Gambar hiasan - Foto blogspot.com
Oleh Ismail Ahmad

SEBAIK bermulanya kempen PRU-15 minggu lalu, pelbagai jenis isu diketengahkan oleh pemimpin-pemimpin parti atau calon yang bertanding dapat dilihat dalam pilihan raya umum kali ini.

Ada yang memperjuangkan isu ‘lokal’ yang dihadapi oleh masyarakat setempat, isu ‘nasional’ seperti kenaikan semasa harga barangan dan tidak kurang juga isu berkaitan ‘rasuah’ yang sentiasa menjadi topik hangat oleh sesetengah calon yang bertanding ketika berucap di pentas ceramah.

Mengapa agak-agaknya mereka ini begitu bersungguh-sungguh menjadikan perkataan ‘rasuah’ ini sebagai modal berkempen untuk menarik pengundi untuk memangkah calon-calon yang bertanding.

Mungkin ada yang beranggapan mereka ini mahu dilihat sebagai juara dalam memperjuangkan isu rasuah khususnya dan pada masa sama mengetengahkan calon-calon yang bersih daripada isu rasuah.

Bagaimanapun, pelbagai andaian atau pendapat boleh diperkatakan mengenai isu ini dan ini semua bergantung kepada persepsi individu masing-masing.

Namun, ahli-ahli politik ini tidak harus melupakan ‘kata-kata’ yang diperjuangkan ketika berkempen menggunakan isu rasuah di pentas-pentas ceramah.

Jangan jadi ‘hangat-hangat tahi ayam’ apabila gah dipentas politik memperjuangkan isu rasuah tetapi apabila menang kelak, terus menjadikan rasuah sebagai budaya hidup pulak.

Sekiranya terpilih kelak, jangan sesekali terpalit dengan sebarang kes rasuah atau salah guna kuasa kerana mereka harus sedar bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk mengubah undi sekali lagi pada PRU-16 sekiranya kepercayaan terhadap rakyat dicabuli.

Apa yang penting ialah kesungguhan tinggi pemimpin-pemimpin ini untuk menolak ‘rasuah’ apabila kerajaan baru dibentuk dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah.

Meskipun, rasuah ini tidak boleh dihapuskan sama sekali tetapi dengan iltizam dan kerjasama semua pihak, usaha membanteras atau mencegah rasuah boleh dilakukan tanpa menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.

Ingatlah, usaha membanteras rasuah adalah satu perjalanan yang panjang tetapi tidak mustahil untuk dilakukan.

Jadilah pemimpin yang bersih daripada rasuah kerana pemimpin adalah cerminan orang yang dipimpinnya tidak mengira usia mahupun parti politik diwakili.

Pengundi prihatin

Ipoh, Perak

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply