KERTAS undi dengan tanda pangkah oleh pengundi tetap diterima dan dikira sebagai undi oleh SPR biarpun ada ruang lain yang berkesan cop.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjelaskan setiap kertas undi yang dipangkah oleh para pengundi tetap akan diterima dan dikira sebagai satu undi untuk calon pilihan mereka biarpun terdapat kesan cop petugas pilihan raya yang melipatnya sehingga bertindih dengan kotak senarai calon dan lambang parti mereka.

Satu video Tik Tok menerusi Facebook SPR hari ini yang bertempoh empat minit 13 saat yang menayangkan demonstrasi penandaan kertas seumpama itu, menghuraikan, kesan kekotoran cop tidak akan menyebabkan kertas undi itu ditolak.

Video penjelasan ini disiarkan SPR bagi mengulas klip video yang ditularkan kalangan orang ramai dalam media-media sosial, baru-baru ini yang meragui kesahihan kertas undi yang mempunyai kesan cop tersebut.

Menurut video itu, para pengundi yang memangkah ruang calon pilihan raya tidak perlu risau dengan kesan cop tersebut termasuk sekiranya terdapat pada ruang yang telah dipangkah atau tidak dipangkah mereka.

DEMONSTRASI dalam video SPR mengenai kesan cop yang bertindan dengan tanda pangkah pengundi.

“Kertas undi ini tetap akan dikira, calon ini (yang ditanda pangkah) mendapat satu undi. Pilihan pengundi tetap pada calon itu. Tiada masalah.

“Petugas tersilap lipatan (kesan cop di ruang penandaan). Kalau tersilap buat (lipat bersebelahan kiri ke kanan) sekalipun, tetap akan diterima.

“Sepatutnya apa yang diajar kepada petugas apabila cop dan diceraikan, kertas (undi itu) dilipat atas ke bawah atau bawah ke atas, sebab kita hendak tutup (copnya supaya) tidak akan kacau ruang (yang) hendak ditanda.

“Kalau buka balik, pengundi tanda kertas undinya, bersih,” dipetik daripada suara latar video itu.

Video itu menyebut, “(Berdasarkan) Peraturan-peraturan Pilihan Raya Penjalanan PR 1981 25 (8), KTM (Ketua Tempat Mengundi) tidak boleh tolak kertas undi itu kalau ada jelas penandaan oleh pengundi dan jelas calon yang diundinya.”

Turut diselitkan ialah pesanan akhir kepada pihak-pihak yang gemar menularkan dan berkongsikan video yang meragui status kertas undi berkesan cop: “Tolonglah, kalau kita tidak pasti, terkeliru, janganlah kongsi, apabila kongsi akan kelirukan lebih ramai orang di luar sana.” — BebasNews

TANGKAP layar video SPR yang menjelaskan cara sepatutnya kertas undi itu dicop dan dilipat oleh petugas pilihan raya.

Leave a Reply