PUTRAJAYA, 16 Nov. — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 18 November ini bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan PRU15 bagi Parlimen P017 Padang Serai.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, ini berikutan kematian calon Pakatan Harapan, Karupaiya A/L Mutusami hari ini.

“SPR telah menerima Writ Pilihan Raya yang dipulangkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan menyatakan fakta berkaitan kematian calon yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan.

SPR turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Mengikut Fasal 11 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang memperincikan perihal membabitkan calon yang dinamakan mati atau hilang kelayakan daripada menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum pengundian dimulakan.

Fasal sama turut menyentuh perkara sama bagi apa-apa sebab pengundian tidak dapat diadakan atau sudah tidak diadakan pada hari pengundian awal atau hari pengundian, mengikut mana-mana yang berkenaan seperti dinyatakan dalam writ dikeluarkan kepada pegawai pengurus mengikut subperaturan 3(1).

Di bawah peraturan itu, berikutan kematian calon sebelum pengundian, pegawai pengurus pilihan raya “hendaklah … memaklumkan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya … di sebalik writ” untuk pengundian asal.

“Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah membatalkan notis bagi pengundian itu, dan hendaklah menetapkan melalui notis yang disiarkan dalam Warta suatu tarikh baharu bagi pilihan raya itu dan dalam hal demikian semua urusan mengenai pilihan raya itu hendaklah dijalankan semula, dengan syarat bahawa penamaan yang baharu tidak perlu dalam hal seseorang calon yang layak yang sah dinamakan pada masa pengundian itu dibatalkan,” menurut fasal 11(6).

Kenyataan media —

— BebasNews

Leave a Reply