuala Lumpur.

Apa sebenarnya kehendak pengundi ? Mereka memilih wakil rakyat untuk apa?

Jika sekadar untuk menjadi Yang Berhormat bercakap di Dewan Rakyat, rasanya semua orang boleh bercakap walaupun tergagap-gagap tetapi menjadi Yang Berkhidmat di kawasan, mendekati rakyat, calon bagaimana yang harus jadi pilihan?

Adakah calon dekat di mata dan dekat di hati? Apa pun janganlah menjadi pengundi yang umpama habis madu sepah dibuang atau kacang melupakan kulit atau sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.

— BebasNews

Leave a Reply