RADUAN Che Rose (berdiri, tengah) yang menerajui MPN. – Foto FB MPN
MAJLIS Profesor Negara (MPN) menegaskan sebahagian besar daripada 70 orang dalam kumpulan Profesor Melayu G70 pada sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini, telah berpencen dan tidak lagi boleh menggunakan gelaran Profesor.
Presiden MPN, Prof. Datuk Raduan Che Rose juga menegaskan, MPN tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kumpulan Profesor Melayu G70 itu yang menyatakan pendirian dan mengeluarkan deklarasi menyokong pihak tertentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
“Sebahagian besar daripada 70 orang itu didapati telah berpencen dan tidak lagi boleh menggunakan gelaran Profesor kecuali jika dilantik sebagai Profesor Emeritus dan merupakan ahli pergerakan tertentu.
“MPN juga ingin menyatakan pendirian untuk menghormati hak individu termasuk para profesor untuk mempunyai hak kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat dan buah fikiran serta berpersatuan selaras Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jurucakap Deklarasi Profesor Melayu G70, Prof. Datuk Wan Ramli Wan Daud dalam sidang berkenaan berkata, mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU15 berdasarkan kredibiliti dan rekod prestasinya yang cemerlang.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut dianggap satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk.

Raduan menambah, “sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili para ilmuwan tertinggi negara, MPN sentiasa beriltizam dan berusaha untuk memberikan sumbangan kepakaran akademik para ahlinya dalam setiap bidang melalui saluran dan tatacara yang ditetapkan selaras statusnya sebagai pemikir negara dan menepati slogan sentiasa bersedia ‘Berkhidmat Untuk Negara’.
“MPN merupakan sebuah pertubuhan berdaftar yang bertujuan menggembleng kepakaran akademik tertinggi negara bagi tujuan pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Ketika ini kata Raduan, MPN mempunyai lebih 3,000 ahli penuh yang merupakan profesor dari universiti awam dan swasta serta lebih 7,000 profesor madya sebagai ahli bersekutu.
“Terdapat juga lebih 200 tokoh industri yang pakar dalam bidang masing-masing dipelawa menyertai MPN sebagai ahli kehormat,” katanya. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.