Dari kiri, Fahrin Ahmad (moderator), ahli panel, Prof Dr Md Nasir, Yusof Haslam, Noor Kumalasari, Sharifah Rose dan Hariz Hamdan pada forum yang diadakan di Dewan Perdana, UKM, baru-baru ini.

BERSIKAP jujurlah pada diri sendiri, kalau diaju soalan anda suka yang cantik atau sebaliknya. Sudah tentu jawapan untuk soalan itu adalah cantik kerana apabila manusia lihat yang cantik hatinya akan tenang dan gembira.

Agama Islam juga mendidik supaya kita cantik dari segi sikap dan ketrampilan. Atas sebab itu, Islam membahagikan kecantikan itu kepada dua sudut, iaitu kecantikan batin dan luaran.

Kecantikan batin berkaitan dengan akhlak, ilmu dan akal serta sifat terpuji seperti berilmu, berhikmah, adil, menjauhkan diri dari sifat keji, menahan marah, baik hati, berani dan sukakan kebaikan untuk semua.

Manakala, kecantikan luaran dapat menarik perhatian mereka yang melihatnya dinamakan sebagai kecantikan rupa paras. Kecantikan rupa paras juga subjektif kerana ia bergantung kepada sudut pandang persendirian.

Bagi Yusof, rupa dan bakat sama penting kerana penonton mahu melihat kesempurnaan di skrin, selain jalan cerita menarik.

Baru-baru ini dalam industri hiburan, polemik rupa dan bakat sebagai faktor memilih pelakon tercetus apabila penerbit, Datuk A Aida mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut elemen rupa menjadi keutamaan dalam pemilihan pelakon.

Bagi mengupas isu tersebut, forum bertajuk Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Krediliti? dianjurkan oleh Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, baru-baru ini.

Forum yang bertujuan menyemarak penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32, yang akan berlangsung pada 2 Disember depan di Melaka itu, dirasmikan Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa.

Untuk membincang topik tersebut, antara ahli panel yang diundang adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, pemilik Syarikat Skop Production, Datuk Yusof Haslam, bintang veteran, Noor Kumalasari dan dua pendatang baharu, Sharifah Rose dan Hariz Hamdan, sementara Fahrin Ahmad bertindak sebagai moderator.

Forum bertajuk Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Kredibiliti? memberi banyak info kepada pelajar yang hadir.

Menurut Presiden Wham, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, objektif penganjuran forum tersebut adalah untuk memaparkan realiti sebenar dalam dunia lakonan kerana ramai ingin memilih bidang lakonan sebagai kerjaya.

“Kita lihat kehadiran ramai bakat baharu menghiasi persada seni tanah air, namun, sebahagian daripada mereka tidak mempunyai persediaan asas menjadi pelakon yang baik.

“Sedangkan banyak ilmu yang perlu dipelajari sebelum mereka mengambil keputusan mencuba nasib pada sesi uji bakat,” katanya.

Tengku Khalidah berkata, forum itu mahu memberi peluang kepada penggiat seni berkongsi pelbagai tip mengikut kepakaran masing-masing kepada pelajar UKM.

Ahli WHAM bersama tetamu yang hadir menjayakan forum di UKM, baru-baru ini.

Antaranya adalah strategi, sikap dan pendekatan yang perlu ada dalam diri individu yang mahu menjadikan dunia lakonan sebagai kerjaya profesional.

“Kita lihat sekarang seolah-olah sudah menjadi aliran apabila orang lebih percaya kepada pengaruh media sosial dan populariti untuk mendapat tempat dalam dunia lakonan.

“Jadi, kita bawa topik ini untuk berbincang faktor antara bakat dan paras rupa yang menjadi taruhan, mana satu yang lebih menjadi keutamaan,” ujarnya.

Pada forum itu, pengarah dan penerbit Yusof yang pernah mendapat julukan ‘Six Million Dollar Man’ atas kejayaan filem dihasilkannya, berpendapat rupa dan bakat harus seiring.

Hariz Hamdan bersama Yusof Haslam. Belakang Sharifah Rose dan Noor Kumalasari.

“Sebagai penerbit dan pengarah, rupa dan bakat sama penting dan saling memerlukan. Kecantikan dan ketampanan pelakon adalah lumrah kerana penonton mahu melihat kesempurnaan di skrin, selain jalan cerita yang baik.

“Kami sebagai penerbit melalui proses yang sama di mana kami lihat seseorang pelakon dari sudut pandang kamera. Saya setuju dengan kenyataan Datuk A.Aida sebelum ini, malah saya juga akan mendapatkan pandangan isteri sebelum pilih pelakon.

“Bagi saya, tidak cukup hanya cantik, bakat perlu ada. Kami tidak boleh menghasilkan filem atau drama syok sendiri. Kita perlu ambil kira kehendak penonton,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, perbahasan mengenai kecantikan adalah subjektif kerana dia turut mendapatkan pandangan daripada pihak lain sebelum mengambil seseorang menjadi pelakon.

Prof Dr Md Nasir (kiri) gembira dapat menguar-uarkan peranan FINAS kepada tetamu yang hadir.

“Filem pertama Bayangan Maut yang diterbitkan pada 1991, saya ambil Noorkumalasari sebagai pelakon yang dahulunya peragawati dan model yang cantik. Dalam Sembilu pula, saya pilih Erra Fazira sebab cantik dari segi cara dia berjalan dan bercakap, begitu juga Ziana Zain.

“Namun, bukan sebab cantik sahaja, mereka tetap perlu menjalani uji bakat untuk melihat kesesuaian watak,” katanya berkongsi cerita di awal pengarahannya.

Sementara itu, pendatang baharu, Sharifah Rose yang mula dikenali selepas membintangi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, tidak menafikan soal rupa menawan boleh membuka jalan untuk seseorang menceburi bidang seni.

Namun, katanya pada waktu yang sama, pelakon harus mengambil inisiatif memperbaiki lakonan dengan mengikuti kelas atau menuntut ilmu daripada pelakon ‘senior’.

“Pada awal pembabitan saya dalam industri, saya sangat risau kerana tiada pengalaman.

“Namun, atas dasar ingin mencuba dan mencabar diri, saya sahut lamaran untuk memegang watak utama drama Kekasih Hati Mr Bodyguard sebagai teraju utama biarpun tanpa pengalaman.

“Saya pernah dilabel pelakon ‘kayu’ tetapi kritikan itu saya jadikan pembakar semangat dan dorongan memperbaiki diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, acara ini mengisi kalendar perancangan promosi FFM32.

“Ini adalah sebahagian daripada rangka promosi menuju (FFM32), dan acara-acara ini memeriahkan lagi suasana menjelang hari festival. Kami jemput tokoh-tokoh hebat dari industri dan membincangkan topik yang dicetuskan oleh Datuk A Aida.

“Kita dapat dengar pelbagai pandangan untuk membantu membangunkan industri. Selain itu, forum hari ini juga mengetengahkan peranan Finas dalam berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply