Azam Baki

PETALING JAYA — Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata kehadiran empat pegawai agensi itu di pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd, milik Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, pada Selasa, hanya siasatan biasa bukannya serbuan.

Katanya, kehadiran pegawai SPRM itu merupakan prosedur biasa siasatan terhadap dakwaan pemilikan aset yang diumumkan Rafizi, minggu lalu.

“Tiada serbuan sebaliknya siasatan biasa, hanya empat orang pegawai SPRM hadir untuk menemubual kakitangan dan ambil dokumen berkaitan kewangan sahaja.

“Tiada kakitangan yang ditahan dalam siasatan tersebut dan mereka semuanya dilihat tidak tertekan dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang keberadaan pegawai SPRM di pejabat tersebut,” katanya menurut Astro Awani.

Hari ini, menurut laporan Berita Harian, Rafizi mendakwa SPRM menyerbu pejabatnya ketika beliau berkempen, termasuk menahan kakitangannya selama tujuh jam.

“Kita cakap pasal skandal RM2 bilion (projek tebatan banjir), dia (SPRM) tak siasat.

“Kita cakap pasal kapal LCS dan sudah tunjuk bukti mengenai (Abdul) Latiff Ahmad (bekas timbalan menteri pertahanan), tunjukkan wang RM200 juta yang masuk ke syarikat palsu, dia tidak siasat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia, Kita Boleh di Wangsa Maju malam tadi.

SPRM sebelum ini memaklumkan membuka kertas siasatan berhubung pengisytiharan harta oleh calon Parlimen Pandan itu selepas satu laporan dilakukan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara itu.

Pada 2 Nov, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih RM18.85 juta dan mendakwa tidak memerlukan dana awam untuk menjadikan dirinya kaya.

Beliau berkata pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) untuk berbuat demikian.

Sumber asal — https://www.msn.com/en-my/news/berita/bukan-serbu-hanya-siasatan-biasa-terhadap-aset-rafizi-kata-sprm/ar-AA149EuB?ocid=msedgntp&cvid=6f18b34d1ee2492491311d15ac5fa6dc

— BebasNews

Leave a Reply